Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaku seks degil dijel 20 tahun demi keselamatan anak perempuan

Dec 3, 2024 | 7:20 PM
Hakim berkata Kamsari Jumari berbahaya kepada kanak-kanak bawah umur, terutama mereka yang rapat dengannya dan dipercayai.
Hakim berkata Kamsari Jumari berbahaya kepada kanak-kanak bawah umur, terutama mereka yang rapat dengannya dan dipercayai. - Foto fail

Selepas dibebaskan dari penjara atas kesalahan seksual terhadap anak saudara perempuan dan cucunya, lelaki yang mempunyai sejarah jenayah yang panjang mengadakan kelas agama di rumahnya semasa bekerja sebagai penghantar makanan.

Antara Januari dengan April 2022, Kamsari Jumari mengeksploitasi secara seksual seorang remaja berusia 15 tahun. Ibu gadis tersebut telah mengupah Kamsari untuk mengajar agama kepada anaknya kerana sering melarikan diri dari rumah.

Pada 3 Disember, Kamsari, kini 63 tahun, dijatuhi hukuman penahanan pencegahan maksimum selama 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi, lapor The Straits Times (ST).

Dengan hukuman yang bermula dari tarikh beliau direman pada 21 April 2022, dia akan berusia 80 tahun apabila dibebaskan, sekiranya dia menjalani keseluruhan tempoh hukuman tersebut.

Di bawah penahanan pencegahan, pesalah degil dipenjarakan untuk tempoh yang panjang bagi melindungi orang awam.

Kamsari mengaku bersalah pada September atas empat pertuduhan melakukan seksual eksploitatif ke atas seorang bawah umur. Lagi 11 pertuduhan pelbagai kesalahan seksual diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Pendakwa raya menggesa Mahkamah Tinggi supaya mengenakan tempoh maksimum tahanan pencegahan 20 tahun, kerana rekod jenayahnya yang luas, termasuk sabitan atas kesalahan mencuri, jenayah seks dan kesalahan berkaitan dadah.

Ketika menjatuhkan hukuman pada 3 Disember, Hakim Dedar Singh Gill berkata Kamsari telah menyalahgunakan kepercayaan mangsa dan terdapat perancangan yang jelas atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Beliau menjatuhkan hukuman tahanan pencegahan 20 tahun demi keselamatan mereka.

Semakan dalam talian oleh ST menunjukkan bahawa Kamsari tidak mendaftar sebagai guru agama di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Pada 2012, Kamsari dijatuhi hukuman tahanan pencegahan lapan tahun. 

Pada akhir 2021, dia mengenali ibu mangsa dalam kes semasa kerana mereka bekerja sebagai penghantar makanan.

Pada Januari 2022, mangsa melarikan diri dari rumah tetapi ditemui polis beberapa hari kemudian.

Apabila ibunya memberitahu Kamsari tentang perkara ini, dia mencadangkan mangsa menghadiri kelas agamanya.

Dalam satu sesi, Kamsari menunjukkan mangsa video lucah. Berikutan kejadian ini, dia mula mengadakan perbualan seksual dengannya.

Dia memberitahu remaja itu supaya tidak memberitahu sesiapa tentang itu dan, lama-kelamaan, perbuatan seksual itu semakin menjadi-jadi.

Selepas memastikan ibu mangsa tidak menyemak mesejnya, dia menyambung semula perbualan seksualnya dengan mangsa melalui Telegram.

Dia kemudian membawa mangsa ke flat kosong, dan melakukan kegiatan seksual dengan mangsa.

Kesalahan itu terbongkar pada 17 April 2022, apabila ibu mangsa menemui mesej di telefonnya.

Ibu mangsa membawanya membuat laporan polis pada hari yang sama. Kamsari ditangkap dua hari kemudian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg