Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemandu mengaku bersalah pandu bahaya sebabkan kemalangan berantai, kematian
Pemandu yang menyebabkan kemalangan berantai melibatkan enam kenderaan di Tampines pada 2024, sehingga meragut nyawa seorang pelajar maktab rendah (JC) dan seorang wanita berusia 57 tahun, telah mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Mahkamah pada 6 Ogos diberitahu bahawa ibu pelajar berkenaan mengalami gangguan kemurungan utama (MDD) serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) setelah kehilangan anak perempuannya itu.
Muhammad Syafie Ismail, 45 tahun, mengaku bersalah terhadap pelbagai kesalahan trafik, termasuk memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan.
Syafie tiba di Mahkamah Negara seorang diri pada sekitar 8.40 pagi sambil menundukkan kepala, berkaca mata hitam, memakai topi dan pelitup.
Pengakuannya itu dibuat selepas lebih dua tahun kejadian kemalangan pada 22 April 2024, serta selepas sekurang-kurangnya empat kali kes ditangguhkan di mahkamah.
Selepas tamat syif malam sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat perkilangan global dan menurunkan seorang penumpang GrabHitch di Bedok pada sekitar 6.15 pagi, Syafie memandu secara berbahaya dengan tiba-tiba memintas sebuah kereta di Bedok Reservoir Road.
Semasa melakukan tindakan berbahaya itu, kereta Syafie terlanggar sebuah kereta lain, menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas ke kiri dan hampir melanggar seorang penunggang motosikal.
Syafie kemudian memandu ke arah persimpangan jalan pada kelajuan antara 129 kilometer sejam (kmj) dengan 134 kmj, meskipun had kelajuan di kawasan berkenaan ditetapkan pada 50 kmj.
Dia melanggar lampu isyarat merah – yang sudah menyala sekurang-kurangnya selama 26 saat – dan merempuh tiga kenderaan, sekali gus mencetuskan kemalangan berantai.
Rakaman video kejadian yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan sebuah kereta hitam memecut laju memintas sekurang-kurangnya tiga kenderaan sebelum merempuh lima kenderaan lain, termasuk sebuah van.
Tindakan Syafie menyebabkan kematian Norzihan Juwahib, 57 tahun, dan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun – yang namanya tidak boleh didedahkan berikutan perintah sekatan yang dikeluarkan pada 6 Ogos untuk melindungi identiti semua mangsa di bawah umur 18 tahun.
Semasa kemalangan berlaku, Norzihan merupakan penumpang sebuah van dan sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Beliau merupakan juruteknik kanan di syarikat kawalan haiwan perosak First Choice Pest Specialist.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Niranjan Ranjakunalan, berkata Norzihan yang diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di tempat kejadian, meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah, termasuk patah leher dan tulang rusuk.
Sementara itu, pelajar berkenaan merupakan penumpang sebuah kereta dan sedang dalam perjalanan untuk menyertai acara merentas desa tahunan sekolahnya.
Bapanya yang memandu kereta berkenaan hilang kawalan selepas impak rempuhan menyebabkan kenderaan mereka terbalik dengan pintu-pintu kereta terbuka.
Pendakwa raya berkata pelajar tersebut dijumpai terperangkap di bawah kenderaan, manakala bapanya tidak sedarkan diri di tempat kejadian.
Mahkamah diberitahu bahawa ketika Syafie memecut di persimpangan itu, keretanya merempuh dua kereta lain sebelum meluncur ke depan lalu merempuh satu lagi kereta.
Sementara itu, kereta pertama yang dirempuh Syafie terpusing sebelum terbalik, dan terlanggar sebuah van dan bas mini.
Nahas itu turut menyebabkan kecederaan kepada lapan mangsa lain, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Rempuhan berkenaan turut merosakkan pagar penghadang dan tiang lampu, yang menyebabkan kerugian sekitar $1,317.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Syafie akan membuat pembayaran ganti rugi kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) secara beransur.
Syafie ditangkap dua hari selepas kemalangan, iaitu pada 24 April 2024, selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Lesen memandunya digantung serta-merta.
Kesnya ditangguhkan ke 7 September untuk rayuan pengurangan hukuman dan penjatuhan hukuman.
Mereka yang disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan dilarang memandu.
