Koswe Johor-Singapura dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924 oleh Gabenor Laurence Guillemard dan kerajaan moden kedua Johor, Sultan Ibrahim Abu Bakar.
Sejak itu, Ia telah berfungsi sebagai wadah yang memudahkan pergerakan manusia dan barangan, mengukuhkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
Koswe Johor-Singapura mencecah 100 tahun pada 28 Jun 2024 dan telah menghubungkan dua negara ini selama satu abad.
Dalam menyambut ulang tahun ke-100 Koswe, Lembaga Warisan Negara (NHB) telah melancarkan ‘The Causeway: A Century of Connections’ (Koswe: Hubungan Seabad), sebuah pameran bergerak yang meneroka asal usul dan evolusi Tambak tersebut.
Pameran itu akan menonjolkan kepentingannya dalam kehidupan rakyat Singapura dan Malaysia.
“Sejak abad lalu, Koswe telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Singapura dan Malaysia. Ia telah menyaksikan banyak peristiwa dan kisah peribadi,” kata Pengarah Pendidikan dan Jangkauan Komuniti NHB, Encik Gerald Wee.
“Melalui pameran ini, kami berharap dapat menceritakan beberapa kisah dengan latar belakang evolusi Tambak,” tambah beliau.
Pameran itu meneroka asal usul Koswe – daripada keadaannya pada abad ke-19 yang menyebabkan pembinaannya, kepada pembangunannya di samping pertumbuhan pesat selepas perang di rantau ini.
Peristiwa silam seperti Pendudukan Jepun dan cabaran pandemik Covid-19 juga dipamerkan.
Selain itu, kisah kaum wanita menyeberangi Tambak pada 1970-an untuk membeli-belah di pasar malam Sabtu di Woodlands, pelajar yang berulang-alik setiap hari ke sekolah dan pekerja yang terkandas semasa penutupan Koswe disebabkan pandemik pada Mac 2020 juga dipaparkan.
Pameran itu juga memaparkan anekdot bagaimana Tambak itu memberi kesan kepada orang yang tinggal berhampirannya, seperti di Kampong Lorong Fatimah.
Satu-satunya laluan ke kampung itu perlu melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Woodlands yang baru dibina berikutan pemisahan Singapura dan Malaysia.
Reka bentuk pameran ini diilhamkan oleh pusat pemeriksaan dan pondok imigresen Woodlands lama.
Para pengunjung boleh mengumpul ‘cop imigresen’ dalam ‘pasport’ mereka di pameran tersebut, yang mengandungi gambar arkib daripada institusi di Singapura dan Malaysia.
Pameran itu bermula pada 28 Jun, di Woodlands Civic Centre.
Ia kemudian akan beralih ke Bangunan Arkib Negara Singapura di Canning Rise bertepatan dengan perkongsian mengenai Koswe pada September 2024.
Ia juga kemudiannya akan ke institut pengajian tinggi, perpustakaan awam, dan ruang awam yang lain.
Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) juga telah melancarkan laman web khusus untuk sambutan ini dan menganjurkan sesi perkongsian untuk menyambut pencapaian Koswe Johor-Singapura.
Anda boleh lihat gambar dan dengar bahan audio-visual, serta temu bual sejarah secara lisan di laman web tersebut.
Laman web https://go.gov.sg/causewaycentenary membentangkan tentang sejarah Koswe, peranannya dalam memudahkan pergerakan dan menceritakan tentang kejadian yang kurang diketahui ramai.
Sesi perkongsian awam pula diadakan pada 27 Jun, 4 Julai dan 19 September.
Individu yang diundang berkongsi termasuk arkivis dari Arkib Negara Singapura (NAS), penceramah jemputan dari Arkib Negara Malaysia dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Mereka akan berkongsi tentang pelbagai aspek dan topik mengenai Koswe.
“Tambak ini merupakan lebih daripada lintasan sempadan. Ia telah meningkatkan hubungan dua hala dan memudahkan pengaliran orang dan barangan,” kata Pengarah NAS, Cik Julia Chee.
“Kami berharap sumber yang dipaparkan di laman web kami dan perkongsian umum akan mencerminkan hubungan yang kukuh ini,” tambah beliau.
Maklumat lanjut mengenai pameran ini boleh didapati di pautan https://go.gov.sg/nhb-hotm.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg