Faishal: Muis terus sokong pelajar S’pura yang pulang, dan yang masih di Timur Tengah
Faishal: Muis terus sokong pelajar S’pura yang pulang, dan yang masih di Timur Tengah
Pelajar kembali ke S’pura akan diberi sokongan bagi bantu mereka teruskan pengajian; yang di Timur Tengah akan terus didampingi Muis
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus mendampingi para pelajar Singapura yang masih berada di Timur Tengah dengan terus berhubung rapat serta berkongsi perkembangan terkini dengan mereka.
Pada masa yang sama, pelajar yang telah kembali ke Singapura akan diberikan sokongan bagi membantu mereka meneruskan pengajian, termasuk meneroka pengaturan pengajian alternatif serta menawarkan khidmat kaunseling jika diperlukan.
Difahamkan secara keseluruhannya terdapat sekitar 300 hingga 500 pelajar Singapura yang menuntut di universiti-universiti Islam di Timur Tengah.
“Bagi pelajar yang memilih untuk terus berada di Timur Tengah, mereka berada dalam keadaan selamat.
“Pegawai Perhubungan Pelajar Muis bersama Kementerian Ehwal Luar (MFA) akan terus berhubung rapat dengan mereka dan berkongsi tentang perkembangan terkini.
“Kami berharap langkah-langkah ini dapat memberi sokongan dan ketenangan kepada para pelajar serta keluarga mereka,” ujar Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata demikian ketika menyambut ketibaan sekumpulan 42 pelajar Singapura dari Jordan di Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac.
Para pelajar yang menuntut di Universiti Jordan dan Universiti Yarmouk itu merupakan sebahagian daripada 81 warga Singapura serta keluarga mereka yang menaiki penerbangan tersebut – dikerahkan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Penerbangan khas penghantaran pulang dengan kod penerbangan SAF14 itu berlepas dari Jeddah sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) pada 12 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6 pagi pada keesokan harinya.
Mereka adalah kumpulan kedua yang dibawa pulang dengan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 RSAF yang dikerah khas ke Arab Saudi.
Kesemuanya, RSAF telah membawa pulang 299 warga Singapura dan keluarga mereka dari Timur Tengah dalam operasi yang bermula pada 10 Mac.
Awal dari itu, dua penerbangan penghantaran pulang pertama yang membawa rakyat Singapura dari Muscat, Oman – salah satu negara dengan ruang udara yang masih dibuka seperti biasa – melalui pesawat sewaan khas Singapore Airlines (SIA) telah berlepas pada 7 dan 8 Mac.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi.
Mereka terkandas di sana selepas perang tercetus di Timur Tengah pada 28 Februari, memaksa penutupan ruang udara dan pembatalan kebanyakan penerbangan komersial.
Dalam satu hantaran Facebook pada 13 Mac, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata seramai 618 warga Singapura dan keluarga mereka telah selamat pulang ke Singapura melalui empat penerbangan penghantaran pulang sepanjang minggu lalu.
“Kami akan terus memantau rapat keadaan di Timur Tengah dan mengutamakan keselamatan warga Singapura,” tambah beliau.
Bercakap kepada pihak media di Lapangan Terbang Changi, Dr Faishal berkata keputusan untuk pulang bukanlah mudah bagi sebahagian pelajar, memandang mereka berada di peringkat pengajian yang berbeza.
“Ada yang baru memulakan pengajian pada tahun pertama, manakala ada juga yang berada di semester terakhir dan hampir menamatkan pengajian mereka.
“Sudah tentu mereka bimbang tentang gangguan terhadap pengajian dan kesannya atas masa depan mereka.
“Muis akan berhubung dengan para pelajar bagi memberikan sokongan,” jelas beliau.
Salah seorang pelajar yang ditemui Berita Harian (BH), Encik Muhammad Safwan Rosli, 21 tahun, berharap Muis akan terus menyokong pelajar yang pulang.
“Kami diberitahu bahawa Muis jamin bahawa mereka akan beri kita sokongan sepenuhnya.
“Mungkin, kita akan ada kelas dalam talian buat masa sekarang atau peraturan (pengajian) yang lain,” ujar beliau, pelajar tahun kedua Universiti Jordan.
Mentelah lagi, Encik Safwan, yang juga Presiden Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj), memaklumkan bahawa terdapat lebih kurang 30 hingga 40 pelajar Singapura yang masih berada di negara Arab tersebut.
“Kita masih ada di Jordan dan memang tanggungjawab Siraj ataupun pegawai Muis di sana untuk menjaga keselamatan pelajar Singapura di Jordan.
“Naib presiden Siraj juga berada di Amman. InsyaAllah saya akan terus berhubung dengannya untuk memastikan keadaan keselamatan dan kebajikan para pelajar di sana terjaga, walaupun saya sudah ebrada di Singapura,” jelas beliau.

