Seorang pemandu ditahan kerana memandu secara berbahaya susulan satu kemalangan tragis melibatkan beberapa kenderaan di Yishun pada malam 14 Disember, yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), mengesahkan mereka dimaklumkan mengenai insiden di persimpangan Yishun Avenue 3 dan Yishun Central itu sekitar 10.20 malam.
Menurut polis, kemalangan itu melibatkan dua motosikal, dua kereta dan sebuah lori, lapor The Straits Times.
Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun, dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat dalam keadaan sedar.
Polis menahan seorang pemandu lelaki berusia 38 tahun kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Tiga individu lain mengalami kecederaan ringan dan menolak untuk dihantar ke hospital.
Gambar-gambar pascakemalangan telah tular di kumpulan Professional PHV Drivers Singapore di Facebook.
Salah satu foto memaparkan sebuah kereta merah merempuh belakang sebuah lori, dengan bahagian hadapan kereta remuk teruk dan beg udara terbuka.
Dalam gambar lain, paramedik SCDF kelihatan memberikan bantuan kepada seorang individu di atas pengusung, berhampiran sebuah motosikal yang terbaring mengiring di atas jalan.
Siasatan polis masih dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg