Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelepasan karbon di S’pura dijangka naik jelang 2030

Dec 23, 2024 | 1:24 PM
Kemerosotan keupayaan tanah Singapura menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, kerana pembangunan untuk tujuan seperti perumahan, melibatkan penebangan pokok.
Kemerosotan keupayaan tanah Singapura menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, kerana pembangunan untuk tujuan seperti perumahan, melibatkan penebangan pokok. - Foto ST

Pelepasan karbon yang memanaskan bumi akibat penggunaan tanah di Singapura dijangka meningkat jelang 2030 – satu petanda bahawa lebih banyak penebangan hutan akan dilakukan di negara ini.

Menurut satu laporan The Straits Times (ST), jumlah pelepasan sektor itu rendah, menyumbang hanya 0.06 peratus kepada jumlah inventori pelepasan negara pada 2022.

Sebahagian besar pelepasan Singapura adalah daripada sektor tenaga.

Namun, maklumat mengenai pelepasan yang diramalkan daripada perubahan penggunaan tanah – diperincikan dalam laporan iklim yang dihantar Singapura kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2024 – menunjukkan bahawa penanaman pokok baru tidak dapat menggantikan kehilangan karbon akibat penebangan hutan dalam jangka masa pendek.

Laporan itu menunjukkan pada 2022, jumlah pelepasan gas rumah hijau daripada sektor penggunaan tanah, perubahan penggunaan tanah dan perhutanan Singapura bersamaan 0.04 juta tan karbon dioksida (MtCO2eq).

CO2eq adalah ukuran bagi pelepasan gas rumah hijau.

Pelepasan itu dijangka bertambah seganda kepada 0.09 MtCO2eq pada 2025, sebelum meningkat kepada 0.14 MtCO2eq pada 2030, menurut laporan ketelusan dua tahunan pertama Singapura.

Ini meskipun usaha penghutanan semula dan penanaman pokok, misalnya inisiatif berterusan menanam sejuta lagi pokok di serata Singapura menjelang 2030.

Sejak pelancaran gerakan yang dinamakan ‘OneMillionTrees’ pada April 2020, lebih 730,000 pokok telah ditanam di sini.

Laporan itu juga menunjukkan dari 2000 hingga awal 2010-an, sektor penggunaan tanah, perubahan penggunaan tanah dan perhutanan Singapura merupakan penyerap bersih, iaitu menyebabkan tanah di Republik ini menyerap lebih banyak pelepasan gas rumah hijau daripada yang dilepaskannya.

Hutan membantu mengurangkan jumlah karbon dioksida di atmosfera melalui proses fotosintesis, yang menyimpan karbon dalam biojisim seperti batang pokok.

Semakin besar pokoknya, semakin banyak karbon disimpannya.

Sektor penggunaan tanah, perubahan penggunaan tanah dan perhutanan menjadi sumber pelepasan bersih pada 2014, menyumbang 0.02 MtCO2eq pada tahun itu.

Maklumat mengenai gas rumah hijau daripada sektor tersebut diperoleh daripada angka kawasan berdasarkan imej satelit lalu, kata pengarah kanan bagi pemuliharaan biodiversiti antarabangsa di Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Lim Liang Jim, kepada ST.

Data kawasan itu kemudiannya diunjurkan hingga 2030.

“Angka sebenar mungkin berubah bergantung pada kadar penanaman baru, serta kadar penukaran kawasan yang mempunyai stok karbon lebih tinggi kepada kawasan dengan stok karbon lebih rendah, seperti daripada tanah hutan kepada penempatan,” kata Encik Lim.

Stok karbon merujuk kepada karbon yang disimpan dalam ekosistem, seperti dalam pokok dan tanah.

“Misalnya, apabila pertumbuhan semula secara semula jadi atau penanaman baru ditambah dan membesar, ini akan diambil kira dalam laporan seterusnya,” tambah beliau.

Memandangkan saiz tanah Singapura yang kecil dan landskapnya yang bercirikan bandar, pelepasan daripada pertanian, perhutanan dan penggunaan tanah sangat kecil berbanding dengan sektor ekonomi lain, menurut laporan itu.

Para pakar memberitahu ST, kemerosotan keupayaan tanah Singapura menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, kerana pembangunan untuk tujuan seperti perumahan, melibatkan penebangan pokok.

Sebagai contoh, ST melaporkan pada awal Disember bahawa dua kawasan hutan di Sembawang dan Woodlands akan dibersihkan untuk projek perumahan.

Tapak Sembawang seluas 53 hektar kira-kira sepertiga kawasan Hutan Simpanan Bukit Timah dan tapak di sebelahnya yang mempunyai plot hutan lebih besar, telah ditetapkan bagi penggunaan kediaman.

Bagi tapak Woodlands pula ia seluas 7.27 hektar, iaitu sekitar saiz 13 padang bola sepak.

Pakar alam semula jadi menegaskan bahawa tumbuh-tumbuhan yang sering dibersihkan untuk pembangunan adalah hutan sekunder – tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di tanah yang telah dibersihkan sebelum ini.

Penolong Profesor Lim Jung Ying daripada Pusat bagi Huraian Iklim berasaskan Alam Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan hutan yang bukan utama umumnya merupakan penyerap karbon, kerana pokoknya masih muda dan sedang tumbuh, dan oleh itu mengumpul biojisim.

Mantan presiden Persatuan Alam Semula Jadi Singapura, yang juga ahli botani, Dr Shawn Lum, berkata antara 1980-an dengan 2000-an, kehijauan di seluruh pulau ini meningkat secara berterusan.

Menurut beliau, salah satu sebabnya ialah hutan bukan utama yang telah ditetapkan untuk pembangunan, tumbuh di atas tanah yang telah dibersihkan sebelum ini.

Hutan bukan utama ini termasuk hutan di Tengah dan Dover, yang baru-baru ini sebahagiannya dibersihkan, serta tanah yang dirancang untuk projek masa depan seperti kawasan Pangkalan Udara Paya Lebar.

“Penebangan hutan bukan utama ini menyebabkan pelepasan karbon, kedua-duanya daripada pereputan tumbuh-tumbuhan dan pelepasan karbon organik dalam tanah.

“Peningkatan pelepasan ini tidak dapat dielak, selagi perubahan yang dirancang untuk pembangunan berlaku,” kata Dr Lum.

Profesor Lim menambah: “Singapura mempunyai tanah yang sangat sedikit untuk menyimpan karbon dalam hutan, memandangkan tanah yang kita miliki terhad. Manakala kos untuk tidak menggunakannya, misalnya untuk perumahan, adalah tinggi.”

Usaha terkini Singapura untuk menjadi Bandar dalam Alam dan menambah lebih banyak kehijauan di seluruh negara mungkin tidak semestinya bermakna pengurangan pelepasan, kata pakar, meskipun mereka menekankan bahawa menanam pokok menawarkan banyak manfaat lain.

Pengarah Eksekutif Singapore Youth Voices for Biodiversity, Encik Muhammad Nasry Abdul Nasir, berkata: “Pokok asli yang ditanam di kawasan jalan raya tumbuh pada kadar yang jauh lebih perlahan.

“Ini kerana penumbuhannya disesuaikan dengan keadaan persekitaran hutan hujan seperti peneduhan dan kelembapan berbanding cahaya matahari yang langsung dan kering.

“Sebenarnya, pada jangka masa pendek, penanaman di bandar boleh menjadi (sumber) pelepasan – sumber yang digunakan untuk menanam anak pokok, mengangkut, menggali tanah dan melepaskan karbon yang terperangkap pada kadar yang lebih rendah, serta pembajaan.

Profesor Lim berkata meskipun demikian, usaha menghijaukan Singapura mempunyai manfaat yang penting selain daripada karbon.

Manfaat tersebut termasuk memajukan pemuliharaan hidupan liar dan fungsi ekologi, serta meningkatkan kesejahteraan manusia.

Membina penampan hijau di sekitar hutan simpanan dan menjadikan kawasan jalan raya menyerupai lapisan hutan membantu menghubungkan hidupan liar dari satu habitat ke habitat lain. ‘Koridor alam semula jadi’ ini membantu meningkatkan kelangsungan hidup dan ketahanan genetik hidupan liar.

Taman yang terletak di kawasan kejiranan seperti taman Bishan-Ang Mo Kio dan Bidadari juga boleh membantu menyejukkan persekitaran bandar.

Memulihkan pokok bakau di persisiran pantai membantu melawan kenaikan paras laut pada masa hadapan.

Encik Nasry berkata: “Karbon hanya salah fungsi ekosistem. Kita bergantung pada hutan kita untuk lebih daripada itu – bagi penyejukan bandar, pengurusan air dan saliran, penyingkiran haiwan perosak seperti nyamuk dan tikus.”

“Memberi tumpuan hanya kepada pelepasan mengabaikan nilai-nilai ekosistem lain yang pelbagai.”

Pelepasan karbon tidak dapat dielak dengan pembangunan

“Penebangan hutan bukan utama ini menyebabkan pelepasan karbon, kedua-duanya daripada pereputan tumbuh-tumbuhan dan pelepasan karbon organik dalam tanah. Peningkatan pelepasan ini tidak dapat dielak, selagi perubahan yang dirancang untuk pembangunan berlaku.”
Dr Shawn Lum, mantan presiden Persatuan Alam Semula Jadi Singapura, yang juga ahli botani.
Tidak perlu beri tumpuan hanya kepada isu pelepasan karbon

“Karbon hanya salah fungsi ekosistem. Kita bergantung pada hutan kita untuk lebih daripada itu – bagi penyejukan bandar, pengurusan air dan saliran, penyingkiran haiwan perosak seperti nyamuk dan tikus. Memberi tumpuan hanya kepada pelepasan mengabaikan nilai-nilai ekosistem lain yang pelbagai.”
Encik Muhammad Nasry Abdul Nasir, Pengarah Eksekutif Singapore Youth Voices for Biodiversity, 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg