Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada perintah Pofma bagi laporan akhbar ‘Haaretz’ dakwa perbincangan hukuman mati di S’pura
Tiada perintah Pofma bagi laporan akhbar ‘Haaretz’ dakwa perbincangan hukuman mati di S’pura
Shanmugam: Walau laporan ada dakwaan palsu, namun syarat bagi keluarkan perintah tersebut tidak dipenuhi; MHA terbitkan respons awam nafi dakwaan akhbar
Tiada perintah Pofma bagi laporan akhbar ‘Haaretz’ dakwa perbincangan hukuman mati di S’pura
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak mengeluarkan perintah pembetulan ke atas akhbar Israel, Haaretz, walaupun laporannya mengandungi dakwaan palsu mengenai perbincangan hukuman mati di Singapura.
Ini kerana syarat bagi mengeluarkan perintah tersebut tidak dipenuhi, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Sebaliknya, MHA telah mengeluarkan respons awam untuk menafikan dakwaan akhbar tersebut, kata beliau.
Pada 7 September, akhbar Haaretz yang berpangkalan di Israel, menerbitkan laporan yang mendakwa satu delegasi merangkumi wakil Perkhidmatan Penjara Israel dan Kementerian Keselamatan Negara Israel telah membincangkan isu hukuman mati semasa satu “lawatan rahsia” ke Singapura pada Mei.
MHA menyangkal dakwaan tersebut dalam satu respons yang dikeluarkan pada 11 September, sambil menyatakan bahawa tiada sebarang perbincangan sedemikian telah berlaku.
Dalam satu jawapan bertulis Parlimen pada 7 Oktober, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata pada waktu laporan itu diterbitkan, penilaian berdasarkan nasihat undang-undang mendapati alasan kepentingan awam untuk mengeluarkan Arahan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) masih belum dipenuhi.
Di bawah rangka kerja Pofma, arahan sedemikian hanya boleh dikeluarkan jika kenyataan fakta palsu telah atau sedang disebarkan di Singapura melalui Internet; dan adalah demi kepentingan awam untuk mengeluarkan arahan tersebut.
Walau bagaimanapun, Encik Shanmugam berkata perkara itu “tidak menghalang pengeluaran Arahan Pofma pada masa akan datang sekiranya keadaan berubah secara material dan wajar mendapat penilaian yang berbeza”.
Encik Shanmugam menyatakan demikian dalam menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), yang antara lain bertanya mengapakah arahan pembetulan di bawah Pofma tidak dikeluarkan terhadap laporan Haaretz itu.
Beliau turut bertanya sama ada Singapura telah berbincang dengan pegawai Israel mengenai isu menangani petempatan haram dan keganasan penduduk petempatan di Tebing Barat semasa satu pertemuan baru-baru ini.
Encik Shanmugam berkata perbincangan yang telah diadakan bersama delegasi Israel semasa lawatan mereka ke sini telah tertumpu pada isu berkaitan operasi dan keselamatan dan tidak merangkumi perihal dasar ehwal luar yang lebih luas.
“Pendirian Singapura mengenai hal sedemikian ditangani menerusi saluran dasar ehwal luar yang sewajarnya, termasuk oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA),” kata beliau.
Kandungan pertukaran maklumat yang dijalankan MHA juga rahsia dan secara umumnya tidak didedahkan disebabkan keprihatinan mengenai aspek keselamatan, tambah beliau.
Singapura kerap mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat antarabangsa mengenai hal-hal berkaitan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang – sesuatu yang penting bagi pertukaran maklumat dan perisikan antara agensi demi mengenal pasti potensi ancaman dan memastikan Singapura kekal selamat.
“Ia adalah demi kepentingan nasional kita untuk mengekalkan saluran kerjasama ini, termasuk dengan negara-negara di Timur Tengah,” kata Encik Shanmugam.
Sejak Januari 2025, MHA telah mengadakan 11 pertukaran dua hala di peringkat pegawai rasmi dengan rakan sejawat asingnya, termasuk beberapa rakan Timur Tengah.
Daripada jumlah tersebut, kenyataan media hanya dikeluarkan bagi satu pertukaran sahaja, atas permintaan rakan sejawat berkenaan, kata beliau.
“Itulah pendekatan yang diambil oleh MHA dalam perbincangan dengan rakan sejawat dua halanya, mengenai perkara yang menjadi keprihatinan bersama dari segi operasi dan keselamatan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut mempersoalkan pertanyaan yang diajukan Encik Fadli berhubung isu-isu yang dibincangkan semasa pertemuan dengan pegawai Israel.
Beliau berkata bahawa jika Encik Fadli percaya MHA harus menggunakan pendekatan sedemikian untuk mengutarakan keprihatinan lebih luas mengenai dasar atau tindakan negara berkenaan, maka beliau harus menyatakannya dengan jelas.
Encik Shanmugam menambah bahawa Encik Fadli juga perlu menjelaskan sama ada beliau berpendapat prinsip ini hanya terpakai kepada Israel sahaja, atau secara konsisten kepada semua negara yang mengadakan perbincangan dengan MHA.
“Sebagai contoh, apabila MHA mengadakan perbincangan operasi dengan negara-negara Timur Tengah atau Asia yang lain, adakah kita juga perlu membangkitkan kebimbangan yang mungkin dimiliki Singapura berhubung tindakan atau dasar mereka?
“Sekiranya itu pendirian AP tersebut, pemerintah berminat untuk memahami bagaimana beliau mencadangkan agar pendekatan sedemikian dapat berkhidmat demi kepentingan keseluruhan Singapura,” kata beliau.