Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Pertahanan paling lama berkhidmat Ng Eng Hen tidak akan bertanding

Akur pertukaran kepimpinan kunci kekuatan parti pemerintah, tiba masa beliau beri laluan kepada calon baru dalam GE2025
Apr 18, 2025 | 11:42 AM
Dr Ng Eng Hen akur pertukaran kepimpinan adalah kekuatan utama parti dan sudah tiba masanya untuk beliau berundur bagi memberi laluan kepada calon baru.
Dr Ng Eng Hen akur pertukaran kepimpinan adalah kekuatan utama parti dan sudah tiba masanya untuk beliau berundur bagi memberi laluan kepada calon baru. - Foto ST

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, akan bersara daripada politik selepas lebih dua dekad menggalas amanah menjaga ehwal ketenteraan.

Beliau yang menjadi Anggota Parlimen (AP) selama lima penggal itu mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dalam satu sidang media di Cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Toa Payoh West-Thomson pada 18 April.

Sidang media berkenaan diadakan bagi memperkenalkan barisan calon PAP bagi GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Marymount.

Di sidang media itu, diumumkan bahawa Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, kini mengetuai pasukan PAP di GRC tersebut.

Menurut Dr Ng yang telah membimbing strategi ketenteraan Singapura mengharungi sekitaran keselamatan kian kompleks, pertukaran kepimpinan adalah kekuatan utama parti dan sudah tiba masanya untuk beliau berundur bagi memberi laluan kepada calon baru.

“Saya telah memaklumkan (kepada Perdana Menteri Lawrence Wong) beberapa bulan lalu bahawa sudah tiba masanya untuk saya meneruskan tradisi murni memberi ruang kepada pembaharuan dan penjanaan semula senarai calon PAP.

“Saya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (GE2025) akan datang,” katanya sambil berterima kasih kepada penduduk di GRC Bishan-Toa Payoh atas kepercayaan mereka selama 24 tahun.

“Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk berkhidmat kepada penduduk saya dan rakyat Singapura secara amnya,” kata Dr Ng, 66 tahun.

Dr Ng, seorang pakar bedah onkologi, menyertai politik sebagai sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Bishan-Toa Payoh pada Pilihan Raya Umum 2001 (GE2001).

Beliau dilantik sebagai Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) tidak lama kemudian, dan menjadi menteri penuh pada 2004.

Dr Ng sudah lama terlibat dalam urusan pertahanan Singapura sejak 2005 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kedua (Pertahanan), sambil mengekalkan portfolio di Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Beliau mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pada 2011.

Sebagai Menteri Pertahanan, beliau melancarkan dua pelan tindakan jangka panjang untuk memodenkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan memastikan ia kekal sebagai kuasa yang mampu menghadapi ancaman yang kian berkembang terhadap Singapura.

Inisiatif SAF 2030, yang didedahkan Dr Ng di Parlimen pada 2014, bertujuan menjadikan tiga perkhidmatan Republik – Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara – menjadi pasukan pejuang yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dan boleh membentuk pertahanan yang boleh dipercayai, walaupun kadar kelahiran menurun.

Pada 2024 pula, Dr Ng mengumumkan pelan tindakan SAF 2040 yang telah dikemaskini. Ia mengambilkira konflik yang berterusan seperti perang di Ukraine dan Israel-Hamas, di mana dron dan perang antidron nampak ketara.

Keupayaan peralatan tanpa dikemudi manusia mahupun berautonomi, justeru itu, menjadi sebahagian besar perancangan dalam memastikan SAF mengekalkan keunggulan operasinya dalam beberapa tahun mendatang, meskipun peperangan berubah.

Dr Ng juga memperjuangkan latihan askar dan menyelia pembangunan Bandar Safti, kemudahan latihan generasi akan datang di Lim Chu Kang, yang direka bagi menyediakan latihan peperangan bandar lebih realistik dan bersepadu, yang diumumkan pada 2017.

Ditanya siapa yang dirasakan berpotensi menggantikan tempatnya sebagai Menteri Pertahanan, Dr Ng berkata PM Wong yakin pasukan barunya kelak berupaya berdepan dengan cabaran dunia baru.

Dr Ng akur setiap pemerintah harus bijak mengemudi pergelutan dilema antara pembaharuan (pucuk pimpinan) dengan pengalaman. Katanya lagi, PAP mempunyai kekuatan dengan usaha berterusan memperbaharui kepimpinan.

Ahli politik mapan harus bersedia memberi laluan bagi ahli politik muda untuk persiapan masa depan, jelasnya.

“Tentunya, ada yang kurang berpengalaman. Tapi satu cara untuk mendapat pengalaman adalah menerusi usaha meraih pengalaman itu sendiri,” katanya.

Mengenai nasihat yang akan diberikan kepada mereka yang baru memasuki politik, Dr Ng berkata mereka perlu beri perhatian pada penduduk mereka. Tiada jalan pintas dalam meninjau citarasa dan keperluan penduduk kerana masyarakat Singapura sedia maklum dan cepat mencorak tanggapan peribadi.

Berkenaan rancangannya selepas bersara, beliau berkata dirinya tidak kekurangan minat untuk diteroka di samping kegiatan akar umbi yang boleh dilakukan dan akan menggembirakannya.

Dr Ng adalah antara beberapa ahli politik veteran yang dijangka mengundurkan diri bagi GE2025.

Sebelumnya, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg