Polis kini diberi kuasa mengawal akaun bank mangsa penipuan yang degil, iaitu mereka yang enggan mengakui diri mereka ditipu, walaupun terdapat bukti jelas.
Dengan berkuat kuasanya Akta Perlindungan daripada Penipuan pada 1 Julai, polis dibenarkan mengeluarkan Arahan Sekatan (RO) kepada bank, yang kemudian akan mengehadkan transaksi perbankan bagi akaun individu tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Akta yang diluluskan pada 7 Januari itu membolehkan polis melindungi mangsa penipuan dengan menghalang mereka daripada memindahkan wang, menggunakan ATM, mengakses perkhidmatan kredit, serta melakukan transaksi bersemuka dan di kaunter.
Mereka yang dikenakan RO masih boleh mengakses wang untuk tujuan sah, termasuk membayar bil dan membeli keperluan harian seperti barangan runcit.
Pada 30 Jun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata RO akan dikeluarkan jika dipercayai mangsa penipuan itu akan memindahkan wang kepada penipu.
Polis berkata salah satu cabaran utama adalah meyakinkan mangsa bahawa mereka telah ditipu.
Tanpa Akta itu, polis tidak dapat menghalang mangsa daripada menggunakan wang mereka, walaupun disyaki ditipu.
MHA berkata RO hanya akan dikeluarkan sebagai langkah terakhir setelah semua usaha untuk meyakinkan mangsa gagal.
Keputusan mengeluarkan RO akan dibuat oleh pegawai polis, berdasarkan penilaian terhadap fakta dan situasi setiap kes.
Setelah keputusan dibuat, RO akan dikeluarkan secara automatik kepada tujuh bank utama – OCBC, DBS, UOB, Maybank, Standard Chartered, Citibank dan HSBC – serta bank-bank lain.
RO akan berkuat kuasa selama 30 hari pada satu-satu masa dan boleh dilanjutkan sehingga lima kali, yang bermakna ia boleh berlangsung hingga enam bulan.
Polis boleh membatalkan RO sebelum had masa 30 hari jika individu itu dinilai tidak lagi berisiko ditipu.
Rayuan terhadap RO boleh dibuat kepada Pesuruhjaya Polis dan keputusannya adalah muktamad.
MHA menyatakan bahawa 10 atau lebih RO mungkin dikeluarkan setiap bulan, berdasarkan kes-kes sebelumnya di mana polis gagal campur tangan.
Pada 2024, mangsa penipuan di Singapura kehilangan $1.1 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah.
Polis mencatatkan jumlah laporan penipuan tertinggi pada 2024, dengan 51,501 kes berbanding 46,563 kes pada 2023.
Secara keseluruhan, mangsa di Singapura telah kehilangan lebih $3.4 bilion kepada penipuan sejak 2019.
Dalam lebih tiga daripada empat kes pada 2024, mangsa secara sukarela memindahkan wang tanpa penipu menguasai akaun mereka.
Polis berkata mangsa dimanipulasi melalui penipuan dan kejuruteraan sosial.
Penipuan e-dagang adalah taktik paling biasa pada 2024, dengan 11,665 kes dilaporkan.
Mangsa penipuan pelaburan mengalami kerugian terbesar, dengan $320.7 juta hilang akibat penipuan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg