Pemilik unit penthouse di Haig Avenue yang telah memasang struktur tidak sah di atas bumbung kediaman itu akan diberi masa untuk mengatur atau mengalihkannya selepas pemeriksaan oleh pihak berkuasa mendapati tiada masalah keselamatan struktur.
Kes itu melibatkan lapan penthouse di dua pembangunan kediaman swasta – Rose Maison dan EiS Residences – di mana struktur atas bumbung seperti ruang tertutup berkaca, sambungan atap serta bilik bertingkap telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Pemeriksaan bermula pada Jun, namun masih tidak jelas sama ada pemilik rumah telah mengambil tindakan.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA), berkata:
“URA sedang bekerjasama dengan pemilik subsidiari dan syarikat pengurusan pembangunan untuk beri masa yang secukupnya kepada pihak-pihak terlibat mengatur atau mengalih struktur yang tidak dibenarkan.”
Pemilik hartanah perlu memastikan struktur mereka memenuhi keperluan perancangan dan reka bentuk pihak berkuasa. Ini mungkin termasuk pembayaran yuran untuk keluasan lantai kasar (GFA) dan penilaian oleh jurutera profesional untuk kelulusan.
Antara 2020 dengan 2023, BCA mengendalikan sekitar 120 kes struktur tidak dibenarkan setiap tahun. Ini peningkatan yang besar berbanding 57 kes setahun yang dikendalikannya antara 2016 dengan 2018.
Seiring dengan siasatan ini, BCA sedang mengkaji skop kerja pembinaan yang boleh dilakukan pemilik hartanah pada rumah dan bangunan mereka tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.
BCA juga telah melancarkan siasatan ke atas pelanggaran peraturan bangunan oleh pemilik rumah di East Coast Road, Encik Ng Jun Quan, yang baru-baru ini diperintahkan mahkamah untuk mengalihkan lantai mezanin yang tidak dibenarkan.
Pengubahsuaian tanpa kebenaran itu ditemui oleh hak milik strata perbadanan pengurusan (MCST) pembangunan itu.
MCST, yang diwakili oleh peguam Daniel Chen dan Enzel Tan, mengambil tindakan undang-undang pada Disember 2023 selepas Encik Ng enggan mengalihkan struktur yang tidak dibenarkan dan mengembalikan unit itu kepada keadaan asalnya.
Encik Chen memberitahu ST pada 1 November bahawa pemilik rumah yang ingin membuat perubahan pada unit mereka yang menjejas penampilan bangunan, perlu mendapatkan kelulusan daripada MCST.
Selain dari kelulusan MCST, kelulusan kawal selia mungkin juga diperlukan. Bagi perubahan yang meningkatkan keluasan lantai kasar atau menjejas parameter perancangan, kelulusan URA mesti diperolehi, kata URA dan BCA.
Di bawah Akta Perancangan, sesiapa yang didapati bersalah menjalankan atau membenarkan pelaksanaan kerja untuk membina struktur tanpa kebenaran boleh didenda sehingga $200,000.
Di bawah Akta Kawalan Bangunan pula, sesiapa yang didapati bersalah memulakan, menjalankan atau membenarkan kerja di bangunan tanpa mendapat kelulusan atau permit untuk memulakan kerja-kerja struktur boleh didenda sehingga $200,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg