Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak lama Kampong Lorong Fatimah kembalikan kenangan

Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Encik Rudy Zahiruddin Mohamed Omar mengimbas  kenangan lama melihat kereta api berlalu ketika berdiri di sebahagian tangga yang dahulunya menghala ke landasan kereta api di Kampong Lorong Fatimah. Beliau merupakan penduduk lama Marsiling, yang sering mengunjungi Kampong Lorong Fatimah pada tahun 1980-an untuk mengunjungi saudara-maranya.
Encik Rudy Zahiruddin Mohamed Omar mengimbas kenangan lama melihat kereta api berlalu ketika berdiri di sebahagian tangga yang dahulunya menghala ke landasan kereta api di Kampong Lorong Fatimah. Beliau merupakan penduduk lama Marsiling, yang sering mengunjungi Kampong Lorong Fatimah pada tahun 1980-an untuk mengunjungi saudara-maranya. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Bagi orang ramai, kawasan di belakang hentian bas Pusat Pemeriksaan Woodlands hanya sekadar rumput dan tanah lapang.

Namun, bagi penduduk ‘otai’ Marsiling, Encik Rudy Zahiruddin Mohamed Omar, kawasan itu ibarat pintu masuk kepada kenangan zaman kanak-kanaknya.

Dengan senyuman pahit terukir di wajahnya, Encik Rudy menggunakan jarinya untuk menunjuk kepada wartawan sebahagian daripada kepingan konkrit kelabu yang menonjol keluar dari tanah yang berumput itu.

“Itulah dia... tangga yang menghala ke landasan kereta api di Kampong Lorong Fatimah,” ujarnya dengan nada sayu.

Apabila Berita Minggu (BM) menemui Encik Rudy, 45 tahun, baru-baru ini di kawasan itu, susur tangan tangga itu masih utuh.

Hanya anak tangga paling teratas masih kelihatan di atas paras tanah, manakala bahagian lain tangga itu seolah-olah ‘tenggelam” bawah tanah.

“Di sinilah terletaknya Kampong Lorong Fatimah sebelum kawasan ini digunakan untuk membina Pusat Pemeriksaan Woodlands baru.

“Jika awak turun tangga ini dahulu, awak akan nampak landasan kereta api, yang menghubungkan Woodlands dengan Tanjong Pagar.

“Penduduk kampung sudah biasa dengan pemandangan dan bunyi kereta api yang lalu-lalang di kawasan ini setiap hari,” kata Encik Rudy.

Walaupun Encik Rudy tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Marsiling, beliau kerap mengunjungi saudara-maranya di Kampong Lorong Fatimah pada tahun-tahun 1980-an.

Menurutnya, oleh kerana kampung itu terletak bersebelahan pusat pemeriksaan, pintu masuknya dikawal oleh pegawai imigresen.

“Rakyat Singapura perlu menunjukkan kad pengenalan untuk masuk kampung, manakala pengunjung rakyat Malaysia yang tiba menerusi Koswe perlu menunjukkan pasport mereka,” kongsi Encik Rudy.

Kampong Lorong Fatimah menjadi tempat perhentian bagi orang ramai yang berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia menerusi Koswe, yang telah dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924.

Sejak itu, jambatan bersejarah itu telah menjadi sebahagian penting dalam warisan Malaysia dan Singapura. Perkongsian Encik Rudy adalah sempena ulang tahun ke-100 Koswe yang disambut pada 28 Jun 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg