Pemegang lesen memandu Kelas 3 dan 3A di Singapura tidak lama lagi boleh memandu kenderaan elektrik barangan ringan (LGV) dan bas elektrik kecil dengan berat tanpa muatan (ULW) sehingga 3,000 kilogram (kg), meningkat daripada had sedia ada 2,500kg.
Perubahan itu, yang berkuat kuasa 15 Disember melalui perintah pengecualian, menyokong komitmen Singapura untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan tenaga bersih menjelang 2040, menurut Polis Trafik (TP).
Secara automatik, pemegang lesen sedia ada layak memandu model LGV dan bas elektrik kecil tertentu yang dikenal pasti oleh pihak industri, dengan ULW antara 2,501kg dengan 3,000kg.
Ini termasuk model seperti Higer H5C High Roof, Mercedes Benz eSprinter 320, Ford F-150 Lightning, dan Joylong EA5.
TP menjelaskan bahawa kenderaan di bawah had baru ini selamat dipandu oleh pemegang lesen Kelas 3 dan 3A kerana ia mempunyai ciri pengendalian dan saiz yang serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan ULW tidak melebihi 2,500kg.
Walaupun LGV dan bas kecil elektrik lazimnya 400kg hingga 500kg lebih berat disebabkan bateri di bawah kerangka, ini sebenarnya merendahkan pusat graviti, meningkatkan kestabilan tanpa menjejaskan ciri pengendalian asas di jalan raya.
Perintah pengecualian ini adalah langkah sementara, sedang pihak berkuasa menyiapkan pindaan undang-undang dan penambahbaikan sistem pada 2026, yang akan membenarkan pemegang lesen Kelas 3 dan 3A memandu semua LGV elektrik dan bas elektrik kecil dengan ULW tidak melebihi 3,000kg secara menyeluruh.
Memandu kenderaan melebihi had ULW kelas lesen adalah satu kesalahan.
Pemilik kenderaan elektrik (EV) boleh menyemak ULW melalui kad pendaftaran kenderaan tersebut atau di portal OneMotoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Mereka juga boleh menghubungi pengeluar kenderaan atau pengedar sah untuk spesifikasi teknikal, atau menyemak plat nombor pengenalan kenderaan (VIN) pengeluar.
TP menegaskan bahawa tindakan memandu kenderaan melebihi had ULW kelas lesen sendiri adalah satu kesalahan.
Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau berdepan kedua-dua hukuman.
Pesalah berulang pula boleh dikenakan denda sehingga $20,000, dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg