Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelan Digital Industri baharu perkasa agensi, pegawai keselamatan lebih cekap teknologi
Pelan Digital Industri baharu perkasa agensi, pegawai keselamatan lebih cekap teknologi
Pelan Digital Industri baharu perkasa agensi, pegawai keselamatan lebih cekap teknologi
Agensi keselamatan yang berhasrat menyambut baik teknologi yang relevan demi kekal berdaya saing dan memberikan hasil keselamatan yang lebih baik boleh memanfaatkan Pelan Digital Industri (IDP) Keselamatan yang telah diperbaharui dan dapat menyediakan panduan terkini bagi perjalanan pendigitalan mereka.
IDP yang telah diperbaharu dan dibangunkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) melalui rundingan dengan pihak industri, telah diumumkan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pada 10 November.
Bercakap sewaktu Sidang Industri Keselamatan (SIC) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Encik Zhulkarnain menggesa agar syarikat keselamatan dapat menyepadukan teknologi canggih dalam operasi keselamatan dengan lebih tangkas, demi mencapai kecekapan yang lebih baik.
“IDP baharu ini mengamalkan pendekatan baharu yang lebih berpusatkan masalah. Ia bukan sahaja menyenaraikan teknologi yang sedia ada.
“Malah, ia bermula dengan mengenal pasti cabaran operasi dan perniagaan yang dihadapi industri serta memberi tumpuan kepada penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.
“Jadi, ini memberi kita keyakinan bahawa teknologi yang dikenal pasti termasuk penyelesaian berdayakan kecerdasan buatan (AI), itu relevan dan dapat memperkukuh keupayaan operasi,” kata Encik Zhulkarnain.
Antara contoh penggunaan teknologi dalam industri keselamatan yang beliau sebutkan termasuk Rondaan Maya atau ‘Virtual Patrol’ dengan Pengesanan Analitik dan Pencerobohan, yang dapat mengesan kejadian seperti pencerobohan, sekali gus mengeluarkan amaran kepada pegawai yang bertugas.
Menurut Encik Zhulkarnain, melalui IDP yang diperbaharui itu, agensi keselamatan akan terus disokong melalui beberapa langkah seperti geran bagi penggunaan teknologi dan platform perusahaan kecil dan sederhana (SME) ‘Go Digital’ yang diusahakan IMDA.
Selain menerapkan penggunaan teknologi canggih dalam industri keselamatan, beliau turut menekankan kepentingan kemahiran dan kecekapan diri bagi pegawai atau kakitangan dalam industri keselamatan.
“Kami akan terus membangunkan kursus yang berkaitan dan memperhalus pendekatan latihan kita.
“Hal ini demi memastikan Pakar Teknologi Keselamatan jadi serba lengkap dalam membangunkan, mengerah dan mengekalkan penyelesaian keselamatan yang canggih.
“Selain teknologi, pegawai keselamatan perlukan latihan yang berterusan dan berstruktur bagi mengekalkan keberkesanan dalam persekitaran operasi hari ini,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Encik Zhulkarnain juga mengumumkan bahawa mulai 2027, pegawai yang berjawatan Pegawai Keselamatan Kanan dan ke atas akan mengambil Kuiz Ulang Kaji yang berlainan daripada kuiz yang diwajibkan sebelum ini bagi memperbaharui lesen mereka.
Ini kerana MHA telah mengenal pasti ruang bagi memperkukuh rangka kerja pembaharuan latihan susulan rundingan dengan pihak industri.
“Mulai 2027, Pegawai Keselamatan Kanan dan ke atas akan mengambil Kuiz Ulang Kaji yang berlainan sebelum mereka dapat memperbaharu lesen masing-masing.
“Langkah ini mengiktiraf bahawa mereka dilatih untuk memikul tanggungjawab yang lebih rumit, seperti mengendalikan tingkah laku yang berunsur ancaman.
“Kuiz yang berlainan tersebut akan memperkukuh pengetahuan yang diperlukan bagi peranan lanjutan ini serta membantu mengekalkan keupayaan mereka yang relevan,” jelas beliau.