Laluan kanopi hutan yang menghubungkan laluan sedia ada, Sensoryscape dengan Imbiah Lookout, serta laluan sekitarnya, Imbiah Lookout Walk, merupakan antara tarikan baru yang diperkenalkan di Greater Sentosa dan bakal siap pada awal 2030-an.

Tarikan tersebut merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Induk Greater Sentosa yang bakal mengubah wajah Sentosa dan Pulai Brani seluas 120 hektar, dalam dua dekad mendatang.

Bercakap semasa pelancaran pameran yang membentangkan pembaharuan dan inisiatif pelan itu di VivoCity pada 3 Julai, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata:

“Dengan permintaan terhadap pelancongan yang terus meningkat, Singapura perlu memperbaharui pengalaman yang ditawarkan dan memperkukuhkan daya tarikan sebagai destinasi pelancongan.

“Kami bukan sekadar meraikan Sentosa. Kami sedang membayangkan semula masa depan Sentosa untuk beberapa dekad yang mendatang – sebuah pulau yang ditransformasikan, lebih saling terhubung dan mampan.”

Antara projek yang diperkenalkan adalah penambakan tanah bagi pembinaan Hab Pengangkutan Island Heart, tempat perhentian utama yang menghubungkan tanah besar Singapura dengan Greater Sentosa.

Hab tersebut juga akan menjadi perhentian untuk Sistem Penggerak Penumpang yang bakal menggantikan sistem monorel Sentosa Express.

Bersama dengan kereta kabel dan perhubungan teksi air yang masih dalam rancangan, Sistem Penggerak Penumpang tersebut akan memudahkan akses ke pulau itu.

Di samping itu, sebuah ruang serbaguna yang menawarkan ruang untuk acara seperti festival, Sensorium, juga akan dibina di Siloso Beach.

Pembangunan ruang itu juga akan memberikan tumpuan kepada kemampanan dengan ruangan hijau untuk mempertingkatkan keselesaan haba bagi pengunjung.

Menurut Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), pelan tersebut akan menyaksikan usaha untuk memberikan pantai di Sentosa nafas baru sambil menerapkan langkah perlindungan pesisir pantai.

“Pembangunan mampan tidak membataskan cita-cita kita. Sebaliknya, ia menjadi asas yang membolehkan cita-cita itu direalisasikan,” kata Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, mengenai kepentingan menerapkan usaha perlindungan pesisir pantai disebabkan pembangunan dan pembaharuan.

Satu projek yang bakal menggabungkan perlindungan ekologi dan pembangunan adalah pengalaman meneroka kepulauan kecil, atau islet-hopping.

Tarikan tersebut akan menggabungkan enam pulau kecil sepanjang perairan Sentosa dengan pelantar laluan atau ‘boardwalk’ sepanjang 3 kilometer untuk diakses pengunjung bagi tujuan rekreasi.

Pada masa yang sama, SDC akan menjalankan kajian terhadap alam sekitar secara menyeluruh untuk mengutamakan kemampanan dan pemeliharaan alam sekitar, terutama sekali dari segi perlindungan pesisir pantai.

Pelan Induk Greater Sentosa merupakan sebahagian daripada transformasi yang lebih luas di kawasan tepi laut selatan Singapura, yang merangkumi kira-kira 30 kilometer garis pantai dari Gardens by the Bay East hingga Pasir Panjang.

Ini akan terdiri daripada kawasan kediaman baru serta pilihan komersial, rekreasi dan hiburan.

Pembangunan itu adalah seiring dengan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, yang dijadualkan dibuka sekitar pertengahan 2030-an untuk menampung peningkatan trafik penumpang yang dijangkakan.