Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelan disemak Hutan Maju, Gillman Barracks kekalkan lebih banyak ruang hijau; 11,000 rumah bakal dibina
Pelan disemak Hutan Maju, Gillman Barracks kekalkan lebih banyak ruang hijau; 11,000 rumah bakal dibina
Alvin Tan: Pemerintah usaha dengan sangat teliti imbangi aspirasi pemilikan rumah rakyat dengan perlindungan alam sekitar
Pelan disemak Hutan Maju, Gillman Barracks kekalkan lebih banyak ruang hijau; 11,000 rumah bakal dibina
Lebih banyak kawasan akan diperuntukkan bagi kehijauan untuk Hutan Maju dan Gillman Barracks, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 28 Oktober, di samping mengumumkan sekitar 11,000 rumah dijangka dibangunkan di dua tapak itu menjelang dekad seterusnya.
Rancangan konsep yang disemak bagi kedua-dua tapak itu dibuat susulan rundingan awam dari 10 Julai hingga 6 Ogos berikutan penerbitan penilaian kesan sekitaran dan warisan, di mana mereka menerima sekitar 9,500 hantaran maklum balas, serta sesi pendekatan selanjutnya yang dijalankan pemerintah.
Pelan awal di Sunset Way dekat Hutan Maju dan Gillman Barracks itu mengundang kebimbangan awam tentang pembangunan perumahan di sebahagian kawasan hijau tersebut sehingga mencetuskan petisyen dalam talian dan perbahasan di Parlimen.
Di bawah pelan yang disemak itu, kawasan hijau yang dikekalkan di Hutan Maju meningkat daripada sekitar 8 hektar kepada 10 hektar, atau sekitar 45 peratus daripada keseluruhan tapak seluas 23 hektar.
Bagi Gillman Barracks pula, ruang hijau ditambah daripada 8 hektar kepada 12 hektar, iaitu sekitar 60 peratus daripada 20 hektar kehijauan sedia ada.
HDB merancang untuk membina sekitar 4,000 unit flat awam di Hutan Maju. Gillman Barracks pula bakal menempatkan sekitar 7,000 unit, dengan 5,500 daripadanya diperuntukkan untuk perumahan awam.
Ditemui media pada 28 Oktober, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, berkata peruntukkan kawasan hijau yang lebih luas itu akan mengakibatkan pengurangan sekitar 400 unit perumahan di Hutan Maju dan 800 unit di Gillman Barracks.
Beliau menambah bahawa pemerintah telah berusaha dengan sangat teliti untuk mengimbangi aspirasi pemilikan rumah rakyat dengan perlindungan alam sekitar.
“Pasangan muda mahukan flat mereka dengan segera supaya mereka dapat membina keluarga dan kehidupan mereka. Kedua-dua tapak tersebut, baik Hutan Maju mahupun Gillman Barracks, merupakan tapak yang sangat baik.
“Pada masa yang sama, kami memahami kebimbangan para penduduk yang ingin mengekalkan kawasan hijau, yang turut memberikan maklum balas yang amat berguna kepada kami, di mana kami kaji dengan teliti dan terapkan di mana yang sesuai.
“Oleh itu, kami perlu mengimbangi keperluan ini, dan saya rasa sebaik mungkin, kami telah mencapai keseimbangan yang baik, serta berjaya mencapai jalan penyelesaian yang baik,” kata beliau.
Bagi mengoptimumkan baki ruang pembangunan susulan peluasan kawasan hijau itu, HDB merancang untuk membina blok yang lebih tinggi, tertakluk kepada kajian reka bentuk terperinci kelak.
Butiran lanjut mengenai perumahan tersebut dan tarikh pelancaran akan dikongsi kelak.
Sementara itu, Encik Tan berkata kawasan hijau yang diperluaskan di Hujan Maju akan dilindungi sebagai taman alam semula jadi baru.
Di Hutan Maju, kawasan hijau tambahan di bahagian selatan tapak akan mewujudkan ruang hijau lebih luas dan bersambungan yang akan mengukuhkan ketersambungan ekologi di tapak itu dan sepanjang Koridor Alam Semula Jadi Clementi.
Estet perumahan yang akan dibina di kawasan itu juga akan menggabungkan landskap biofilik – iaitu gabungan unsur-unsur semula jadi – dengan spesies tumbuhan asli untuk menyokong kehijauan keseluruhan, dan akan dilengkapi dengan Laluan Alam Semula Jadi baru sepanjang Brookvale Drive.
Sementara itu, kawasan hijau lebih luas di Gillman Barracks pula akan merangkumi hutan sedia ada di sekeliling anak bukit, serta mewujudkan koridor ekologi utara-selatan yang lebih luas sepanjang Lock Road dan Malan Road, kata Encik Tan.
Ini akan memperkukuh kesalinghubungan ekologi di Southern Ridges, dan juga ke arah Berlayar Creek dan Hutan Simpanan Labrador.
Ruang yang dikekalkan itu akan digabungkan sebagai sebahagian daripada Taman Alam Semula Jadi Alexandra yang akan datang.
Encik Tan menambah bahawa mereka juga akan mengekalkan 25 bangunan yang dinilai mempunyai kepentingan warisan yang luar biasa atau tinggi seperti yang dirancang.
HDB berkata pelan konsep disemak itu akan menjadi asas bagi perancangan dan reka bentuk terperinci dua tapak itu.
Kerja-kerja tapak di Gillman Barracks dijangka bermula pada separuh kedua 2027 dengan perobohan bangunan diikuti dengan kerja persediaan tanah yang dijangka bermula pada 2029.
Sementara itu, kerja persediaan tanah bagi Hutan Maju dijangka bermula separuh pertama 2028.
Pelan Pengurusan dan Pemantauan Sekitaran akan dilaksanakan sebelum kerja pembangunan bermula bagi meminimumkan impak alam sekitar serta melindungi kawasan hijau dan ciri-ciri ekologi yang dikenal pasti untuk dikekalkan.