Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelatih Minds beri sentuhan kreatif pada pondok keperluan bersihkan sekitaran

Projek lukis tempat simpan penyepit kutip sampah, baldi dan troli taman bernama CleanPod tingkat keyakinan diri pelatih
Aug 21, 2025 | 11:25 PM
Pengerusi, Majlis Kebersihan Awam (PHC), Encik Andrew Khng (belakang dua dari kiri); Pengarah Eksekutif, PHC, Dr Christina Liew (belakang tiga dari kiri); bersama kakitangan OCBC, wakil Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) dan pelatih semasa pelancaran CleanPod yang diperbaharui.
Pengerusi, Majlis Kebersihan Awam (PHC), Encik Andrew Khng (belakang dua dari kiri); Pengarah Eksekutif, PHC, Dr Christina Liew (belakang tiga dari kiri); bersama kakitangan OCBC, wakil Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) dan pelatih semasa pelancaran CleanPod yang diperbaharui. - Foto PHC

Lapan pelatih dari Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) berpeluang menggunakan daya kreativiti untuk mereka bentuk dua CleanPod di Taman East Coast.

Ia adalah hasil kerjasama pertama Majlis Kebersihan Awam (PHC) dengan Minds untuk memberikan wajah baru pada pondok kecil yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan alat pembersihan.

Dinamakan CleanPod, ia pertama kali dilancarkan pada Julai 2019.

Tempat penyimpanan alat pembersihan seperti penyepit untuk mengutip sampah, baldi dan troli taman itu membolehkan sesiapa sahaja meminjamnya untuk membantu membersihkan tempat awam seperti di Taman East Coast.

Sebagai sebahagian daripada daya usaha #OCBCCares, OCBC telah mengambil empat CleanPod untuk disokong.

Menurut pegawai latihan seni Minds, Cik Sunarti Abdul Samat, 38 tahun, lapan pelatih dari Minds Regional Hub Woodlands, meluangkan masa selama tiga minggu bagi projek itu.

Mereka terlibat daripada peringkat awal – melakar idea hingga melukis reka bentuk akhir.

Lima pelatih  Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) melukis di CleanPod atau pondok kecil yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan alat pembersihan. Lukisan itu memaparkan suasana keluarga dan rakan-rakan yang bermain, berehat dan menikmati alam semula jadi. 
Lima pelatih Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) melukis di CleanPod atau pondok kecil yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan alat pembersihan. Lukisan itu memaparkan suasana keluarga dan rakan-rakan yang bermain, berehat dan menikmati alam semula jadi.  - Foto PHC

Menurut Cik Sunarti, dengan tema keceriaan hidup di pantai, lukisan yang dihasilkan memaparkan suasana keluarga dan rakan-rakan yang bermain, berehat dan menikmati alam semula jadi.

Ia sejajar dengan lokasi CleanPod itu di Parkland Green di Taman East Coast.

Ia membawa mesej bahawa menjaga kebersihan ruang awam membolehkan semua orang menikmati persekitaran yang sihat dan indah.

Menurut Cik Sunarti, antara cabaran yang dihadapi adalah pelatih perlu menyesuaikan diri dengan permukaan melengkung CleanPod, cuaca, suasana di luar dan gangguan sekeliling.

“Cabaran utama adalah cuaca dan suasana luar. Tetapi dengan sokongan OCBC dan sukarelawan, mereka berjaya menyesuaikan diri serta kekal bersemangat,” kata Cik Sunarti.

Dua pelatih, Ross Chong dan Azlan Abdul Aziz, turut diberi peranan melakar reka bentuk untuk CleanPod tersebut kerana kemahiran mereka dalam menghasilkan lukisan berskala besar.

Selain mencantikkan kawasan Parkland Green, projek itu meningkatkan keyakinan diri para pelatih dan mendedahkan mereka kepada pengalaman baru.

“Kami mahu masyarakat melihat bahawa mereka mempunyai bakat unik dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat,” tambah Cik Sunarti.

PHC menyifatkan inisiatif itu sebagai gabungan penting antara kebersihan, seni dengan keterangkuman.

OCBC pula menegaskan iltizamnya untuk terus menyokong pembangunan masyarakat melalui #OCBCCares.

Projek itu sekali gus memperlihatkan bahawa setiap individu, tanpa mengira keupayaan, mampu memberi kesan positif kepada masyarakat serta mewarnai ruang awam dengan sentuhan bermakna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg