Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura: Negara maju harus laksana tanggungjawab iklim masa lalu

Duta Besar Singapura bagi Undang-undang Antarabangsa sampaikan pendirian Republik dalam sesi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Dec 13, 2024 | 2:46 PM
Duta Besar Singapura bagi Undang-undang Antarabangsa, Cik Rena Lee berucap di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 11 Disember.
Duta Besar Singapura bagi Undang-undang Antarabangsa, Cik Rena Lee berucap di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 11 Disember. - Foto ICJ

Negara maju yang telah mencemari udara dengan gas rumah hijau yang memanaskan bumi selama dua abad harus mengetuai usaha memerangi perubahan iklim, kata Singapura kepada mahkamah tertinggi dunia pada 11 Disember.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengadakan satu perbicaraan penting untuk menentukan kewajipan undang-undang negara dalam menangani perubahan iklim, serta akibatnya jika kegagalan mencegah kerosakan.

Konsep tanggungjawab sejarah menyokong perjanjian-perjanjian alam sekitar terdahulu, walaupun ia tidak disebut secara jelas dalam Perjanjian Paris, yang merupakan perjanjian iklim global semasa, lapor The Straits Times.

Berucap kepada ICJ di The Hague, Belanda, Duta Undang-Undang Antarabangsa Singapura, Cik Rena Lee, menyatakan sesetengah negara berpendapat tanggungjawab sejarah tidak pernah menjadi dasar Perjanjian Paris dan perjanjian induknya, Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Negara-negara lain pula berpendapat tanggungjawab iklim yang digariskan dalam perjanjian kini lebih berdasarkan kemampuan dan keadaan semasa setiap negara, berbanding pelepasan (karbon dan gas rumah hijau) yang dilakukan pada masa lalu.

“Singapura tidak setuju,” kata Cik Lee kepada mahkamah itu.

“Pada pandangan kami, tanggungjawab sejarah adalah dan tetap merupakan bahagian penting dalam prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza.”

Prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza dalam UNFCCC mengakui bahawa semua negara mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, tetapi jenis tindakan yang diambil bergantung pada keadaan nasional yang berbeza-beza.

ICJ mendengar kenyataan lisan daripada pelbagai negara sejak 2 Disember.

Mahkamah itu dijangka memberikan pendapat nasihat kepada PBB pada 2025 selepas mendengar daripada 98 negara. 

Perbicaraan ini susulan daripada resolusi yang diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada Mac 2023, di mana Vanuatu meminta ICJ menjelaskan kewajipan iklim negara-negara.

Singapura adalah antara 18 negara yang memimpin inisiatif tersebut.

Negara-negara dikehendaki menyerahkan sasaran iklim mereka kepada UNFCCC menjelang Februari 2025, dan mereka harus mencapai sasaran tersebut menjelang 2035.

Cik Lee membincangkan tiga isu lain dalam ucapan beliau kepada ICJ.

Pertama, beliau bertanya kepada mahkamah tentang hubungan antara UNFCCC dan Perjanjian Paris, serta sumber undang-undang antarabangsa lain dalam mentakrifkan kewajipan iklim.

Singapura berpendapat bahawa selain konvensyen dan perjanjian iklim, respons undang-undang masyarakat antarabangsa juga perlu merangkumi kewajipan negara-negara untuk mencegah kerosakan merentas sempadan yang ketara terhadap alam sekitar.

Ini juga termasuk melindungi alam sekitar marin dan hak asasi manusia.

Kedua, Cik Lee berkata Singapura mahukan panduan praktikal mengenai bagaimana penilaian kesan alam sekitar (EIA) terhadap kegiatan manusia harus dijalankan dalam konteks perubahan iklim.

Kewajipan untuk melaksanakan EIA harus dikaitkan dengan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris, katanya.

Ini bermaksud negara perlu melaksanakan peraturan untuk memastikan langkah-langkah diambil bagi menilai pelepasan gas rumah hijau daripada kegiatan yang dirancang dan berpotensi memberi kesan buruk yang signifikan terhadap alam sekitar.

Ketiga, Cik Lee berkata Singapura berpendapat negara-negara mempunyai kewajipan untuk bekerjasama melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar daripada kesan buruk pelepasan karbon.

Di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut, negara-negara juga perlu bekerjasama dalam mencegah pencemaran marin akibat pelepasan gas rumah hijau, kata Cik Lee, yang akan dicalonkan oleh Singapura untuk pemilihan sebagai hakim ICJ pada 2026.

Menutup ucapan beliau di ICJ, Cik Lee berkata: “Kami yakin bahawa pendapat dan nasihat mahkamah akan memberi impak positif terhadap usaha global untuk menangani perubahan iklim, termasuk proses yang sedang dijalankan dalam rangka kerja UNFCCC.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg