Di bawah persimpangan Queensway dan Portsdown Avenue terdapat timbunan tanah dan beberapa cerun yang kurang menarik, namun kawasan di bawah jejambat itu akan menjadi ruang berkumpul bagi masyarakat tidak lama lagi.
Ruang di bawah jejambat Queensway itu merupakan salah satu ‘nod’ atau titik pertemuan masyarakat yang sedang dibangunkan sepanjang Koridor Kereta Api.
Dijangka siap pada 2027, nod Queensway itu akan terdiri daripada galeri warisan serta taman yang memperingati sejarah pertanian kawasan tersebut, kata Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, pada 17 Januari.
Berucap di majlis pelancaran pameran Koridor Kereta Api di Pusat Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Cik Indranee berkata sebuah nod masyarakat akan turut dibangunkan sekitar 2035 di Stagmont Ring, berhampiran Yew Tee dan stesen MRT baru di Laluan Downtown (DTL) yang diumumkan pada 6 Januari.
Pameran ‘Dari Landasan ke Laluan’ (From Rail to Trail) memperingati 14 tahun kerjasama antara aktivis alam sekitar dengan warisan serta agensi pemerintah dalam mengubah landasan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) menjadi ruang hijau awam.
Laluan sepanjang 24 kilometer yang bermula dari Tanjong Pagar hingga Kranji telah dihentikan operasinya pada 2011 selepas beroperasi lebih lapan dekad, lapor The Straits Times (ST).
Setiap nod masyarakat sepanjang koridor adalah ruang untuk orang awam berkumpul dan menyertai pelbagai kegiatan.
Buat masa ini, empat nod telah dibuka, dan nod kelima di tapak lama Balai Bomba Bukit Timah bakal dibuka pada 2025.
Nod Queensway akan direka oleh pasukan yang diketuai oleh arkitek, Encik Samuel Lee, daripada Designshop, selepas pasukan itu menewaskan 19 penyertaan lain dalam pertandingan reka bentuk untuk nod tersebut yang dianjurkan oleh URA dan Institut Arkitek Singapura.
Pasukan tersebut membentuk gambaran nod Queensway seluas 1.31 hektar itu sebagai ‘terowong kaleidoskop’, yang akan membawa pengunjung kembali ke zaman ketika landasan KTM masih beroperasi.
Reka bentuk itu menampilkan pameran warisan, tayangan, artifak dan gambar yang menunjukkan transformasi Boh Beh Kang – sebuah kampung di kawasan tersebut – menjadi Queenstown masa kini.
Encik Lee berkata beliau teruja dengan projek itu yang berpotensi memupuk “semangat kampung” dalam kalangan penduduk kawasan tersebut.
Justeru, pasukannya mencadangkan pembangunan plaza serba guna yang dinamakan The Kampong di bawah sebahagian jejambat itu, yang boleh memuatkan perpustakaan kecil, ruang tempat duduk dan pelbagai gerai jualan.
Cik Indranee menggalakkan orang ramai untuk memberi maklum balas dan berkata cadangan pasukan itu akan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan.
URA juga sedang mengumpul maklum balas daripada orang ramai mengenai nod Stagmont Ring, yang akan dibangunkan sekitar 2035, serta nod akan datang di tapak lama Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, yang akan dibangunkan selepas kerja pemulihan selesai pada 2028.
Orang ramai boleh memberi maklum balas berkenaan tiga nod masyarakat itu di laman web go.gov.sg/RailToTrail.
Pameran From Rail To Trail akan berlangsung dari 17 Januari hingga 28 Februari. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu, dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang di Pusat URA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg