Syarikat bank OCBC akan memperkenalkan ciri yang dapat mengubah saiz teks bahasa Inggeris dan Mandarin bagi aplikasi perbankannya.
Ciri itu bertujuan memudahkan pembacaan dan menjadikan aplikasi tersebut lebih mesra golongan warga emas, menurut bank tersebut pada 3 Julai.
Usaha ini, yang menyokong inisiatif industri ke arah keterangkuman dalam perbankan digital, dijangka akan dilancarkan menjelang akhir Julai 2025, lapor The Straits Times.
“Sedang Singapura beralih ke arah menjadi masyarakat yang semakin menua, ciri ini bertujuan menyokong warga emas serta pengguna yang mengalami masalah penglihatan atau kurang yakin menggunakan teknologi digital,” jelas bank tersebut.
Menurut OCBC, kebanyakan aplikasi perbankan sedia ada, tidak menawarkan pilihan untuk menukar saiz teks secara langsung.
Pengguna boleh mengubah suai saiz teks melalui tetapan telefon bimbit mereka, namun kaedah itu mempunyai batasan tersendiri, tambahnya.
“Bagi mengatasi isu ini, penyelesaian OCBC menyesuaikan muka aplikasi mengikut saiz teks pilihan pelanggan dan dimensi skrin telefon bimbit mereka,” katanya.
Pengguna boleh memilih daripada tujuh pilihan saiz teks, termasuk pilihan yang lebih besar dan mudah dibaca.
Ciri itu diperkenalkan atas usaha selama setahun yang melibatkan lebih 100 jurutera, pereka bentuk dan pengurus produk, kata OCBC.
“Usaha ini digerakkan oleh pemerhatian kakitangan kebelakangan ini yang menyedari ramai pelanggan warga emas mengalami kesukaran membaca teks dan bimbang melakukan kesilapan semasa menggunakan perbankan dalam talian,” jelasnya.
Dengan pelancaran ciri ini, ratusan skrin dalam aplikasi telah direka semula.
Ini termasuk skrin bagi fungsi yang paling kerap digunakan oleh warga emas seperti butiran baki akaun, Money Lock yang membolehkan pelanggan mengunci dana untuk menghalang transaksi yang tidak dibenarkan serta fungsi imbas dan bayar, Scan and Pay.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna Sejagat OCBC, Encik Sunny Quek, berkata:
“Dengan hampir 40 peratus pelanggan digital kami berusia 60 tahun ke atas, jelas bahawa reka bentuk yang mengambil kira keperluan semua golongan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
“Ciri yang boleh mengubah saiz teks ini mungkin dianggap remeh, tetapi ia merupakan satu lagi langkah bermakna dalam pendekatan kami terhadap perbankan terangkum.”
Dengan itu, Encik Quek berharap ciri baru itu dapat mendorong warga emas yang masih ragu-ragu untuk mencuba perbankan digital.
Bagi mereka yang belum bersedia, OCBC akan menempatkan Duta Penjagaan, iaitu kakitangan yang fasih dalam sekurang-kurangnya dua dialek, di beberapa cawangannya untuk sedia membantu.
OCBC juga akan terus mengekalkan waktu operasi pada beberapa cawangan pada Ahad.
“Semua saluran kami akan terus dibuka kerana perkhidmatan perbankan harus sentiasa mudah diakses semua,” ujar Encik Quek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg