Pembantu rumah asal Indonesia yang ditugaskan untuk menjaga seorang wanita tua dihantar pulang pada 8 Oktober kerana didakwa mendera warga senja itu.
Wanita berusia 77 tahun itu dilaporkan meninggal dunia pada 8 Oktober, menurut laporan Shin Min Daily News.
Anak perempuan wanita itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Wang, memberitahu pihak media bahawa beliau menggajikan pembantu rumah itu pada Jun 2023 untuk menjaga ibunya, yang terlantar di katil selepas diserang angin ahmar.
Cik Wang tidak mempunyai masalah dengan pembantu rumah itu sehingga beliau memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik ibunya pada 23 September, yang mendedahkan bahawa pembantu itu telah menganiaya ibunya.
Pembantu rumah itu dilaporkan menolak kepala wanita tua itu ke atas katil, dan menggoncangkan badannya dengan kasar.
Marah dengan apa yang disaksikan, Cik Wang membuat laporan polis.
Menurut Cik Wang, walaupun polis menahan pembantu rumah itu, bukti yang ditemui tidak mencukupi.
Agensi pembantu rumah itu juga menggesa Cik Wang untuk membeli tiket kapal terbang untuk menghantar pembantu itu pulang.
Akibat sibuk menjaga ibunya, yang keadaannya semakin teruk, Cik Wang hanya dapat membeli tiket kapal terbang tersebut pada awal Oktober.
Apabila tiba harinya untuk pembantu tersebut terbang pulang ke Indonesia, ibu Cik Wang meninggal dunia.
“Beliau tidak pernah meminta maaf atas kelakuannya, sehinggalah saya menghantar foto arwah ibu saya kepadanya. Beliau hanya meminta maaf selepas melihatnya,” kata Wang.
Anak lelaki wanita tua itu, Encik Wang Guangxin, memberitahu akhbar Shin Min bahawa ibunya pernah bekerja sebagai pengasuh.
Beliau diserang angin ahmar sekitar tiga tahun lalu, dan kemudian terlantar di atas katil. Keadaannya juga semakin merosot dari semasa ke semasa.
Pada awal 2024, ibunya hilang keupayaan untuk bercakap, dan oleh itu tidak dapat memberitahu anak-anaknya bahawa dirinya didera.
“Setiap kali saya melawat ibu saya, beliau akan menangis,” kongsi pemandu bas berusia 53 tahun itu.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku ketika itu, tetapi sakit apabila saya memikirkannya sekarang,” tambahnya.
Menurut Encik Wang Guangxin, keluarganya telah meminta doktor memeriksa wanita tua itu sejurus selepas mereka mengetahui beliau didera.
Bagaimanapun, doktor tersebut hanya meminta mereka untuk menjaga warga senja itu, dan tidak memberitahu mereka untuk menjalankan pemeriksaan selanjutnya bagi kecederaan yang dialami wanita itu.
Kededua adik-beradik itu tidak tahu bahawa mereka memerlukan laporan perubatan untuk membuktikan ibu mereka didera secara fizikal, dan ini bermakna mereka tidak berjaya mendapatkan laporan tersebut pada masa yang tepat.
“Saya amat kasihan dengan ibu kerana tidak dapat meluahkan perasaan apabila didera. Sekarang beliau sudah meninggal dunia, kami tidak boleh membantunya mendapatkan keadilan,” kata Encik Wang Guangxin.
Encik Wang Guangxin menambah bahawa ibunya ingin tinggal bersamanya, tetapi rancangan mereka tertunda akibat wabak Covid-19.
Wanita tua itu pernah tinggal di Ang Mo Kio bersama suaminya, yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Beliau kemudian berpindah ke Hougang untuk tinggal bersama anak perempuannya.
Encik Wang Guangxin dan isterinya sedang menetap di sebuah rumah sewa dan tidak dapat menampung ibunya.
Beliau telah memohon flat empat bilik di Tengah, dan sepatutnya berpindah bersama ibunya itu pada Mac 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg