Dikelilingi ramai anak buah, secara semula jadi naluri Cik Nur Arini Rahwi sangat teringin menimang cahaya mata sendiri suatu hari nanti.
Namun, setelah mendirikan rumah tangga pada 2021, Cik Arini, yang kini berusia 35 tahun, mendapati dirinya gagal untuk mengandung meskipun berusaha mendapatkan anak sepanjang setahun.
Yang tidak membantu adalah soalan “bila nak ada anak” yang dilontarkan kepadanya sedang beliau mengusahakan pelbagai cara termasuk mengamalkan petua orang-orang tua dan menelan bermacam suplemen.
Kunjungan ke pakar ginekologi kemudian mendedahkan bahawa kededua tiub fallopio – saluran yang membawa telur yang dihasilkan ovari ke dalam rahim – beliau bengkak dan perlu dikeluarkan kerana boleh menyebabkan toksin yang boleh menjejas proses mendapatkan anak.
“Saya nangis tak henti kerana rasa diri ini tidak lengkap sebagai wanita,” ujarnya yang disah menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).
Tidak lentur semangatnya, beliau dan suaminya mencari jalan mendapatkan anak menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF), yang juga tidak kurang menduga perasaan dan emosinya.
Percubaan mereka yang pertama pada Ogos 2023 tidak berhasil.
“Saya tak keruan dan terus asingkan diri saya daripada semua orang. Waktu itu rakan saya, kakak ipar saya baru sahaja melahirkan anak jadi saya rasa sangat tertekan.
“Bukan iri hati tetapi hati saya penuh hiba merenungkan nasib diri.
“Saya banyak salahkan diri saya kerana rasa diri ini yang bermasalah. Sepanjang proses IVF, saya rasa kesepian. Orang lain susah faham apa yang saya lalui kerana mereka boleh mendapat anak secara semula jadi,” luah kakitangan pentadbiran itu.
Berkat ketabahannya, percubaan kedua beliau berhasil beberapa bulan setelah itu.
Dan kali ini bukan satu, tetapi tiga nadi yang berdegup sama di dalam rahimnya.
Dua embrio tertanam di rahim, dengan salah satu berpecah menjadi kembar.
Namun kebahagiaan yang dikecapi itu diiringi kesedihan apabila Cik Arini mendapati bahawa degupan nadi kembarnya berhenti pada usia enam minggu lima hari.
“Sedih tetap sedih, tetapi saya reda kerana pasti ada hikmah di setiap sesuatu. Saya sudah cukup bersyukur dengan anak saya yang satu itu masih bernyawa,” kongsi beliau.
Pada 8 Ogos 2024, Cik Arini melahirkan puteranya setelah 16 jam bertarung dalam bilik bersalin.
“Kebahagiaan yang saya rasakan tak terhingga. Segala suntikan yang saya terpaksa lalui sebelum itu terasa berbaloi,” katanya yang menggambarkan perasaan mendakap bayi ‘pelangi’ beliau itu.
Tidak hairanlah Raya 2025 cukup istimewa bagi Cik Arini dan suami dengan kehadiran seorang anak.
Baju raya bagi si kecil pun sudah dibeli sebelum bulan Ramadan.
“Kami sangat teruja sehingga baju anak kami seorang sahaja sudah tiga pasang!” kongsinya penuh girang.
Jika tahun-tahun sebelumnya baju Raya Cik Arini menjadi keutamaan, beliau berkata baju anaknya kini yang dicari dulu.
Ditanya tentang harapannya, Cik Arini tetap kekal positif meski dirinya tidak dapat mengandung secara semula jadi dan perlu melalui IVF lagi jika teringin lebih ramai anak.
“Sekurang-kurangnya saya dapat merancang anak saya, dan tak perlu berdepan dengan keadaan dapat anak dengan ‘mengejut’!” katanya sambil tersenyum.
“
Bukan iri hati tetapi hati saya penuh hiba merenungkan nasib diri... Saya banyak salahkan diri saya kerana rasa diri ini yang bermasalah. Sepanjang proses IVF, saya rasa kesepian. Orang lain susah faham apa yang saya lalui kerana mereka boleh mendapat anak secara semula jadi.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg