Pelawak Mahadi Syor hidap penyakit barah mulut, demensia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelawak Mahadi Syor hidap penyakit barah mulut, demensia

Antara tokoh veteran yang dapat sumbangan Projek Dana Kita Prihatin (DKP) Kelab Pondok Peranakan Gelam 2026
Mar 9, 2026 | 5:13 PM

Pelawak Mahadi Syor hidap penyakit barah mulut, demensia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mahadi Syor Obe Didi, Dana Kita Prihatin 2026, Masjid Malabar, Borhan Saini, Artis veteran Singapura
Encik Borhan Saini, Pengerusi Kelab Pondok Peranakan Gelam yang menganjurkan Projek Dana Kita Prihatin 2026, mengagihkan wang derma dan barang keperluan Ramadan kepada Mahadi Syor di Rumah Jagaan Kesihatan NTUC di Tampines - Foto S. YAACOB

Suatu ketika dahulu beliau sering mencuit hati ramai dengan telatah dan lakonan bersahaja serta personalitinya yang ramah.

Kini, pelawak Mahadi Syor, 75 tahun, yang juga dikenali sebagai Obe Didi, berada di Rumah Jagaan Kesihatan NTUC di Tampines dan sedang mendapatkan rawatan.

Ketika dihubungi, isterinya Cik Tiasa Bujang, 73 tahun, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Cik ‘Rozy’, memberitahu Berita Harian (BH) suaminya sedang mengalami beberapa penyakit, termasuk sakit buah pinggang akibat kencing manis, sakit jantung dan dari tahun lepas, menghidap kanser di bahagian mulutnya menyebabkan beliau tidak dapat bercakap dan kini, menghadapi kesukaran untuk makan.

Difahamkan, beliau juga menghidap demensia dan daya ingatannya lemah.

“Melihat keadaannya membuat saya sedih. Beliau seorang suami yang baik, dan sering bergurau, membuat saya ketawa,” kata Cik Rozy yang melawat suaminya sekurang-kurangnya tiga kali seminggu jika kesihatannya mengizinkan.

Mahadi Syor adalah antara tokoh veteran yang telah mendapat sumbangan dari Projek Dana Kita Prihatin (DKP) Kelab Pondok Peranakan Gelam 2026, selain bekas pemain sepak takraw kebangsaan Encik Eusofe Budal, serta pelakon Zamri Abdul Fatah (yang dikenali dengan watak Cik Leh dalam drama Suria ‘Jeritan Sepi’).

Menurut Encik Borhan Saini, Pengerusi DKP, keprihatinan terhadap golongan ini perlu diberikan perhatian oleh masyarakat:

“Mereka (artis tanah air) telah menghiburkan kita, dan (atlet pula) berhempas pulas mengharumkan nama negara, kini giliran kita pula membalasnya tatkala mereka dalam keadaan sedemikian.”

Projek DKP telah membantu lebih 1,000 penerima dengan sumbangan barangan dan wang tunai bernilai sekitar $15,000 sejak enam tahun lalu.

Tahun ini, sekitar 150 set barangan keperluan Ramadan dan persiapan Syawal diagihkan kepada penerima daripada Friends of Autism Charitable Trust, Indian Muslim Association dan Masjid Malabar.

Acara yang diadakan dengan kerjasama Masjid Malabar itu turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang memuji semangat keprihatinan masyarakat serta penglibatan pelbagai kaum dalam usaha tersebut.

Pengerusi Masjid Malabar, Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kelab Pondok Peranakan Gelam atas usaha murni menganjurkan program yang penuh makna ini.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, tetapi juga memperkukuhkan semangat kebersamaan dan kepedulian dalam masyarakat kita. Ia sangat selari dengan usaha Salam SG tahun ini yang bertujuan untuk terus menggalakkan masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni seperti kesopanan dan kesantunan.”

Encik Borhan juga mengucapkan syukur dan menurutnya, rata-rata penerima merasa terharu dan menghargai usaha yang telah dijalankan dan berterima kasih kepada dermawan dan penaja yang telah dengan murah hati turut sama menjayakan acara tahunan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg