Mulai 1 September 2025, setiap warga Singapura berusia 18 tahun dan ke atas layak menebus kredit bernilai $100 menerusi Pas Budaya SG.
Kredit itu boleh digunakan untuk mendapatkan tiket kepada lebih 400 program seni, budaya dan warisan, termasuk persembahan langsung, bengkel, lawatan berpandu dan pameran yang akan berlangsung hingga akhir 2028.
Menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) semasa satu sidang media pada 20 Ogos, inisiatif itu bertujuan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap seni tempatan dengan menggalak orang ramai menghadiri acara seni sedemikian dan menunjukkan sokongan terhadap penggiat seni tanah air.
Kredit itu boleh diakses di laman rasmi www.sgculturepass.gov.sg menggunakan akaun Singpass.
Melalui portal sehenti itu, orang ramai boleh menyemak baki kredit dan membeli tiket menerusi penyedia tiket yang diiktiraf.
Menurut MCCY, sebahagian besar acara yang tersenarai berharga $50 dan ke bawah. Ini sekali gus membolehkan rakyat menikmati lebih daripada satu program dengan kredit yang diberi.
Dalam pada itu, senarai pilihan akan ditambah secara berperingkat pada masa akan datang.
Lantas, penggiat seni dan warisan terus digalakkan menyertai skim itu dengan menawarkan program mereka menerusi portal rakan Pas Budaya SG.
Untuk layak, pemohon perlu memastikan warga atau Penduduk Tetap (PR) Singapura memainkan peranan penting dalam penerbitan konsep, penciptaan, pengeluaran dan pembentangan program, dan memastikan tiket dijual oleh rakan kongsi tiket yang dipilih.
MCCY berkata bantuan akan turut disediakan bagi memudahkan orang ramai menggunakan kredit itu.
Dari 1 hingga 28 September 2025, 18 Kelab Masyarakat (CC) akan menawarkan khidmat sokongan, manakala sembilan pusat ServiceSG di serata negara akan terus menyediakan bantuan sepanjang skim itu hingga 2028.
Usaha itu dilengkapi dengan projek perintis yang bertujuan memastikan semua warga, termasuk warga emas dan individu yang menghadapi cabaran mobiliti, tidak ketinggalan daripada menikmati pengalaman seni dan budaya tempatan.
Projek tersebut melibatkan Pusat Penuaan Aktif, CC dan Rumah Jagaan, dengan staf serta sukarelawan membantu menebus kredit serta menemani peserta ke acara seni pilihan mereka. Butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap penipuan yang menawarkan penebusan kredit sebelum 1 September atau meminta maklumat peribadi.
Sebarang transaksi menggunakan Pas Budaya SG hanya sah melalui laman rasmi skim itu.
Sebelum ini, Encik Edwin Tong, yang pada ketika itu berkhidmat sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura untuk menghadiri program seni, budaya dan warisan tempatan.
Tambahnya, rakyat Singapura boleh mendapat pendedahan kepada genre bentuk seni berbeza mengikut citarasa sendiri dengan skim itu.
“Bagi mereka yang tidak pernah menghadiri acara kebudayaan, persembahan atau pameran, ini peluang bagi mereka diperkenalkan dengan tawaran kita yang pelbagai,” ujar beliau semasa berucap di dialog bersama lebih 200 pihak berkepentingan daripada sektor seni dan warisan di Esplanade pada 21 Februari.
Pengarah dan pereka set, Yusof: Portrait of a President oleh Teater Ekamatra, Encik Mohd Fared Jainal, berkata skim Pas Budaya SG bakal memberi suntikan semangat kepada kumpulan seni sepertinya dengan meluaskan jangkauan penonton.
“Kumpulan seni seperti Teater Ekamatra berpeluang menarik penonton baru yang sebelum ini mungkin belum pernah menghadiri persembahan kami.
“Ini bukan sahaja menyokong kelangsungan kerja seniman, malah memperkukuh ekosistem seni dengan menanamkan penghargaan dan permintaan yang lebih tinggi terhadap teater tempatan,” katanya.
Peminat seni seperti Cik Iffah Firzanah Irwan, 25 tahun, turut mengalu-alukan skim itu.
Sebagai pelajar universiti, beliau sentiasa menantikan peluang untuk menonton persembahan tempatan dan menyokong penggiat seni tanah air.
“Dengan Pas Budaya SG, saya kini berpeluang meneroka lebih banyak program serta menghargai kreativiti yang ditawarkan.
“Ini bukan sahaja menyokong kelangsungan kerja para seniman, malah memperkukuh ekosistem seni dengan menanamkan penghargaan dan permintaan yang lebih tinggi terhadap teater tempatan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg