Demi memastikan pertumbuhan yang didayakan kecerdasan buatan (AI) adalah adil, berdaya tahan dan memberi peluang kepada semua, Singapura mesti memastikan setiap pekerja dapat melihat peranan mereka dalam ekonomi baharu ini – dan mereka perlu disokong untuk mencapainya.

Semasa membentangkan usul bertajuk ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ di Parlimen pada 5 Mei, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata pemerintah, kesatuan sekerja dan majikan mesti bertindak awal dan bertindak bersama.

Ini supaya cita-cita AI negara dapat diterjemahkan kepada keyakinan dan peluang bagi perusahaan dan rakyat Singapura.

“Kita mesti bertindak awal. Kita mesti memperkukuhkan rancangan dan respons kita pada peringkat pertumbuhan yang didayakan AI ini, sebelum gangguan berlaku,” kata Encik Ng, yang juga Anggota Parlimen SMC Jalan Kayu.

Beliau menambah sedang Singapura terus mara secara strategik dalam bidang AI, hasil yang diinginkan adalah jelas, iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi yang menghasilkan pekerjaan, peluang pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura.

Selain itu, Singapura juga mahu memastikan perusahaan dapat memanfaatkan AI untuk memacu perubahan, di samping melatih pekerja melaksanakan tugas bernilai lebih tinggi, menggalas peranan yang lebih luas dan mencipta nilai yang lebih besar.

“Inilah masa depan AI proaktif yang mesti kita usahakan kerana rakyat adalah kekuatan utama kita.

“Bukan AI sebagai pengganti pekerja, tetapi AI yang berkhidmat untuk pekerja,” kata beliau.

AI bukan lagi pilihan, tetapi apabila digunakan dengan baik, boleh meningkatkan produktiviti, membuka kemungkinan baharu dan memperkukuh daya saing Singapura, kata Encik Ng.

“Namun, setiap pekerja yang telah berusaha keras mesti dapat melihat peranan mereka dalam ekonomi baharu ini, dan mereka perlu disokong untuk mencapainya.

“Inilah cara kita berpaksikan pertumbuhan berasaskan AI di atas landasan keadilan, daya tahan, dan peluang untuk semua,” ujarnya.

Beliau menyorot era gangguan pekerjaan sebelum ini, seperti pelan pengkomputeran nasional pada 1980-an, serta cara Singapura menanganinya.

“Apabila teknologi mengubah landskap kerja pada masa lalu, rakan kongsi kerjasama tiga pihak tampil bersama,” kata beliau sambil menarik perhatian kepada penubuhan Majlis Keselamatan Pekerjaan semasa pandemik Covid-19, yang berjaya memadankan ribuan pekerja dengan peranan baharu.

“Kita mesti melakukan perkara yang sama dalam era AI ini,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Encik Ng turut menyatakan bahawa semasa Belanjawan lalu, pemerintah telah mengetengahkan keperluan menyokong pekerja dan syarikat untuk menyesuaikan diri dalam ekonomi yang didayakan AI melalui Majlis AI Nasional.

NTUC juga melancarkan AI-Ready SG untuk memperkasakan lebih ramai pekerja menggunakan AI dalam tugas harian mereka, dengan alat yang didayakan AI dalam menyokong pencari kerja serta pekerja daripada semua lapisan masyarakat.

Di samping itu, Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) juga telah ditubuhkan untuk menyokong transformasi perusahaan, reka bentuk semula pekerjaan dan peralihan pekerja.

“Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kita mengambil komitmen tiga pihak ini untuk bertindak lebih awal dan bertindak bersama... supaya cita-cita AI kita diterjemahkan kepada keyakinan dan peluang untuk perusahaan dan rakyat Singapura,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Ng menggariskan empat langkah yang perlu diambil.

Pertama katanya, Singapura mesti membangunkan risikan pasarannya sendiri bagi Ekonomi Berdaya AI.

Kedua, membolehkan perusahaan berubah dengan AI, dan melakukannya dengan cara yang memberi manfaat kepada pekerja.

Ketiga, membolehkan pekerja merebut peluang baharu.

Keempat, membolehkan pekerja yang dibuang kerja, bangkit semula dengan bermaruah dan yakin.

Firma-firma memerlukan bantuan untuk berubah dengan AI, dengan cara yang memberi manfaat kepada pekerja, katanya.

Inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) – yang menurut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan dipertingkatkan – memerlukan lebih banyak sumber, kata Encik Ng.

Melangkah ke hadapan, beliau mencadangkan agar NTUC menguruskan inisiatif CTC dengan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), sebagai sebahagian daripada TJC yang baharu.

Encik Ng berkata: “Kami mungkin memerlukan lebih banyak sumber untuk pendekatan pelaksanaan CTC baharu ini.

“NTUC akan membincangkan butirannya dengan Snef dan mengemukakan permintaan pembiayaan kami apabila siap, dan kami berharap pemerintah akan memberikan sokongan sepenuhnya.”

Tentang muafakat yang mesti diperbaharui

Sejak merdeka, pertumbuhan Singapura telah berpaksikan kepada satu muafakat yang ringkas namun ampuh iaitu apabila ekonomi kita maju, pekerja kita juga turut maju. Hari ini, dalam dunia yang berdaya AI – kita mesti memperbaharui muafakat tersebut – secara terancang dan bersama-sama.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng.
Tentang persoalan yang bermain di benak pekerja

Para pekerja, baik kolar putih mahupun kolar biru, memerlukan jawapan serta panduan yang praktikal. Peranan manakah yang sedang berubah? dan yang manakah berkemungkinan lenyap? Kemahiran manakah yang akan menjadi lebih penting? Di manakah letaknya pekerjaan-pekerjaan baharu? Apakah yang harus saya lakukan seterusnya?
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng.
Tentang kesan perubahan AI

Kesan AI terhadap pekerjaan akan terus berkembang. Kita mesti sentiasa berwaspada terhadap isu-isu tatakelola AI yang muncul dan menyesuaikan dasar-dasar kita, bahkan undang-undang kita juga.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng.