Pelanggan Warong Nasi Pariaman keliru, sedih restoran tutup mendadak
Pelanggan Warong Nasi Pariaman keliru, sedih restoran tutup mendadak
Restoran nasi padang legenda, Warong Nasi Pariaman, ibarat ‘port’ bersantai bagi Cik Siti Hajilah Adam, 46 tahun, dan rakan-rakannya, ketika menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dari 1998 hingga 2001.
Mereka sanggup berjalan dari institusi seni sekitar Middle Road itu ke persimpangan North Bridge Road dan Kandahar Street bagi menikmati sajian lazat untuk makan tengah hari beramai-ramai.
Justeru, berita mengejutkan tentang penutupan restoran nasi padang turun temurun itu pada 31 Januari ini mendorongnya bergegas ke kedai itu agar anak remajanya, Saniy Sofian, 16 tahun, dan Sofia Sofian, 15 tahun, dapat merasakan sajian yang membuka selera di situ agar tidak kempunan.
Bagaimanapun, Cik Siti Hajilah tidak menyedari Warong Nasi Pariaman selama ini tutup setiap Rabu ketika singgah ke situ pada 21 Januari.
“Anak-anak saya tidak pernah cuba Warong Nasi Pariaman. Jadi saya fikir bila lagi mereka nak cuba kalau bukan sekarang? Saya pun ingin imbas kembali zaman di Nafa. Saya selalu lepak di sini.
“Hari ini kami bertiga jalan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) ke sini tetapi sayangnya ia tutup pula. Saya akan cari waktu lain untuk datang lagi,” ujar Cik Siti Hajilah, seorang pereka grafik, ketika ditemui Berita Harian (BH) di luar restoran itu.
Warong Nasi Pariaman, diasaskan pasangan suami isteri dari Pariaman, Padang – Haji Isrin Ibrahim dan Hajah Rosnah Zainal Abidin pada 1948 sebagai gerai nasi kecil di Arab Street.
Ia kemudian diambil-alih oleh anak mereka Encik Abdul Munaf, Encik Jumrin dan Encik Sudirman pada 1998. Pada 20 Januari, Encik Abdul Munaf telah mengesahkan penutupan restoran itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Dalam satu catatan Facebook pada 21 Januari, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menemui Encik Munaf pada 20 Januari, menulis:
“Saya berkongsi dengan pemilik Warong Nasi Pariaman tentang harapan orang ramai agar mereka mengetahui betapa mereka cukup dihargai, serta betapa besar makna hidangan dan kehadiran mereka buat masyarakat sepanjang bertahun-tahun lamanya.”
Rasa dukacita di atas penutupan restoran berusia 78 tahun itu turut dirasakan beberapa usahawan yang mengendalikan perniagaan sederet dengan Warong Nasi Pariaman.
Pengasas bersama restoran Kulon dan Ono Ramen, Cik Wati Abdul Khamid, berkata: “Anak saya memberitahu restoran itu akan ditutup. Sedih terasa kerana mereka sudah sangat lama berjualan di situ dan kalau restoran itu ditutup, maka makanan nasi padang bersejarah akan berkurangan,” katanya.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata: “Saya rasa sedih kerana kami kawan lama dan berjiran di Kampong Gelam. Kita kehilangan ikon makanan Melayu, khususnya makanan Padang di Singapura.
“Kalau kita sebagai pelanggan tidak melakukan sesuatu untuk membantu mereka seperti mengunjungi restoran mereka untuk makan, mungkin satu masa nanti, kita akan kehilangan lebih banyak lagi perniagaan warisan dan ia satu kehilangan besar buat masyarakat Melayu dan Singapura.”

