Pengumuman berkenaan penutupan Jetstar Asia pada 31 Julai bukanlah satu kejutan, memandangkan syarikat penerbangan itu bergelut untuk meraih keuntungan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata penganalisis yang bercakap kepada Berita Harian (BH).
Bagaimanapun, pengesahan mendadak penutupannya telah mengejutkan sesetengah pihak, memandangkan masih belum jelas sama ada terdapat “kejatuhan yang lebih luas” kepada syarikat penerbangan tambang murah (LCC) yang lain, kata Penolong Profesor Institut Teknologi Singapura (SIT), Encik Awad Khireldin.
“Pengumuman itu bukanlah satu kejutan kepada karyawan penerbangan. Penganalisis menyatakan ketidakberuntungan jangka panjangnya – mereka hanya meraih keuntungan dalam enam daripada 20 tahun – dan peningkatan kos menjadikan model perniagaannya tidak berdaya maju.
“Penutupan Jetstar Asia mencerminkan persekitaran yang sukar untuk LCC di Asia Tenggara.
“Kebanyakan syarikat penerbangan akan bertahan, tetapi penutupan itu berfungsi sebagai amaran; ramai yang mungkin beralih atau mengecilkan operasi dan bukannya tutup kedai sama sekali,” kata Encik Khireldin.
Pengasas Endau Analytics, firma penasihat penerbangan bebas yang berpangkalan di Singapura, Encik Shukor Yusof, berkata penutupan mengejut Jetstar Asia dijangka tidak memberi kesan besar pada Lapangan Terbang Changi dan industri penerbangan yang lebih luas.
Walaupun Jetstar Asia di Singapura telah “berdepan kerugian hampir sepanjang tempoh kewujudannya”, beliau tidak menjangka LCC lain akan ditutup memandangkan LCC lain seperti Scoot berada dalam kedudukan kewangan yang baik.
“Saya menjangkakan kesan yang tidak ketara kepada Lapangan Terbang Changi dan industri yang lebih luas. Saya tidak menjangka LCC lain akan tutup kedai tahun ini (2025).
“LCC kekal sebagai pilihan popular di rantau ini tetapi selera untuk perjalanan udara mungkin berkurangan apabila kesan penuh tarif dan geopolitik yang semakin teruk diambil kira,” kata Encik Shukor.
Menurut rekod Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), Jetstar Asia mencatat kerugian sebanyak $165.4 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 dan $37.2 juta pada tahun kewangan berikutnya, semasa pandemik Covid-19.
Walaupun ia berjaya memperoleh keuntungan sebanyak $12.5 juta pada 2023, ia mencatat satu lagi kerugian sebanyak $7.1 juta pada Jun 2024.
Sebelum mengumumkan keputusan untuk menutup operasinya, Jetstar Asia dijangka akan mencatatkan kerugian sebanyak AS$35 juta ($29.3 juta) sebelum faedah dan cukai tahun kewangan.
Dengan penutupan Jetstar Asia, Encik Khireldin berkata dalam jangka pendek, tambang serantau dari Singapura mungkin meningkat sedikit disebabkan oleh pengurangan kapasiti tempat duduk, terutamanya pada bandar seperti Bangkok, Thailand dan Kuala Lumpur, Malaysia.
Namun, beliau menambah pengagihan semula kapasiti pada jangka masa sederhana oleh Scoot, Kumpulan SIA dan LCC asing lain dijangka menstabilkan harga.
“Tiada bukti bahawa keutamaan penumpang beralih daripada pilihan kos rendah, dan kemungkinan besar, faktor kemampuan masih menjadi faktor besar.
“Walaupun LCC menghadapi tekanan kos, sektor keseluruhannya terus berkembang dan pengambilan pekerja dijangka berkembang di tempat lain dalam rantau ini.
“Daya tahan industri kekal kukuh, walaupun LCC sedang dalam penelitian untuk mengekalkan kemampanan,” kata Encik Khireldin.
Beliau menekankan industri penerbangan sedang mengalami pertumbuhan yang stabil di seluruh rantau ini, dengan Asia Tenggara diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) sebanyak 4.84 peratus antara 2024 dengan 2029.
Rantau Asia-Pasifik yang lebih luas juga dijangka berkembang pada 6.39 peratus antara 2023 dengan 2029, manakala Lapangan Terbang Changi Singapura menjangkakan 2.9 peratus CAGR dalam trafik penumpang menjelang 2028, di samping peningkatan 14.8 peratus dari 2023 hingga 2024.
Jetstar Asia, yang memulakan operasinya di Singapura pada 2004, adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang menyediakan khidmat penerbangan ke Okinawa di Jepun, Wuxi di China, Labuan Bajo di Indonesia dan Broome di Australia dari Lapangan Terbang Changi.
Walaupun Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) berkata ia akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain untuk memulihkan ketersambungan, prospek kehilangan penerbangan tanpa henti ke bandar-bandar ini muncul di saat Singapura sedang meningkatkan bilangan destinasi dari negara ini.
“
“Pengumuman itu bukanlah satu kejutan kepada karyawan penerbangan. Penganalisis menyatakan ketidakberuntungan jangka panjangnya – mereka hanya meraih keuntungan dalam enam daripada 20 tahun – dan peningkatan kos menjadikan model perniagaannya tidak berdaya maju.”“
“Saya menjangkakan kesan yang tidak ketara kepada Lapangan Terbang Changi dan industri yang lebih luas. Saya tidak menjangka LCC (syarikat penerbangan tambang murah) lain akan tutup kedai tahun ini (2025).”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg