Pelancong Singapura muncul sebagai pasaran yang paling mengutamakan kos di rantau Asia-Pasifik (Apac), mendahului para pelancong dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Demikian dapatan tinjauan ‘Travel Pulse 2026’ yang dijalankan platform tempahan pelancongan, Klook.

Tinjauan yang diterbitkan pada 8 Julai itu mendapati 71 peratus responden dari Singapura menyatakan kebimbangan kewangan sebagai halangan terbesar untuk mereka melancong. 

Meskipun begitu, lapan daripada 10 orang yang ditinjau berkata mereka tetap akan meneruskan rancangan pelancongan mereka.

Dapatan tersebut menunjukkan bahawa meskipun pelancong Singapura semakin peka dengan kos pelancongan yang semakin meningkat, mereka memilih untuk menyesuaikan diri berbanding mengurangkan kekerapan kegiatan tersebut.

Ini dilakukan dengan mencari cara-cara lebih strategik untuk meraih nilai terbaik bagi setiap perbelanjaan pelancongan mereka. 

Sebagai contoh, mereka mencari tawaran hebat dan diskaun (47 peratus responden), membuat tempahan lebih awal untuk mendapatkan harga lebih baik (46 peratus), dan kembali ke destinasi yang pernah dikunjungi tetapi memilih penginapan yang lebih berpatutan (31 peratus).

“Sikap mengutamakan kos ini mengubah cara rakyat Singapura melancong, dan bukannya menentukan sama ada mereka melancong atau tidak,” kata Pengurus Besar Klook Singapura, Cik Sarah Wan, dalam satu kenyataan media. 

“Mereka melancong dengan lebih bijak, bukan mengurangkan kekerapannya, sambil merancang dengan lebih teliti, mencari nilai lebih baik, dan memilih pengalaman paling bermakna,” ujarnya lagi.

Pendekatan lebih peka dan terancang dalam melancong itu bukan sahaja merangkumi pengurusan kos, malah melangkaui aspek tersebut.

Tinjauan berkenaan mendapati semakin ramai pelancong Singapura turut mengambil kira faktor kesesakan dalam rancangan percutian mereka.

Menurut tinjauan itu, 66 peratus menyatakan kesesakan sesuatu tempat mempengaruhi secara ketara atau sepenuhnya pemilihan destinasi yang ingin dikunjungi, manakala 94 peratus berkata ia sedikit sebanyak mempengaruhi pilihan destinasi mereka.

Mereka juga kini lebih mengutamakan pengalaman berbanding destinasi semata-mata. 

Kira-kira 42 peratus berkata mereka merancang pelancongan berdasarkan pengalaman yang ingin dirasai, di samping bajet dan tarikh cuti, berbanding memilih destinasi terlebih dahulu.

Meskipun begitu, Jepun, China dan Vietnam kekal sebagai destinasi utama bagi pelancong Singapura. 

Klook mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama pada 2025 bagi pelancongan berkaitan Jepun, dengan bandar seperti Fukuoka merekodkan pertumbuhan sebanyak 33 peratus dan Nagoya pula meningkat sebanyak 58 peratus.

Di China, bandar seperti Guangzhou, Shenzhen, Beijing, Shanghai dan Chongqing terus popular, manakala Hangzhou merekodkan lonjakan permintaan sebanyak 233 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data Klook.

Permintaan untuk Vietnam turut meningkat 50 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, dengan Da Nang, Ho Chi Minh City, Sapa, Hanoi dan Ha Long City, menjadi antara destinasi yang paling mendapat tumpuan di negara berkenaan.