Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu bas sumbang kepada keselamatan jalan raya

Oct 11, 2024 | 7:26 PM
Kapten SMRT Buses, Encik Toh Chin Tiong, adalah satu daripada 33 penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Singapura.
Kapten SMRT Buses, Encik Toh Chin Tiong, adalah satu daripada 33 penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Singapura. - Foto ST

Setiap kali kapten SMRT Buses Encik Toh Chin Tiong, 58 tahun, memegang stereng, beliau akan memandu secara defensif.

Ini bermakna beliau akan cuba menjangka tindakan pemandu lain untuk mengelakkan kemalangan, khususnya penunggang motosikal, kerana beliau merasakan mereka adalah pengguna jalan raya yang paling terdedah, menurut laporan The Straits Times.

Tahap kewaspadaan beginilah yang membolehkan Encik Toh, ketua pembimbing atau mentor dan kapten bas bersama pengendali pengangkutan awam itu, kekal bebas daripada terlibat dalam sebarang kemalangan sejak beliau memandu sepanjang laluan bas di Woodlands 27 tahun lalu.

Dengan rekod bersih dan cara memandu yang berwaspada, beliau adalah salah seorang daripada 33 penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Singapura sewaktu Seminar Keselamatan Jalan Raya 2024, yang berlangsung pada 11 Oktober di Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) di Tessensohn Road.

Anugerah tersebut mengiktiraf syarikat pengangkutan dan pemandu vokasional yang telah menyumbang kepada keselamatan jalan raya di Singapura.

Ia dianugerahkan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura (SRSC) dan Persatuan Automobil Singapura (AAS), dengan kerjasama Polis Trafik, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja.

Encik Toh, bersama kapten bas kanan SBS Transit, Encik Ho Ah Seng, 62 tahun, menerima Anugerah Kecemerlangan Pemandu Selamat itu kerana bebas daripada melanggar undang-undang lalu lintas selama lebih 25 tahun.

Anugerah tersebut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Encik Toh menegaskan bahawa sikap sabar penting ketika memandu.

Begitu juga dengan memastikan tidak melebihi had laju dan memberi laluan kepada orang lain.

“Apabila berada di jalan raya, anda meletakkan nyawa anda dalam tangan orang lain, oleh itu anda harus berwaspada,” tambah Encik Toh.

Encik Ho turut berpegang pada nilai yang sama.

Sebagai pembimbing, beliau mendidik pelajarnya akan pentingnya keselamatan, dan mengingatkan mereka agar sentiasa berwaspada.

SMRT Buses kerap mengadakan perbincangan dengan kapten basnya mengenai keselamatan menerusi ceramah yang diadakan oleh penyelia mereka.

SBS Transit juga mengadakan kursus ulang kaji serta taklimat keselamatan secara berkala.

Kededua syarikat tersebut juga mempunyai sistem ganjaran bulanan untuk mendorong pemandu mengekalkan rekod memandu yang bersih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg