Mesej yang terpampang di unit dalam kenderaan (OBU) menyatakan ‘ERP di hadapan’ (ERP Ahead) dengan bayaran yang akan dipotong bakal menjadi ciri baharu yang boleh dijangkakan pemandu jelang 1 Januari 2027.

Ia berkuat kuasa apabila Singapura bertukar daripada sistem berasaskan gantri kepada sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) 2 yang menggunakan satelit untuk menentukan lokasi kenderaan bagi tujuan pembayaran tol.

Sistem gantri sedia ada, yang digunakan sejak 1998, telah mencapai akhir hayatnya dan bakal melalui pembaharuan teknologi.

Pemberitahuan ‘ERP Ahead’ akan muncul di jalan keluar/alternatif terakhir sebelum pemandu sampai ke lokasi bayaran.

Ia akan memberi mereka masa yang mencukupi untuk mengambil laluan alternatif jika mereka ingin mengelakkan daripada membayar tol tersebut.

Ciri itu sedang menjalani percubaan pengalaman pengguna, dengan bayaran berlaku berhampiran lokasi gantri sedia ada di mana terdapat isyarat satelit paling kuat.

Jarak antara zon pemberitahuan dengan titik bayaran bergantung pada reka bentuk dan lokasi jalan raya, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menjawab soalan The Straits Times.

Pemberitahuan ‘ERP Ahead’ biasanya akan muncul sekitar 200 meter sebelum lokasi bayaran di lebuh raya.

Dengan peralihan kepada sistem ERP berasaskan satelit, gantri akan ditiadakan secara bertahap.

Maklumat seperti waktu operasi dan kadar semasa, yang kini ditunjukkan pada gantri, akan muncul pada paparan skrin sentuh OBU atau pada aplikasi telefon bijak ERP 2 yang serasi dengan sistem itu.

Selain pemberitahuan ERP, satu lagi ciri baharu ialah pembayaran tempat letak kereta elektronik di tepi jalan.

Mulai Ogos, pengguna rintis akan mencuba ciri itu di 644 lokasi tempat letak kereta yang ditetapkan, membabitkan sekitar 19,000 ruang letak kereta.

Ia mewakili sebahagian besar ruang letak kereta di tepi jalan yang diuruskan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Apabila sistem mengesan sebuah kenderaan diletakkan di ruang letak kereta di tepi jalan, pengguna akan memulakan sesi letak kereta melalui skrin sentuh OBU.

Sesi itu tamat secara automatik apabila kenderaan keluar dari ruang tersebut, dengan caj tempat letak kereta dikira dan dipotong.

Jika terdapat beberapa tempat letak kereta atau zon letak kereta yang dikesan berdekatan, pemandu perlu memilih lokasi yang betul daripada senarai tersebut.

LTA menyatakan lebih banyak tempat letak kereta akan ditambah secara bertahap ke dalam skim percubaan tersebut.

Ia menambah bahawa pemandu tanpa skrin sentuh OBU boleh terus membayar melalui aplikasi Parking.SG, yang akan kekal beroperasi selepas ciri letak kereta elektronik di tepi jalan dilancarkan sepenuhnya.

Turut sedang dinilai ialah papan tanda dan pilihan penanda jalan untuk berfungsi sebagai petunjuk visual bagi pengecasan tol ERP.

Lima gabungan papan tanda dan penanda jalan telah digunakan di lima lokasi di lebuh raya dan jalan raya.

Ia merupakan fasa kedua kajian mengenai petunjuk visual, selepas kajian yang dijalankan di sepanjang Bayshore Drive pada Mac lalu.

LTA sedang mengumpul maklum balas tentang sejauh manakah pemandu dimaklumkan tentang lokasi pembayaran ERP di hadapan tanpa menggunakan gantri.

Maklum balas boleh dihantar ke LTA_Pilot_GNSS@lta.gov.sg sebelum 31 Julai.