Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembelajaran di Al-Zuhri menarik dengan kaedah pengajaran beraneka

Jan 16, 2026 | 5:30 AM
Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) institut itu, Ustaz Mas’udin Syarifuddin (kanan), sedang mengajar pelajar program Diploma Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) institut itu, Ustaz Mas’udin Syarifuddin (kanan), sedang mengajar pelajar program Diploma Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri. - Foto ihsan USTAZ MAS’UDIN SYARIFUDDIN

Proses pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri pelbagai dan bersifat inovatif supaya menarik buat pelajar institut itu, yang terdiri daripada belia hingga warga emas. 

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) institut itu, Ustaz Mas’udin Syarifuddin, pensyarah Al-Zuhri memainkan peranan sebagai fasilitator yang memanfaatkan ilmu serta pengalaman mereka demi memperkayakan setiap sesi pengajaran bagi pelajar dewasa. 

Konsep dan teori yang diajar dalam setiap modul pelajaran disusun agar berkait rapat dengan pengalaman sebenar pelajar, supaya ilmu itu mudah dihayati dan diamalkan. 

Selain pembelajaran formal dalam kelas sepanjang tahun, pelbagai kaedah pembelajaran lain, seperti simposium, seminar dan latihan praktikal, diterapkan dalam pengajaran. 

Selain pembelajaran formal dalam kelas sepanjang tahun, pelbagai kaedah pembelajaran lain, seperti simposium, seminar dan latihan praktikal, diterapkan dalam pengajaran. 

Semua itu menjadikan pengalaman pembelajaran di Institut Al-Zuhri lebih menarik buat pelajar dewasa. 

Sebagai contoh, pelajar diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda menjalani praktikum mengajar, manakala pelajar diploma psikologi Islam dan kaunseling mengikuti praktikum kaunseling.

Bagi kursus kepimpinan, pelajar diploma sepenuh masa diuji melalui pelibatan aktif dalam penganjuran kem kanak-kanak semasa cuti pertengahan tahun. Gabungan teknik itu mewujudkan suasana pembelajaran dinamik, relevan dan menyeronokkan bagi pelajar dewasa.

Selain itu, antara tugasan akhir bagi pelajar diploma lanjutan dan sarjana muda ialah menjalankan khidmat masyarakat, di mana mereka mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja amal bagi masyarakat setempat dan antarabangsa menggunakan dana yang diusahakan pelajar sendiri. 

Dalam program ini, pelajar tahun empat ijazah sarjana muda dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan di lokasi-lokasi seperti masjid, pusat kebajikan, dan perpustakaan masyarakat untuk memberi sumbangan tenaga dan ilmu mereka. 

“Menariknya, ada pelajar memperluaskan khidmat mereka ke luar negara, contohnya di Batam, Indonesia, sekali gus membuktikan semangat ukhuwah Islamiah merentasi sempadan,” kata Ustaz Mas’udin.  

Mengalu-alukan pelajar dewasa mengikuti pengajian Islam secara berstruktur, tidak kira usia mereka, beliau berkata:   

“Dalam tradisi keilmuan Islam, menuntut ilmu tidak pernah dianggap terlambat, tidak kira berapa usia seseorang. Ini kerana kefahaman tentang sesuatu ilmu disesuaikan mengikut tahap kematangan individu, biarpun asas pengajiannya tetap sama. 

“Di Al-Zuhri, matlamat utama pengajian Islam ialah membentuk cara pandangan alam selari dengan konteks masyarakat di Singapura. Dengan pendekatan ini, pelajar dapat menjiwai ajaran agama secara lebih mendalam, sekali gus memperkukuh diri melalui penguasaan ilmu fardu ain berterusan sepanjang hayat.”

Seiring dengan perubahan pesat dunia, Al-Zuhri sentiasa berusaha memperbaharui pendekatan pengajaran dan pembelajarannya, memastikan pelajar dewasa memperoleh ilmu sesuai dengan cabaran semasa. 

Hala tuju seterus Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, ujar Ustaz Mas’udin, ialah memfokuskan usaha memperkukuh transformasi digitalnya bersama syarikat kerabat seperti Andalus, Cordova, dan Darul Andalus. 

Pendekatan ini bukan memperluaskan penggunaan teknologi dalam pembelajaran saja, malah membuka jalan kepada integrasi sistem pembelajaran pintar lebih cekap dan bersifat futuristik. 

“Seiring arus Kecerdasan Buatan (AI), Al-Zuhri turut menekankan pembangunan kemahiran baru dalam kalangan pegawai kanan, pensyarah dan asatizahnya. Usaha ini bertujuan membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kecekapan digital relevan, agar dapat mengajar dan membimbing pelajar dengan lebih berkesan dalam era teknologi yang sentiasa berubah,” kata beliau. 

Al-Zuhri juga memainkan peranan memartabat pengajian Islam setempat menerusi program-program kerjasama dengan universiti di Malaysia dan Indonesia pada peringkat sarjana muda dan pascasiswazah. 

Meneruskan pengajian pada peringkat sarjana muda di institut pengajian tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekarang menjadi matlamat lulusan program sepenuh masa Al-Zuhri.

Kerjasama Al-Zuhri dengan institusi pengajian seperti Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Ibn Khaldun (UIKA) Bogor, Indonesia, kini berperanan lebih mendalam dalam membangunkan jalur pendidikan Islam tahap lebih tinggi bagi pelajar dewasa Singapura.

“Kerjasama dengan universiti Islam lain memperkaya pengalaman dan perspektif dalam mengelola pengajian tinggi dari sudut kurikulum dan pensijilan. Selain pengajian dalam kelas, pensyarah membimbing pelajar menulis makalah ilmiah, menyiapkan projek dan bahkan dalam menulis tesis. Ini mendorong pelajar dewasa setempat mengembangkan ilmu mereka,” kata Ustaz Mas’udin. 

Al-Zuhri sentiasa mencari peluang mengembangkan kerjasama dengan universiti lain dalam pengajian bahasa Arab dan psikologi Islam, tambahnya. 

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg