Pusat memandu bertingkat di Choa Chu Kang yang akan menggantikan Pusat Memandu Bukit Batok (BBDC) bakal dilengkapi teknologi canggih bagi menjadikan latihan dan ujian memandu lebih cekap.
Pusat tersebut juga akan menyediakan kemudahan latihan dan ujian untuk lesen kenderaan berat Kelas 4 dan 5, bagi melengkapkan peranan Pusat Memandu Keselamatan Singapura di Woodlands, yang kini merupakan satu-satunya kemudahan untuk jenis lesen itu.
BBDC akan ditutup secara berperingkat menjelang Disember 2030, menurut kenyataan bersama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 8 Oktober.
Ini merupakan sebahagian daripada usulan untuk membangunkan semula tapak di Bukit Batok West Avenue 5 bagi projek perumahan baru, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Pusat memandu di Choa Chu Kang itu pula akan dibina di Lorong Bistari, berhampiran Kem Kranji III, selepas URA mengeluarkan notis pada 4 April yang mengusulkan penukaran penggunaan tanah tapak tersebut bagi “kemudahan pengangkutan”.
Pada 8 Oktober, URA dan SPF melancarkan tapak di Lorong Bistari itu untuk dijual melalui tender awam, dengan tempoh pajakan selama 30 tahun.
Pusat itu, yang akan dibangunkan di tapak seluas sekitar 24,890 meter persegi, akan mempunyai keluasan lantai kasar maksimum 72,500 meter persegi di beberapa tingkat untuk menempatkan litar memandu dan kemudahan berkaitan lain, menurut URA dan SPF.
Polis trafik bertanggungjawab mengeluarkan lesen serta mengawal selia sekolah memandu di Singapura.
Digelar pusat memandu generasi baru, ia akan menempatkan dua atau lebih litar memandu pintar yang menggunakan teknologi sensor canggih dan sistem pemantauan masa nyata untuk menilai kecekapan pelajar, serta memastikan latihan dan pendidikan pemanduan dijalankan secara konsisten.
Setiap litar memandu ini akan meliputi sekurang-kurangnya 22,000 meter persegi.
Pelajar di pusat itu juga akan menggunakan litar berasingan untuk latihan dan ujian, selain teknologi simulator yang memberikan pengalaman memandu atau menunggang yang realistik tetapi selamat.
Terdapat sekurang-kurangnya dua litar asas, masing-masing seluas sekurang-kurangnya 18,000 meter persegi, di mana pelajar kereta dan motosikal boleh mempelajari kemahiran asas.
Di dalam pusat baru itu, ruang seluas sekurang-kurangnya 5,050 meter persegi akan diperuntukkan bagi kegunaan sokongan, termasuk bilik darjah, kemudahan latihan simulator, pejabat pentadbiran, kawasan khidmat pelanggan, dan dewan serbaguna yang menampilkan galeri kesedaran keselamatan jalan raya, kata URA dan SPF.
Pusat itu juga akan menempatkan sekurang-kurangnya satu kafeteria atau kantin.
Tapak BBDC pula telah ditukar guna untuk perumahan.
Pusat itu dibuka pada 1990 dan telah memberi khidmat kepada lebih 20,000 pelajar setiap tahun melalui pelbagai kursus.
Tempoh pajakan itu telah dilanjutkan beberapa kali selepas tamat pada 2018, dan baru-baru ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.
Menurut URA dan SPF, reka bentuk bertingkat pusat baru di Choa Chu Kang itu akan mengoptimumkan penggunaan tanah, sambil menyediakan kemudahan latihan yang menyeluruh untuk memenuhi permintaan semakin meningkat bagi lesen memandu.
Pusat ini akan menjadi sekolah memandu bertingkat kedua di Singapura, selepas Pusat Memandu Keselamatan Singapura yang dibuka pada 2010.
Lorong Bistari, yang kini merupakan jalan lauan ke dormitori di pinggir barat Choa Chu Kang, akan dibina semula menjadi jalan dua lorong oleh pemegang tender yang berjaya.
Pembinaan semula ini bertujuan untuk digunakan pusat memandu akan datang, jelas URA dan SPF.
Tender bagi projek ini akan ditutup pada tengah hari, 15 Januari 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg