Panas dan bahang bukan penghambat bagi sekitar 42,000 ribu penonton yang ghairah ingin meraikan ulang tahun ke-61 Singapura pada 9 Ogos di Stadium Negara.

Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 kembali ke lokasi ikonik itu setelah sedekad, dan memberi peluang untuk menghimpunkan lebih ramai penonton, berbanding sekitar 27,000 penonton di Padang pada 2025.

Namun, proses mendapatkan tiket untuk menyaksikan NDP 2026 secara langsung bukanlah mudah, kongsi beberapa penonton bertuah yang ditemui Berita Harian (BH) di Stadium Negara.

Malah, seorang ibu hampir gagal menunaikan hasrat anaknya yang ingin menonton acara itu secara langsung, jika tidak kerana keikhlasan seorang netizen di wadah media sosial, Threads.

Cik Nursarina Salim, seorang eksekutif kanan berusia 45 tahun, bertekad menulis hantaran di Threads untuk memohon tiket agar anaknya, Nurkiswa Luna Mohamed Azdar, sembilan tahun, dapat melihat bapanya berarak dalam kontinjen NDP mewakili Sats Group.

“Alhamdulillah, seorang lelaki Cina membalas hantaran itu dan atas jasa baik beliau, beliau langsung tidak meminta bayaran.

“Beliau cuma mahu kami menikmati NDP,” kata Cik Nursarina.

Satu lagi pasangan ibu dan anak yang ditemui BH berkongsi mereka telah bertolak ke Singapura dari Johor Bahru menaiki bas awam, dan meredah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, seawal 12 tengah hari.

Cik Hawa Abdul Jalil, 72 tahun, dan anaknya Encik Muhammad Ariffin Tahir, 29 tahun, telah tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands sekitar 2 petang, dan kemudian menaiki teksi untuk ke Stadium Negara.

“Perjalanan ke Singapura kali ini dianggap berbaloi, lebih-lebih lagi kerana peluang mendapatkan tiket NDP bukan sesuatu yang mudah.

“Bagi ibu saya, ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup,” kata Encik Ariffin, warga Singapura yang menetap di Johor Bahru.

Beliau berjaya mendapatkan empat tiket bagi NDP 2026 menerusi undian yang diberikan kepada ibunya serta kakaknya, Cik Noor Hazean Hasiran, 45 tahun dan anak saudaranya, Nur Farisya Umairah, 15 tahun.

Bak bulan jatuh ke riba, sepasang suami isteri sanggup mengubah rancangan percutian mereka di London apabila mendapat tahu mereka berjaya meraih tiket melalui undian buat kali pertama.

Encik Nurhisham Yusoff, 44 tahun dan Cik Nur Jihan Jamil, 44 tahun, telah membuat perancangan awal untuk bercuti di London pada tarikh antara 30 Julai dengan 10 Ogos.

Namun, apabila mereka mendapat tahu mereka telah berjaya mendapatkan sepasang tiket ketika keputusan undian diumumkan pada 15 Jun lalu, mereka dengan segara mengubah perancangan awal untuk ke London itu ke tarikh berbeza iaitu antara 26 Julai dengan 2 Ogos.

Tidak pernah berpeluang menonton acara perbarisan secara langsung sewaktu di bangku sekolah, Encik Nurhisham yang bertugas sebagai pengurus kondominium, melihat peluang menghadiri perbarisan kali ini sebagai peluang keemasan yang tidak datang bergolek.

“Sebagai anak Singapura, kita pasti impikan untuk menonton acara perbarisan hari kebangsaan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

“Jadi, kami rela buat perubahan pada perancangan cuti kami agar tidak melepaskan peluang ini,” ujar Encik Nurhisham.

Kanak-kanak turut tidak terlepas daripada meraikan kemerdekaan Singapura.

Ini termasuk Evliya Wardina Muhammad Naufal, 4 tahun, yang dilihat meloncat-loncat keghairahan kerana gembira menghadiri NDP buat pertama kali bersama ibu bapa dan datuknya.

Si cilik berusia empat tahun, Evliya Wardina Muhammad Naufal yang didukung atas bahu ayahnya, Encik Muhammad Naufal Abdul Rahman, ghairah dapat berada di Stadium Negara bersama ibu, Cik Nurul Farhana Bivi (kiri) dan datuk, Encik Abdul Rahman Alwi (kanan) pada 9 Ogos.
Si cilik berusia empat tahun, Evliya Wardina Muhammad Naufal yang didukung atas bahu ayahnya, Encik Muhammad Naufal Abdul Rahman, ghairah dapat berada di Stadium Negara bersama ibu, Cik Nurul Farhana Bivi (kiri) dan datuk, Encik Abdul Rahman Alwi (kanan) pada 9 Ogos. - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

Menurut ibunya, Cik Nurul Farhana Bivi, 37 tahun, anak tunggalnya itu berasa riang tatkala mendapat tahu bahawa mereka berjaya meraih tiket ke acara perbarisan itu.

Walaupun ini kali pertama Cik Farhana menonton acara NDP secara langsung, beliau lebih ghairah melihat anak perempuannya berlari-lari kesukaan di kawasan Stadium Negara tatkala terdengar sorakan mula bergema.

“Anak saya, Evliya, sudah menampal pelekat bendera Singapura pada kededua belah pipi dan kakinya kerana bersemangat ingin meraikan Hari Kebangsaan Singapura.

“Dia sudah serba-serbi faham sedikit tentang Hari Kebangsaan, sebab itu dia sungguh ghairah, lebih-lebih lagi untuk lihat pertunjukkan bunga api,” kata Cik Farhana yang bertugas sebagai seorang pegawai perkhidmatan pelanggan.

“Perjalanan ke Singapura kali ini dianggap berbaloi, lebih-lebih lagi kerana peluang mendapatkan tiket NDP bukan sesuatu yang mudah. Bagi ibu saya, ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup.”
Encik Muhammad Ariffin Tahir, penonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.

“Anak saya, Evliya, sudah menampal pelekat bendera Singapura pada kededua belah pipi dan kakinya kerana bersemangat ingin meraikan Hari Kebangsaan Singapura. Dia sudah serba-serbi faham sedikit tentang Hari Kebangsaan, sebab itu dia sungguh ghairah, lebih-lebih lagi untuk lihat pertunjukkan bunga api.”
Cik Nurul Farhana Bivi, penonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.

“Alhamdulillah, seorang lelaki Cina membalas hantaran itu dan atas jasa baik beliau, beliau langsung tidak meminta bayaran. Beliau cuma mahu kami menikmati Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).”
Cik Nursarina Salim, penonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026