Desmond: Tenaga kerja, dana sekolah akan ditambah demi pendidikan inklusif
Desmond: Tenaga kerja, dana sekolah akan ditambah demi pendidikan inklusif
Lebih banyak sokongan diberi untuk sekolah pendidikan khas, usaha penuhi keperluan pelajar dari keluarga kurang bernasib baik
Lebih banyak sekolah akan disediakan dengan tenaga kerja dan sumber dana tambahan mulai 2026 sebagai sebahagian langkah pemerintah mempergiat usaha ke arah pendidikan bersifat inklusif, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Ini termasuk memenuhi keperluan pelajar daripada golongan kurang bernasib baik, peruntuk bantuan bagi pelajar berkebolehan tinggi, dan lebih banyak sokongan untuk sekolah pendidikan khas (Sped), tambah beliau.
Semasa membentangkan hujahnya dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan (MOE) di Parlimen pada 3 Mac, beliau berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan 157 sekolah kali ini – naik daripada 100 sekolah sebelum ini.
Kerjasama ini, katanya, merangkumi usaha mengenal pasti pelajar daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dengan lebih baik dan menyediakan sokongan tersuai dan terselaras sebagai titik permulaan.
Sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang daripada Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, dan Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok), beliau berkata:
“Sekolah-sekolah akan menyediakan sokongan tersuai kepada pelajar melalui pengukuhan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam masyarakat, seperti pertubuhan bantu diri.
“Kami juga akan menyediakan sokongan menyeluruh yang lebih kukuh dan tepat pada masanya bagi pelajar dan keluarga mereka dengan memperkukuh penyelarasan antara sekolah dengan agensi utama, seperti Pejabat Khidmat Sosial dan Pusat Khidmat Keluarga.
“Matlamat kami jelas – kami ingin setiap kanak-kanak di sekolah mencapai potensi penuh mereka, tanpa mengira latar belakang.”
Encik Hoe, antara lain, mengajukan soalan berkenaan identiti sekolah bersekutu dan peluang pelajar untuk memasuki sebuah sekolah bagi Darjah Satu bersandarkan status alumni ibu bapa.
Encik Muhaimin pula bertanya mengenai data terperinci terhadap jurang pendidikan supaya langkah campur tangan yang berkesan dapat diorak.
Menurut Encik Lee, mulai Tahun Akademik 2026, MOE telah meningkatkan kriteria kelayakan dan jumlah bantuan kewangan bagi pelajar warga Singapura, sekali gus memanfaatkan tambahan 31,000 pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.
Dengan ini, sekitar 133,000 pelajar akan meraih manfaat secara keseluruhan setiap tahun, tambahnya.
Ini di samping memperkukuhkan sokongan bagi pelajar daripada golongan kurang bernasib baik dengan menjalin kerjasama utuh dengan rakan kongsi masyarakat, sejajar dengan daya usaha ComLink+.
ComLink+ merupakan daya usaha bagi membantu keluarga di rumah sewa awam yang mempunyai anak, menerusi sokongan menyeluruh – termasuk pendidikan prasekolah, bimbingan pekerjaan dan bantuan melangsaikan hutang.
Encik Lee menukil inisiatif sedia ada di bawah MOE seperti UPLIFT Enhanced School Resourcing dan GEAR-UP, yang masing-masing menyediakan sumber tambahan dan sokongan sekolah seperti program selepas sekolah.
Inisiatif sedemikian, ujar beliau, akan diselaraskan untuk menjadi satu pakej sokongan dan akan dipertingkatkan lagi oleh MOE.
Berhubung Sekolah Pendidikan Khas (Sped), beliau berkata lebih banyak sekolah sedemikian akan dibina dalam tahun-tahun mendatang, dengan lebih banyak tempat di Sped akan disediakan, sejajar dengan permintaan yang kian meningkat.
Menukil laman MOE, bilangan tempat bagi Sped akan meningkat daripada sekitar 9,000 pada masa ini kepada sekitar 12,000 menjelang awal 2030-an.
Encik Lee berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar) berkenaan strategi tenaga kerja dan latihan bagi guru dan tenaga kerja Sped.
Menyentuh tentang pengemaskinian bagi pelajar berkeupayaan tinggi pula, beliau berkata semua sekolah rendah di sini sudah mula menawarkan program di sekolah yang menjangkau kurikulum biasa.
Ini dilakukan untuk melatih dan mencabar pelajar yang mempunyai kekuatan dan bakat dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains – semua ini diajar menerusi pendidik yang terlatih.
Beliau berkata: “Hari ini, hampir semua sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya lima guru yang terlatih untuk mengajar pelajar sedemikian.
“Jika perlu, MOE akan menyediakan guru tambahan kepada sesebuah sekolah.”
Encik Lee memberi penjelasan itu sebagai menjawab usulan Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh) berhubung pembangunan profesional guru dalam aspek penyesuaian pembelajaran atau dikenali sebagai differentiated instruction.

