Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinggalkan kampung cari rezeki, ‘bibik’ rai Raya pertama dengan keluarga baru

Mar 30, 2025 | 5:30 AM
Cik Siti Nurohmah Wahyudin (kiri) akan menyambut Raya pertama bersama keluarga majikannya, (dari kanan) Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya’acob dan Cik Nur Syarfeena Mohd Fauzi bersama anak-anak mereka, Sofiyyah Azzahra (didukung), Ilhan Zaryf dan Aminul Bilhaq.
Cik Siti Nurohmah Wahyudin (kiri) akan menyambut Raya pertama bersama keluarga majikannya, (dari kanan) Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya’acob dan Cik Nur Syarfeena Mohd Fauzi bersama anak-anak mereka, Sofiyyah Azzahra (didukung), Ilhan Zaryf dan Aminul Bilhaq. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Seperti ramai pembantu rumah lain yang meninggalkan kampung halaman mereka demi mencari sesuap nasi di Singapura, Raya sememangnya diiringi perasaan hiba berjauhan daripada keluarga.

Apatah lagi bagi Cik Siti Nurohmah Wahyudin, yang akan menyambut Raya pertamanya tanpa keluarga di sisi.

Pembantu rumah berusia 27 tahun itu yang baru mula bekerja di Singapura pada awal 2025 berkata:

“Tentunya rasa sedih sedikit kerana setiap Raya saya berkumpul dengan keluarga saya, nikmati lauk kegemaran opor ayam yang dimasak ibu mentua saya.”

Tatkala mendengar beliau berkongsi demikian, majikannya, Cik Nur Syarfeena Mohd Fauzi, tertawa dan dengan pantasnya membalas balik:

“Okey, nanti saya masakkan opor ayam!”

Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Syarfeena, 32 tahun, berkata sepertimana ia Raya pertamanya buat ‘bibik’ beliau, ia juga Raya pertama buat beliau sekeluarga menetap bersama seorang pembantu rumah.

“Saya memandang beliau sebagai insan yang juga ada keluarga dan anak sendiri dan tahu bahawa ia satu perjuangan untuk beliau berjauhan daripada keluarga.

“Saya sendiri cuba untuk memudahkan proses beliau menyesuaikan diri. Puas kami merantau Singapura dan juga sanggup pergi sejauh Johor Bahru untuk dapatkan baju raya baru yang lawa untuk beliau tetapi semua beliau tak berkenan!

“Beliau mahukan yang ‘simple’ sahaja. Jadi saya ikutkan supaya beliau rasa selesa dan sebahagian keluarga saya,” jelas eksekutif kanan itu.

Justeru, walau terasa berat meninggalkan suami dan dua anaknya berusia enam dan dua tahun, Cik Siti Nurohmah menganggap keluarga majikannya ibarat “keluarga baru” beliau malah tidak rasa terasing daripada mereka.

Cik Nurohmah yang berasal dari Purbalingga, Jawa Tengah, sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah di Indonesia dan pernah bekerja di kilang.

Namun, gaji beliau dan suaminya, seorang pekerja binaan, tidak cukup untuk membiayai kos persekolahan anak mereka yang bakal ke sekolah rendah.

Justeru, bekerja di Singapura merupakan satu-satunya cara untuk mencari rezeki cukup bagi menampung keluarganya, dengan jumlah gajinya berganda.

“Rindu itu ada, tetapi saya anggap ia perkara biasa. Setiap beberapa malam saya akan hubungi mereka menerusi panggilan video,” ujarnya.

Lagipun, turut menghiburkan hatinya adalah kehadiran tiga anak kecil majikannya berusia empat tahun, tiga tahun dan dua bulan yang beliau bantu uruskan setiap hari.

Cik Syarfeena berkata: “Saya sedar akan pengorbanan yang perlu dilakukannya. Beliau juga ada anak kecil, sama seperti saya.

“Ia satu perjuangan buat mereka untuk menghabiskan kontrak lebih-lebih lagi memandangkan tujuh bulan pertama, hampir semua gajinya diberi kepada ejen demi melangsaikan hutang ejen.

“Justeru saya sekeluarga sedaya upaya memastikan beliau selesa, dan dapat turut gembira beraya bersama kami nanti.”

Tentunya rasa sedih sedikit kerana setiap Raya saya berkumpul dengan keluarga saya, nikmati lauk kegemaran opor ayam yang dimasak ibu mentua saya.
Cik Siti Nurohmah Wahyudin, pembantu rumah yang baru bekerja di Singapura sejak awal 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg