Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat.
Ia nadi masyarakat, tempat menenangkan jiwa, menimba ilmu dan menyemai ukhuwah.
Demikian pandangan Naib Setiausaha Kehormat, Ahli Majlis Tertinggi, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, yang kini giat sebagai pendakwah bebas serta pembimbing Kuliah Maghrib mingguan di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
“Saya pernah berkhidmat sebagai pengurus Masjid Alkaff Kampung Melayu. Kini saya bersyukur diberi peluang kembali menyumbang di sini.
“Bukan dalam pejabat, tetapi berhadapan jemaah sebagai pembimbing kuliah, termasuk Kuliah Maghrib pada setiap malam Rabu,” ujar Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum.
Sepanjang perjalanan beliau sebagai pendakwah bebas yang diiktiraf dan memiliki Sijil Pengiktirafan Asatizah (ARS), Ustaz Bahrul-Ulum menyaksikan bagaimana majlis ilmu mampu menyuburkan hati dan menyatukan masyarakat.
Yang hadir di kuliah bukan semata-mata mahu menimba ilmu, malah mencari kekuatan, jawapan kepada persoalan hidup, serta harapan dalam dunia yang makin mencabar.
“Ada yang datang dengan hati yang berat, tetapi pulang dengan senyuman dan rasa lega.
“Itulah keindahan masjid yang hidup, masjid yang bukan hanya mengajar, bahkan menyantuni dan memimpin,” jelasnya yang juga bekas Pengurus Masjid An-Nur.
Beliau memetik sebuah hadis: “Apabila kita duduk dalam majlis ilmu di rumah Allah, turunnya ketenangan, rahmat Allah melimpah, malaikat menaungi… dan nama kita disebut di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ustaz Bahrul-Ulum terharu melihatkan ramai jemaah yang dahulunya kurang cergas kini mula istiqamah dan menghadiri kuliah.
Ada yang membawa pasangan, anak-anak dan jiran tetangga.
Menurutnya, ini menunjukkan keberkatan ilmu memberi kesan berangkai. Usaha begitu perlu diteruskan. Bukan oleh asatizah sahaja, malah masyarakat umum yang cakna atau peduli.
“Sebagai pembimbing kuliah, saya sering menyentuh tajuk seperti ancaman ajaran sesat dan ciri-cirinya.
“Saya percaya, masyarakat hari ini perlu celik akidah, bukan hanya celik teknologi.
“Ramai yang terjerumus dalam kesesatan bukan kerana mereka jahat, tetapi kerana mereka jahil dan keliru.
“Maka tugas kita sebagai pendakwah bukan sekadar mengulas kesalahan, tetapi memberi cahaya agar mereka nampak jalan pulang,” katanya.
Dalam era teknologi canggih ini, Ustaz Bahrul-Ulum turut menggunakan slaid, PowerPoint dalam setiap kuliah. Ia bukan sekadar memudahkan penyampaiannya, malah menjadikan kuliah lebih hidup dan bertenaga.
Beliau juga gemar menggunakan pendekatan dua hala, dengan ruang soal jawab dan mewujudkan suasana interaktif dan mesra kuliah.
“Bagi saya, dakwah tidak terhenti semasa kuliah. Ia perlu hadir dalam akhlak dan pergaulan.
“Saya sedaya upaya menyantuni jemaah selepas kuliah, minum bersama mereka, menjawab soalan peribadi dan membina hubungan yang rapat.
“Kita tidak berdakwah hanya dengan lisan, bahkan dengan kehadiran dan kasih sayang,” jelasnya lembut.
Persekitaran turut memainkan peranan. Ustaz Bahrul-Ulum, menambah:
“Saya percaya, masjid mesti mesra jemaah. Suasana yang terbuka dan penuh kasih sayang akan membuatkan orang datang tanpa rasa segan atau terasing.
“Sebagai bekas staf masjid, saya faham kadangkala, bukan isi kuliah yang membuat orang datang semula, tetapi cara kita menyambut dan melayani mereka.”
Sebagai seorang bapa, Ustaz Bahrul-Ulum bersyukur ketiga-tiga anak lelakinya membesar dalam suasana masjid dan menjadikan masjid sebagai rumah kedua.
Mereka giat dengan kegiatan masjid sejak kecil. Mereka kini berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan Belia (YDO) di tiga masjid berlainan.
Mereka penerus usaha yang pernah beliau mulakan. Ia bukan saja kebanggaan peribadinya, bahkan sebagai bukti masjid yang hidup dengan ilmu dan kemesraan akan melahirkan generasi berjiwa besar dan berbakti kepada ummah.
Menurut Ustaz Bahrul-Ulum, masjid hari ini perlu melebihi fungsi tempat bersolat.
Ia perlu menjadi pusat harapan, tempat menimba ilmu dan ruang mencari ketenangan jiwa.
Setiap kuliah bukan sekadar penyampaian ilmu, malah juga membina keinsanan dan menyatukan masyarakat.
Apabila kuliah ilmu disampaikan dengan hikmah dan kasih sayang, masjid akan menjadi tempat yang dirindui, bukan digeruni.
“Saya menyeru agar lebih ramai menghadiri kuliah di masjid. Jangan anggap ia berat atau membosankan. Kuliah di masjid hari ini penuh dengan ilmu yang praktikal, disampaikan asatizah bertauliah dengan pendekatan segar dan menarik.
“Masjid akan terus hidup jika kita hidupkannya. Masyarakat akan terus kuat jika masjid dijadikan tempat kembali.
“Mari bersama-sama memakmurkan rumah Allah bukan hanya dengan solat, malah dengan ilmu, kasih dan amal. Ingatlah, langkah ke masjid itu kecil di kaki, tapi besar di sisi Ilahi,” tambahnya.
SEKILAS
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg