Gambaran artis dijana menerusi AI yang menunjukkan Anggota Perkhidmatan Negara dalam perjalanan ke Pulau Tekong menerusi terowong dasar laut yang sedang dikaji.
Gambaran artis dijana menerusi AI yang menunjukkan Anggota Perkhidmatan Negara dalam perjalanan ke Pulau Tekong menerusi terowong dasar laut yang sedang dikaji. - Foto MINDEF

Rakyat Singapura mungkin boleh ke Pulau Tekong dengan lebih mudah menerusi terowong dasar laut pada masa hadapan, berbanding menaiki feri seperti sekarang.

Semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 pada 23 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mendedahkan kebolehlaksanaan pembinaan terowong sedemikian sedang dikaji.

Mengulas lanjut mengenai usaha untuk menghubungkan Pulau Tekong dengan tanah besar, Encik Wong menjelaskan pembinaan jambatan akan mengganggu laluan pelayaran utama.

Beliau akur bahawa projek terowong dasar laut merupakan satu usaha kejuruteraan yang amat besar, namun ia mampu mendekatkan lagi pulau itu dengan Singapura.

Encik Wong turut membentangkan rancangan tambakan tanah selanjutnya di bahagian selatan Tekong, yang bakal menyediakan lebih banyak ruang latihan untuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta sekitar 500 hektar tanah – kira-kira sebesar estet Toa Payoh – bagi kegunaan awam kelak.

Encik Wong berkata penggunaan tanah tersebut belum masih belum ditentukan, namun akan memberi Singapura jaminan untuk masa depan.

Rancangan tersebut adalah sebahagian daripada strategi peluasan tanah Singapura yang lebih luas demi memenuhi keperluan jangka panjang negara.

Antaranya ialah rancangan untuk menggabungkan beberapa pulau yang terletak di daerah selatan Pulau Jurong untuk mencipta pulau barat baharu.

Ini merangkumi rancangan untuk menggabungkan pulau seperti Pulau Semakau, Sudong dan Bukom dalam dekad mendatang.

Menurut Encik Wong, langkah tersebut akan menyediakan ruang untuk menampung kemudahan pengilangan canggih, serta prasarana penjanaan tenaga baharu untuk memenuhi keperluan masa depan Singapura.

Sementara itu, terdapat rancangan untuk menambah baik prasarana laluan hubungan di Sentosa dan Pulau Brani.

Dalam ucapan bahasa Inggeris, Encik Wong berkata lebih banyak ruang diperlukan untuk perkembangan dan kejayaan masa depan Singapura.

Ini termasuk memenuhi keperluan perumahan, pekerjaan, prasarana dan pengangkutan, jelasnya.

Namun, beliau menegaskan setiap keputusan penggunaan tanah dikaji dengan teliti untuk memahami kesannya.

“Di pulau yang kecil ini, setiap inci tanah amat berharga... Pada masa yang sama, kita menghargai kawasan hijau, biodiversiti, serta lokasi yang kaya dengan warisan dan sejarah.

“Kadangkala, keputusan sukar dan pertimbangan seimbang perlu dilakukan. Apabila pembangunan menjadi satu keperluan, kami akan mengkaji kesannya secara teliti, membuat penyesuaian dan mengurangkan sebarang gangguan,” tambah Encik Wong.

Encik Wong juga berkongsi projek peluasan tanah yang dirancang bagi bahagian barat, timur dan selatan Singapura.

Selain lebih banyak ruang untuk prasarana dan industri baharu, ruang untuk kegiatan SAF akan turut disediakan di pulau barat baharu.

Pada masa ini, terdapat landasan pesawat di Pulau Sudong yang digunakan oleh SAF dalam situasi kecemasan.

Encik Wong berkata langkah mencipta pulau barat baharu itu sejajar dengan keputusan kepimpinan sebelum ini untuk mencipta Pulau Jurong menerusi langkah tambakan tanah.

Langkah itu, tegas beliau, membawa banyak manfaat seperti meningkatkan daya ketahanan tenaga Singapura dan menyediakan pekerjaan.

Sementara itu, laluan hubungan dari tanah besar Singapura ke Pulau Jurong, serta dari Pulau Jurong ke pulau barat baharu, akan dipertingkatkan.

Jalan raya kedua yang menghubungkan tanah besar Singapura ke Jurong Island akan dibina.

Menurut Encik Wong, ia bertujuan mengurangkan kesesakan di koswe sedia ada yang kerap digunakan.

Pulau Jurong dan pulau barat baharu akan turut dihubungkan.

Sentosa dan Pulau Brani juga akan diperbaharui untuk menawarkan kegiatan rekreasi dan daya tarikan baharu, tambah Encik Wong.

Encik Wong turut mendedahkan rancangan untuk menghubungkan Sentosa dan Pulau Brani sebagai satu destinasi bersepadu, menerusi usaha tambakan tanah.

Langkah ini bakal dilaksanakan setelah operasi pelabuhan dipindah keluar dari Pulau Brani.

Sentosa dan Pulau Brani juga akan diperbaharui untuk menawarkan kegiatan rekreasi dan daya tarikan baharu, tambah Encik Wong.

Antara daya tarikan dan pengalaman baharu termasuk resort NTUC Downtown South, yang pertama kali diketengahkan pada 2019.

Untuk memastikan kawasan itu mudah diakses, sistem pergerakan baharu akan dibina untuk menghubungkan tanah besar Singapura, Sentosa dan Pulau Brani.

Perkhidmatan teksi air turut akan diteroka, kongsi Encik Wong.

Grafik janaan AI menunjukkan sistem pergerakan baharu yang tiba di Island Heart.
Grafik janaan AI menunjukkan sistem pergerakan baharu yang tiba di Island Heart. - Foto SYARIKAT PEMBANGUNAN SENTOSA
Grafik janaan AI yang menunjukkan perkhidmatan teksi air di Sentosa dan Pulau Brani yang sedang diteroka.
Grafik janaan AI yang menunjukkan perkhidmatan teksi air di Sentosa dan Pulau Brani yang sedang diteroka. - Foto SYARIKAT PEMBANGUNAN SENTOSA

Untuk memberi rakyat Singapura lebih peluang menikmati alam semula jadi, pesisir dan pantai Sentosa juga akan dipertingkatkan.

Orang ramai bakal diberikan lebih akses ke pesisiran barat, yang mempunyai hidupan marin luas dan geologi unik.

Perubahan besar yang terakhir di Sentosa adalah lebih 15 tahun lalu, menerusi pembangunan Resorts World dan Universal Studios.

Encik Wong turut memberi maklumat terkini tentang projek tambakan tanah di Pulau Tekong.

Sebelum ini, Pulau Tekong merupakan dua pulau berbeza – Tekong Besar dan Tekong Kecil.

Pada masa ini, tanah sudah ditambak di sekeliling Tekong Besar dan Tekong Kecil, sekali gus menghubungkan kedua-dua pulau itu.

Ia merupakan satu strategi perlindungan kritikal berskala besar.

Ia bertujuan melindungi Taman East Coast yang berada pada paras yang rendah, dengan kebanyakan kawasannya secara purata berada pada kurang daripada lima meter di atas paras air laut.

Berita Harian telah melaporkan fasa pertama kerja persediaan bagi projek Long Island itu bakal dimulakan di kawasan perairan sebelah barat Jeti Bedok di East Coast mulai akhir 2026.