Pelajar S’pura yang pulang dari Timur Tengah luah rasa syukur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar S’pura yang pulang dari Timur Tengah luah rasa syukur

Mar 14, 2026 | 5:00 PM

Pelajar S’pura yang pulang dari Timur Tengah luah rasa syukur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pelajar S’pura, konflik Timur Tengah, luah rasa syukur
Encik Solihin Zainal bersalaman bersama ibunya, Cik Samsilawati Mohd, setelah pulang dari Jeddah di Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. - Foto ST

Lega dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Itulah yang dirasakan sekumpulan pelajar Singapura dari Jordan yang selamat pulang ke tanah air pada 13 Mac lalu dengan menaiki pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Rasa kesyukuran dan penghargaan mereka itu telah diluahkan menerusi beberapa kiriman media sosial.

Mahasiswa tahun keempat Universiti Yarmouk, Encik Muhammad Nasrullah Mohamed Jasmani, dalam hantaran Instagram beliau berkongsi dengan mendalam tentang pengalaman tersebut yang menyentuh hatinya lalu mengajar beliau bahawa dalam tempoh ketegangan konflik ini, sifat peri kemanusiaan masih wujud.

Meninggalkan Jordan, yang sudah ibarat “rumah kedua”, bukanlah mudah namun perjalanannya dibantu pelbagai pihak termasuk Kementerian Ehwal Luar (MFA), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan RSAF, kata pemuda berusia 25 tahun itu yang tergolong daripada pelajar yang pulang pada 13 Mac.

Menukil contoh, dalam perjalanan darat selama 30 jam dari Jordan menuju ke Jeddah, Muis menyediakan makanan secara percuma sepanjang masa dan kumpulan pelajar dibimbing dengan selamat.

Setibanya di Lapangan Terbang Changi pula, mereka disambut mesra Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selain pasukan MFA serta Muis.

“Perjalanan ini mengingatkan saya... walau dalam keadaan konflik, manusia masih boleh menunjukkan sifat ihsan.

“Pemerintah Singapura telah membantu membawa pulang rakyat dari Indonesia, Filipina, Australia dan kami sendiri (rakyat Singapura). Ini adalah peringatan bahawa keprihatinan dan kebaikan melangkaui sempadan.

“Kata-kata Dr Faishal tetap terpahat di minda saya: ‘Ini adalah satu usaha kemanusiaan. Kita memerlukan lebih banyak keamanan di dunia ini’,” tulisnya.

Selain beliau, mahasiswa tahun pertama Universiti Jordan, Encik Solihin Zainal, 20 tahun, turut meluah penghargaannya terhadap usaha pemerintah yang mengutamakan keselamatan pelajar di tengah-tengah pergolakan di Timur Tengah.

“Saya tak terbayang diri saya akan pulang ke tanah air, Singapura, dalam pesawat tentera.

“Lagipun, sokongan dan layanan mesra kakitangan RSAF sepanjang penerbangan pulang sangat luar biasa, baik lah!” ujar penerima biasiswa Muis itu dalam kirimannya di Instagram.

Mahasiswa tahun kedua Universiti Yarmouk, Cik Deanna Yusra Rashid, 20 tahun, pula tidak mampu menggambarkan dengan kata-kata betapa beliau menghargai usaha pemerintah dalam memastikan perjalanan pulang pelajar sepertinya berjalan lancar.

Tambahnya, usaha tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kerja keras serta pengorbanan semua pihak yang terlibat.

“Ia benar-benar satu rahmat untuk kembali ke Singapura, tanah air saya,” tambahnya dalam hantaran di Instagram.

Dalam pos media sosial yang dimuat naik pada 14 Mac, Muis berkata pelajar meluahkan kesyukuran yang tulus kerana lega sudah selamat tiba di tanah air.

Pada masa yang sama, mereka gembira kerana dapat meluangkan hari-hari terakhir Ramadan dan menyambut Hari Raya bersama keluarga.

“Tiada apa yang dapat menandingi nikmat kembali ke pangkuan keluarga dan rakan taulan.

“Kesejahteraan pelajar kita akan sentiasa menjadi keutamaan kami. Buat anggota keluarga, kepercayaan yang anda letakkan pada kami cukup bermakna, dan kami akan terus menyokong setiap pelajar dalam setiap langkah perjalanan mereka,” kata Muis.

Pada 13 Mac, seramai 42 pelajar Singapura selamat kembali dari Jordan bersama 39 warga Singapura yang lain.

Penerbangan khas dengan kod penerbangan SAF14 itu berlepas dari Jeddah sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) pada 12 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6 pagi keesokan harinya.

Ia merupakan penerbangan keempat yang dilaksanakan Singapura dalam usahanya membawa pulang rakyat Singapura yang terjejas dek konflik Israel/Amerika dengan Iran dan menggugat rantau Timur Tengah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg