Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantu rumah dipenjara akibat gigit, cubit bayi 11 bulan

Feb 7, 2025 | 8:05 PM
 Pembantu rumah, warga Myanmar itu memohon maaf atas tindakannya tetapi berkata dia hanya dapat tidur selepas tengah malam setiap hari dan berasa geram kerana tidak mendapat rehat yang mencukupi.
 Pembantu rumah, warga Myanmar itu memohon maaf atas tindakannya tetapi berkata dia hanya dapat tidur selepas tengah malam setiap hari dan berasa geram kerana tidak mendapat rehat yang mencukupi. - Foto Pixabay

Seorang pembantu rumah dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan pada 6 Februari kerana menggigit dan mencubit bayi berusia 11 bulan yang berada dalam jagaannya.

Wanita warga Myanmar, 24 tahun, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi mangsa, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menganiaya kanak-kanak di bawah jagaannya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) J. Jayaletchmi berkata majikan pembantu rumah tersebut menyedari terdapat kesan gigitan pada lengan kiri anak lelakinya pada 6 November 2024.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, dia mendakwa bayi itu kadangkala menggigit dirinya sendiri, yang mungkin menyebabkan kesan tersebut.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengaku bahawa dia telah menggigit bayi itu kerana berasa geram apabila bayi berkenaan enggan tidur, dan mengakui bahawa gigitan itu telah meninggalkan lebam.

Tidak dinyatakan dalam mahkamah mengapa dia mengaku atas perbuatannya tetapi masih terus bekerja dalam keluarga yang sama.

Dua minggu kemudian, pada 20 November, pembantu rumah tersebut memberitahu majikannya bahawa dia menemui kesan gigitan pada lengan kanan bayi ketika memandikannya.

Apabila ibu bayi itu menyoalnya mengenai perkara tersebut, dia mendakwa tidak mengetahui bagaimana ia boleh berlaku.

Susulan itu, majikannya menyemak rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.

Dalam rakaman bertarikh 19 November, pembantu rumah itu dilihat mengangkat bayi dari katilnya selepas dia terjaga sambil menangis.

Bayi berkenaan kelihatan melengkungkan badannya ke belakang dan terus menangis dengan kuat.

Ibu bayi itu mengesyaki pembantu rumah tersebut telah mencubit anaknya dan segera menyoalnya mengenai perkara itu.

Akhirnya, pembantu rumah itu mengaku bahawa dia telah mencubit bayi itu dua kali pada bahagian pinggang kerana berasa geram apabila bayi tersebut enggan tidur.

Dia juga mengaku telah menggigit lengan bayi itu semasa satu lagi kejadian.

Majikannya turut membuat laporan polis pada 24 November 2024.

DPP Jayaletchmi, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 16 dengan 20 bulan, dengan alasan bahawa mangsa masih terlalu muda, mudah terdedah kepada bahaya, dan tidak berdaya untuk mempertahankan diri daripada pembantu rumah itu.

Beliau menambah: 

“Tertuduh telah diberikan kepercayaan oleh ibu bapa mangsa untuk menjaga anak mereka, tetapi dia telah menyalahgunakan kepercayaan ini dengan mencederakannya. 

“Perbuatan ini perlu menerima kecaman keras daripada undang-undang.”

Dalam rayuannya, pembantu rumah itu memohon maaf atas tindakannya tetapi berkata dia hanya dapat tidur selepas tengah malam setiap hari dan berasa geram kerana tidak mendapat rehat yang mencukupi.

Bercakap melalui jurubahasa Burma, dia berkata: 

“Saya mengaku salah kerana menggigit dan mencubit bayi itu... Tetapi ini adalah pekerjaan pertama saya di Singapura dan kesilapan serius pertama saya. 

“Saya datang ke sini untuk bekerja demi mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan ibu saya.”

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Paul Chan menegaskan bahawa keganasan terhadap kanak-kanak tidak akan diterima.

Beliau menambah bahawa meskipun tertuduh mengalami kekurangan tidur, itu bukan alasan untuk mencederakan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah.

Bagi kesalahan menganiaya kanak-kanak di bawah jagaannya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lapan tahun, denda sehingga $8,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg