Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembeli rumah privet bakal dapat perlindungan tambahan

Nov 14, 2025 | 4:44 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-66 Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas) di hotel Shangri-La pada 13 November.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-66 Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas) di hotel Shangri-La pada 13 November. - Foto ZAOBAO

Pemerintah akan memperkenalkan perubahan peraturan bagi melindungi pembeli rumah privet dan membantu mereka membuat keputusan yang lebih termaklum, sekali gus meningkatkan piawaian industri secara keseluruhan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Beliau turut mengumumkan penawaran perumahan privet di bawah Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh pertama 2026 akan ditambah dengan sekitar 4,500 unit baru, menjadikan bekalan keseluruhan rantaian pembangunan rumah privet melebihi 58,000 unit.

Menurut laporan The Straits Times (ST), perubahan peraturan itu, yang akan berkuatkuasa awal 2026, termasuk mewajibkan pemaju menyediakan lebih banyak maklumat dalam dokumen jualan projek baru.

Antara maklumat yang perlu ditandakan dengan jelas ialah struktur dinding dan ruang sampah dalam pelan tapak.

“Langkah ini memberikan kejelasan awal kepada pembeli rumah mengenai pelan susun atur sekaligus mengurangkan kemungkinan berlaku perselisihan antara pembeli dan pemaju,” kata Encik Chee.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-66 Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas) di Hotel Shangri-La pada 13 November.

Pada masa ini, pemaju perlu menyediakan pelan lantai unit berskala dan pelan tapak yang menunjukkan kemudahan awam.

Namun, pemerintah mahu maklumat ini dipertingkatkan agar pembeli dapat menilai dengan lebih teliti.

Bagi meningkatkan ketelusan, syarikat pembangunan juga perlu berkongsi rekod prestasi mereka dengan pembeli yang berminat, termasuk penarafan Sistem Penilaian Mutu Binaan (Conquas) bagi projek lalu.

Conquas ialah piawaian negara yang menilai mutu kerja dalam projek pemerintah dan pembangunan berskala besar apabila ia siap.

Piawaian ini biasanya digunakan untuk projek yang lebih besar, seperti kondominium privet dan pembangunan perumahan awam bernilai $5 juta dan ke atas.

Penilaian merangkumi tiga bahagian: kemasan dalaman, pengesahan kaedah pemasangan dan ujian fungsi serta kemasan luaran.

Maklumat ini akan membolehkan pembeli membandingkan tahap kualiti antara syarikat pembangunan, kata Encik Chee.

Selain itu, tarikh permulaan tempoh liabiliti kecacatan dan liabiliti pembeli terhadap caj penyenggaraan akan diselaraskan kepada hari ke-35 selepas notis bayaran kemajuan dikeluarkan pada peringkat Permit Pendudukan Sementara (TOP).

Kini, tempoh itu bermula pada hari ke-15.

Langkah ini memberi pembeli lebih masa untuk memeriksa unit dan memaklumkan pemaju jika terdapat kecacatan.

Buat masa ini, tempoh liabiliti kecacatan selama setahun bermula pada tarikh penyerahan pemilikan kosong, atau pada hari ke-15 selepas notis bayaran dikeluarkan pada peringkat TOP, mengikut mana yang lebih awal.

Di bawah peraturan baru, tarikh itu akan dianjak kepada hari ke-35, yang lebih selaras dengan tempoh pemaju menyerahkan unit selepas menerima bayaran.

“Perubahan ini bukan sahaja menyokong pembeli rumah membuat pilihan termaklum, malah memastikan persaingan lebih adil bagi pemaju,” kata Encik Chee.

Pemerintah juga akan mengekalkan penawaran perumahan awam dan privet pada tahap tinggi untuk memenuhi permintaan kukuh.

Dari 2025 hingga 2027, sekitar 55,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan, meningkat daripada sasaran awal sebanyak 50,000 unit.

Lebih 25,000 unit rumah privet pula akan dikeluarkan melalui program GLS.

Penawaran perumahan privet dalam senarai disahkan di bawah program GLS bagi separuh kedua 2025 menurun 6.1 peratus kepada 4,725 unit, berbanding 5,030 unit pada separuh pertama.

Namun, menurut pemerhati industri, jumlah ini masih jauh lebih tinggi berbanding tahap penawaran tanah dari 2015 hingga 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg