Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu bas belajar bantu penumpang kurang upaya melalui simulator realistik

Program sasar latih 650 pemandu bas setiap tahun
Sep 25, 2024 | 3:11 PM
Demonstrasi latihan menggunakan simulator realiti campuran dilengkapi konsol pemanduan fizikal lengkap dengan brek dan set kepala realiti campuran.
Demonstrasi latihan menggunakan simulator realiti campuran dilengkapi konsol pemanduan fizikal lengkap dengan brek dan set kepala realiti campuran. - Foto ST

Sebagai pemandu bas pelatih, Encik Nasharudin Mohamed, belum pernah berhadapan dengan penumpang kurang upaya, pengguna kerusi roda, penumpang dengan kereta sorong atau warga emas.

Namun kini, beliau berasa bersedia membantu penumpang sedemikian yang berlainan upaya, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan dan Pensijilan Kapten Bas SBS Transit (SBST) menggunakan simulator realiti gabung atau mixed-reality.

Menurut Encik Nasharudin, 32 tahun, simulator itu “lebih realistik” berbanding sesi main peranan atau role play secara bersemuka dengan rakan sekerja, yang digunakan SBST sebelum ini.

Menyifatkan senario latihan simulasi dengan penumpang kurang daya penglihatan sebagai amat membantu, beliau berkata:

“Memandangkan penumpang kurang daya penglihatan tidak dapat melihat anda, mereka lebih (sensitif) kepada sentuhan.”

Bercakap kepada The Straits Times (ST) pada 24 September semasa lawatan media ke pusat latihan itu di depoh bas Ulu Pandan, Encik Nasharudin menambah bahawa “anda perlu pastikan mereka berasa selesa dengan sentuhan anda, dan untuk keselamatan mereka, anda perlu pastikan mereka sudah duduk, sebelum meneruskan perjalanan”.

Pusat itu telah dipindahkan pada April dari depoh bas Hougang, untuk mengoptimumkan sumber latihan yang digabungkan untuk kedua-dua pemandu dan juruteknik bas.

Pemandu bas sebelum ini menjalani latihan di depoh Hougang, manakala teknisyen bas dilatih di Ulu Pandan.

Pada Jun, pusat itu memperkenalkan simulator realiti gabung, yang dilengkapi konsol pemanduan fizikal lengkap dengan brek, set kepala realiti gabung dan ruang yang luas untuk pelatih berjalan dan melakonkan pelbagai latihan senario, termasuk di luar ‘bas’.

Simulator itu dapat menilai prestasi pelatih dengan mengesan dan membuat analisis pergerakan mata, ekspresi muka, gerak isyarat tangan dan sebutan perkataan, serta cara mereka mengendalikan setiap senario.

Buat masa ini, sistem simulator itu hanya mengandungi empat senario kerana masih dalam fasa percubaan.

Ia juga hanya digunakan oleh beberapa pelatih dan kapten bas sedia ada yang menjalani kursus ulang kaji dalam perkhidmatan pelanggan.

Menjelang 2025, SBST merancang untuk menambah jumlah simulatornya kepada tiga set dan memperluas skop senario dengan memasukkan kejadian seperti kerosakan bas atau penumpang pengsan. 

SBST berharap pada masa itu, mereka akan dapat melancarkan penggunaan latihan realiti gabung kepada semua pemandu bas baru, sebagai sebahagian daripada program latihan 27 hari di pusat latihan.

Sejak April, hampir 240 pelatih berjaya menamatkan pengajian dalam program tersebut dan pusat itu dijangka dapat melatih seramai 650 pemandu bas setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perniagaan bas SBST, Encik Lim Tien Hock, berkata teknologi latihan di pusat itu telah dan akan disediakan untuk mempertingkatkan latihan untuk pemandu bas. 

Kamera dipasang pada bas latihan di Pusat Latihan dan Pensijilan Kapten Bas SBS Transit pada 24 September.
Kamera dipasang pada bas latihan di Pusat Latihan dan Pensijilan Kapten Bas SBS Transit pada 24 September. - Foto ST

SBST enggan menjawab persoalan berkaitan kekurangan pemandu bas dan isu keselamatan bas.

Pengendali itu sebelum ini mengumumkan kekurangan jumlah pemandu bas, yang menyebabkan masa menunggu lebih lama untuk beberapa perkhidmatan bas pada 2022.

Baru-baru ini juga terdapat beberapa kes kemalangan yang melibatkan bas awam.

Pada Julai, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan pelancaran satu pasukan petugas keselamatan bas untuk meneliti maklum balas orang ramai bagi mempertingkatkan keselamatan di dalam bas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg