Kehadiran asatizah wanita dalam perbincangan fatwa membolehkan mereka memberikan pandangan, membetulkan salah faham dan mengharmonikan situasi yang memerlukan perhatian, kata Ustazah Dr Sakinah Saptu.
Langkah sedemikian akan memperkayakan wacana agama di Singapura, ujar beliau yang merupakan salah seorang daripada tujuh anggota Jawatankuasa Fatwa di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu.
“Kita sebagai asatizah wanita dapat memberikan pandangan, membetulkan, mengharmonikan situasi-situasi atau pandangan-pandangan yang perlu diperbetulkan.
“Jadi, ini penting bagi kita semua. Saya berpendapat masyarakat amat memerlukan peranan ustazah agar pelbagai isu seperti masalah rumah tangga, aurat wanita, dan isu pembayaran kafarah (denda untuk menebus kesalahan atau dosa) dapat diatasi dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau.
Beliau dilantik semasa Majlis Pelantikan dan Penghargaan Jawatankuasa Fatwa yang diadakan di HomeTeamNS Bedok Reservoir pada 8 September.
Jawatankuasa tersebut berkhidmat dari 7 Ogos 2025 hingga 6 Ogos 2028.
Sebelum ini, pendakwah bebas berusia 43 tahun itu telah berkhidmat sebagai anggota bersekutu di jawatankuasa tersebut sejak 2019.
Ditemui Berita Harian (BH) selepas majlis tersebut, pendakwah bebas itu berkongsi bahawa pelantikannya itu memberi peluang untuk menyumbang dengan lebih aktif dalam menangani isu-isu yang semakin kompleks dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura.
“Alhamdulillah pada penggal ini saya telah dilantik sebagai anggota jawatankuasa fatwa dan ini memberikan satu peluang dan ruang kepada saya untuk lebih menyumbang bagi menyelesaikan isu-isu yang semakin kompleks dewasa ini yang berlaku dalam konteks Singapura.
“Saya melihat bahawa ini juga merupakan satu motivasi diri juga kepada asatizah wanita yang lain untuk lebih ke hadapan untuk lebih menyumbang supaya mereka berkeyakinan dalam bidang pengajian Islam yang mereka ceburi,” ujar Ustaz Dr Sakinah.
Bersama beliau yang juga menggalas peranan anggota Jawatankuasa Fatwa adalah Pengarah Caliph Consultancy, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid.
Beliau telah berkhidmat sebagai anggota bersekutu sejak 2013, di mana beliau berperanan sebagai penasihat dengan penglibatannya dalam program Makmal Fatwa (Fatwa Lab).
Menurut beliau, pelantikan sebagai anggota memberi peluang untuk terus menyumbang dalam bidang penyelidikan dan membimbing asatizah muda.
Ini memandangkan hasrat masyarakat untuk lebih memahami proses penyediaan fatwa, serta kepentingan berterusan bagi institusi fatwa untuk berinteraksi dan berbincang dengan pakar daripada pelbagai bidang.
“Mungkin tidak terhenti di situ sahaja, bahkan sama-sama membimbing asatizah muda dalam bidang penyelidikan ini.
“Saya juga berharap institusi fatwa kekal dalam berinteraksi dan membincangkan perkara-perkara itu dengan pakar pelbagai bidang kerana isu yang kita hadapi ini sangat rumit untuk kita asatizah sahaja yang dapat menghasilkan fatwa,” kongsi beliau, yang juga berusia 43 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg