Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancaran buku bahas skim NCMP

Jul 23, 2024 | 4:37 PM
(Dari kiri) Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Profesor Walter Woon memberikan ucaptama semasa pelancaran buku Non-Constituency Members of Parliament: What’s Next for the Scheme? yang turut dihadiri oleh mantan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Profesor Inderjit Singh (dalam talian); pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah; NCMP daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai dan mantan koresponden politik Cik Ng Wai Mun.
(Dari kiri) Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Profesor Walter Woon memberikan ucaptama semasa pelancaran buku Non-Constituency Members of Parliament: What’s Next for the Scheme? yang turut dihadiri oleh mantan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Profesor Inderjit Singh (dalam talian); pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah; NCMP daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai dan mantan koresponden politik Cik Ng Wai Mun. - Foto BH oleh SHIQIN RAMADAN

Singapura menghadapi cabaran yang sangat besar dalam menangani isu-isu seperti perubahan iklim, jenayah siber dan jenayah transnasional.

Bagaimanakah Singapura dapat menangani perkara tersebut tanpa sokongan dari semua pihak?

Ini sebabnya skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) relevan bagi Singapura kerana ia memberi suara kepada golongan minoriti, menurut mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Profesor Walter Woon.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran buku bertajuk Non-Constituency Members of Parliament: What’s Next for the Scheme? pada 18 Julai di Book Bar di Duxton Road.

Buku itu merupakan hasil sumbangan beberapa pihak, termasuk mantan NCMP, mantan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), anggota parti pembangkang serta pemerhati politik bersama mantan NCMP, Encik Yee Jen Jong dan Ketua Penyelidikan di persatuan perdagangan City of London, Encik Loke Hoe Yeong, selaku editor buku itu.

Profesor Woon, yang juga mantan peguam negara kelima Singapura dari 2008 hingga 2010, berkata:

“Tiada apa yang dapat menjamin bahawa pada masa hadapan, kita tidak akan diperintah oleh parti yang menang dengan hanya pengundian plural, bukan majoriti.

“PAP, sehingga kini, telah berjaya mendapat undi majoriti. Tetapi ia tidak akan dijamin dalam jangka panjang.

“Singapura menghadapi cabaran yang sangat besar dalam menangani isu-isu seperti perubahan iklim, jenayah siber dan jenayah transnasional.”

Beliau yang telah menyumbang kepada babak pertama buku itu menambah:

“Saya tidak fikir cabaran untuk Singapura terlalu besar untuk kita tidak menyedari hakikat bahawa pada masa hadapan, kita mungkin tidak mempunyai pemerintah yang disokong oleh rakyat majoriti. Kita memerlukan parti pembangkang.”

Acara itu turut menampilkan perbincangan panel dan sesi soal jawab bersama Encik Yee, mantan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Profesor Inderjit Singh; NCMP daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai; pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah, dan dikendalikan oleh mantan koresponden politik Lianhe Zaobao, Cik Ng Wai Mun.

Dalam sesi tersebut, mereka membincangkan antara lain sama ada skim NCMP masih relevan pada hari ini dan bagaimana ia boleh diubah, serta evolusi parti pembangkang di Singapura selama empat dekad yang lalu dan laluan masa depan pembangunan politik di Singapura.

Encik Yee berkongsi bagaimana arena politik di Singapura telah berubah sejak skim NCMP pertama diperkenalkan pada 1984 untuk memastikan sentiasa ada bilangan minimum anggota pembangkang yang diwakili di parlimen.

“Buku ini bertujuan menampilkan suara dan pandangan yang berbeza daripada anggota parti pemerintah, anggota parti pembangkang hingga ke pemerhati politik... Politik pada 1984 sangat berbeza dengan hari ini. Anggota politik akan berasa sangat sukar berkecimpung dalam politik, terutamanya kerana terdapat terlalu banyak risiko,” ujar beliau.

Tambah Encik Yee:

“Sudah tiba masanya untuk kita memandang lebih jauh kerana jika kita terus bergantung pada skim NCMP seperti ini, kita akan menganggapnya sebagai satu jaminan.

“Tetapi saya rasa ia sebenarnya lebih kepada ‘roda latihan’ yang telah membimbing demokrasi Singapura dan sudah tiba masanya untuk keluarkan ‘roda latihan’ tersebut.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg