Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB tawar lebih 5,000 flat BTO, 4,600 baki flat

Jul 16, 2025 | 3:32 PM
HDB, BTO, SBF, baki flat
Pelancaran kali ini turut menampilkan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di Sembawang North, iaitu projek Sembawang Beacon dengan tempoh menunggu selama tiga tahun. - Foto HDB

Lebih 4,600 unit baki flat, termasuk 1,733 unit yang telah siap dibina dan sedia untuk didiami, akan ditawarkan untuk jualan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Julai.

Jumlah itu melebihi komitmen awal pihak berkuasa untuk menawarkan 3,000 unit Jualan Baki Flat (SBF), kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam satu kiriman Facebook pada 16 Julai. 

Namun, beliau tidak mendedahkan tarikh pelancaran jualan tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Penjualan kedua SBF buat tahun ini akan menjadikan jumlah keseluruhan baki flat yang ditawarkan pada 2025 melebihi 10,000 unit, tambahnya.

Pada Februari, sebanyak 5,590 unit SBF pada pelbagai peringkat pembinaan telah ditawarkan dan menerima lebih 22,000 permohonan, jauh melebihi jumlah unit yang disediakan.

Sebelum ini, penjualan SBF diadakan dua kali setahun, tetapi mulai 2024, ia hanya diadakan sekali setahun.

Sekitar 5,500 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) juga akan dilancarkan di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Tampines, Toa Payoh, Sembawang dan Woodlands.

Daripada bilangan itu, 1,400 unit flat akan mempunyai tempoh menunggu kurang daripada tiga tahun, jelas Encik Chee. 

Unit-unit tersebut adalah sebahagian daripada projek Clementi Emerald dan Bangkit Breeze di Bukit Panjang.

Selain itu, jualan kali ini turut memperkenalkan flat BTO pertama di Sembawang North.

Flat fleksi dua bilik serta flat tiga, empat dan lima bilik, termasuk unit tiga generasi akan ditawarkan di projek Sembawang Beacon, yang mempunyai tempoh menunggu selama tiga tahun.

Projek sebanyak 775 unit yang terletak di antara Admiralty Link, Admiralty Lane dan Canberra Road itu akan dibina berhampiran kemudahan seperti taman kejiranan, stesen MRT Sembawang dan Sembawang Mart yang menempatkan pasar raya, medan selera dan beberapa kedai.

Flat baru di Simei, yang akan dibina buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad, turut termasuk dalam pelancaran Julai ini.

Projek itu akan menawarkan sekitar 380 unit flat fleksi dua bilik serta flat empat dan lima bilik, di tapak yang terletak antara Simei Road dan Upper Changi Road East – kawasan yang diklasifikasikan HDB sebagai sebahagian daripada Tampines.

Pembangunan kedua di kawasan baru Woodlands North Coast, iaitu projek dengan 1,130 unit flat, akan turut ditawarkan.

Rancangan untuk kawasan ini melibatkan pembangunan pelbagai guna berdekatan kawasan perairan, yang akan mempunyai 4,000 unit flat apabila siap kelak.

Projek pertama di kawasan ini, Woodlands North Verge, telah dilancarkan pada Februari.

Encik Chee berkata pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menawarkan pilihan perumahan yang pelbagai, bagi memenuhi keperluan dan kemampuan kewangan pembeli, termasuk mereka yang memerlukan flat dengan segera.

“Kami akan terus memastikan bekalan flat HDB yang kukuh untuk menyokong aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Singapura,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg