Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelanggan Jetstar Asia kelam kabut cari penerbangan, tukar rancangan

Ada yang terpaksa cari penerbangan lain agar tidak terlepas aktiviti yang dirancang
Jun 13, 2025 | 2:40 PM
Pengasas bersama ISGN Ventures Pte Ltd, Encik Fadzuli Wahab, berkongsi e-mel yang beliau dapat daripada Jetstar Asia mengumumkan bahawa jadual penerbangannya terpaksa ditukar.
Pengasas bersama ISGN Ventures Pte Ltd, Encik Fadzuli Wahab, berkongsi e-mel yang beliau dapat daripada Jetstar Asia mengumumkan bahawa jadual penerbangannya terpaksa ditukar. - Foto ihsan FADZULI WAHAB

Rancangan Encik Fadzuli Wahab, 43 tahun, untuk menghadiri mesyuarat perniagaan pada 23 Jun terpaksa ditunda apabila beliau diberitahu jadual penerbangannya untuk menaiki pesawat Jetstar Asia daripada Singapura ke Kuala Lumpur, Malaysia terpaksa ditukar.

Pengasas bersama ISGN Ventures Pte Ltd itu, yang sepatutnya menaiki pesawat Jetstar Asia pada 7 pagi (23 Jun) diumumkan menerusi e-mel pada 12 Jun bahawa penerbangannya akan ditunda kepada sebelah petang - pada 2.55 petang.

“Pertukaran jadual itu sebenarnya menjejas program saya. Saya sepatutnya menghadiri mesyuarat perniagaan di KL sekitar jam 10 pagi (23 Jun). Jadi, tidak mungkin saya dapat hadiri sekarang.

“Pada mulanya, Jetstar mempunyai jadual penerbangan pada 7 pagi. Saya fikir, sesuailah bagi saya untuk tiba di KL pada 8 pagi, sarapan dahulu, dan kemudian menuju ke mesyuarat saya,” kata Encik Fadzuli.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Fadzuli berkata beliau tidak marah meskipun terdapat pertukaran kepada jadual penerbangannya.

Namun, beliau yang kini dijadual terbang ke KL pada 2.55 petang, 23 Jun berharap Jetstar akan dapat membantunya mendapatkan jadual penerbangan yang lebih awal agar mesyuaratnya tidak terjejas.

Encik Fadzuli merupakan antara beberapa pelanggan Jetstar Asia yang terjejas akibat pengumuman syarikat penerbangan tambang murah itu untuk gulung tikar, yang turut menjejas jadual penerbangan tersebut.

Cik Nur Syarah Hassan, 27 tahun, seorang jururawat, memberitahu BH pada 13 Jun bahawa penerbangannya bersama Jetstar Asia daripada Singapura ke Jakarta, Indonesia pada 16 Jun telah dibatalkan oleh syarikat tersebut.

Beliau yang sepatutnya bertolak pada 16 Jun untuk bercuti bersama rakan-rakannya, terpaksa mencari penerbangan alternatif lain kerana semua aktivitinya telah ditempah di Jakarta.

“Semalam (Jetstar Asia) menghantar e-mel kepada saya menyatakan penerbangan pulang saya akan ditangguhkan. Dua jam kemudian, mereka memaklumkan penerbangan saya untuk berlepas dibatalkan.

“Jadi saya risau sebab saya sepatutnya bertolak pada Isnin ini (16 Jun) dan semua penginapan dan aktiviti sudah ditempah. Jadi, kami terpaksa menempah pesawat lain daripada syarikat penerbangan lain,” kata Cik Syarah.

Untuk menempah penerbangan lain, Cik Syarah berkata harga tiket kira-kira $200 lebih mahal berbanding Jetstar Asia, namun, berasa ia berbaloi kerana beliau dapat “berasa lebih selamat bahawa urusan penerbangan dapat diselesaikan”.

Selain Encik Fadzuli dan Cik Syarah, seorang lagi pelanggan, Cik Sarah Adam, 38 tahun, seorang pegawai pentadbiran, turut berdepan dengan pengalaman yang disifatkan sebagai “amat mengecewakan”.

Beliau, yang sepatutnya bertolak daripada Singapura bersama suaminya pada 8 pagi, 13 Jun untuk menuju ke Jakarta - hanya diberitahu sehari sebelum penerbangannya (12 Jun) bahawa penerbangannya telah dibatalkan.

Penerbangan lain yang ditawarkan oleh Jetstar Asia hanya akan bertolak pada 14 Jun, iaitu sehari kemudiannya, kata Cik Sarah.

“Saya tidak mahu. Justeru, saya kelam kabut mencari penerbangan lain yang akan bertolak pada 13 Jun. Bersyukur, saya dapat menempah pesawat Scoot yang dapat bertolak pada 7.50 pagi pada 13 Jun, masa penerbangannya juga agak sama,” kata Cik Sarah.

Menjawab pertanyaan BH pada 13 Jun, Cik Sarah berkata beliau dan suaminya telah selamat tiba di Jakarta, dan akan pulang pada 17 Jun menerusi pesawat Scoot.

Beliau juga telah memohon dan sedang menantikan bayaran balik daripada daripada Jetstar Asia, yang katanya, akan beliau terima dalam masa tujuh hari, seperti dimaklumkan oleh syarikat penerbangan itu.

“Semalam (Jetstar Asia) menghantar e-mel kepada saya menyatakan penerbangan pulang saya akan ditangguhkan. Dua jam kemudian, mereka memaklumkan penerbangan saya untuk berlepas dibatalkan. Jadi saya risau sebab saya sepatutnya bertolak pada Isnin ini (16 Jun) dan semua penginapan dan aktiviti sudah ditempah. Jadi, kami terpaksa menempah pesawat lain daripada syarikat penerbangan lain.”
Cik Nur Syarah Hassan, 27 tahun, seorang jururawat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg