Pemblog dan penasihat kewangan, Encik Leong Sze Hian, telah dikenakan Arahan Pembetulan oleh Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) berhubung kenyataan palsu yang dibuatnya mengenai geran perumahan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 21 Ogos, Encik Leong menyatakan bahawa tiada kaedah ujian bagi geran yang diberikan untuk pembelian flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) jualan semula. Beliau menyatakan:
“Mengapa kita memberi lebih banyak bantuan kepada orang yang boleh dikatakan, lebih kaya, untuk membeli flat jualan semula yang lebih mahal, berbanding orang miskin yang mungkin hanya mampu membeli flat BTO (Bina Ikut Tempahan)?”
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Ogos, Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata bahawa kenyataan mengenai geran perumahan untuk pembeli rumah pertama yang layak bagi flat jualan semula HDB adalah palsu dan mengelirukan.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, telah mengarahkan Pejabat Pofma untuk mengeluarkan Arahan Pembetulan bagi hantaran tersebut.
Ini bermakna Encik Leong akan dikehendaki memasukkan notis terhadap catatan asalnya, dengan pautan kepada penjelasan pemerintah.
“Dalam catatan Facebooknya, Encik Leong mendakwa bahawa tiada ujian kemampuan pendapatan digunakan untuk geran HDB untuk flat jualan semula. Kenyataan ini adalah palsu.
“Geran jualan semula HDB untuk keluarga kali pertama terdiri daripada Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG), Geran Perumahan CPF (CPF HG) dan Geran Perumahan Berdekatan (PHG).
“EHG dan CPF HG kedua-duanya mempunyai ujian kemampuan,” kata MND.
Ia menambah EHG dipertingkatkan secara progresif supaya pembeli berpendapatan rendah menerima lebih banyak sokongan sambil memastikan mereka yang memerlukan akan menerima lebih banyak bantuan.
MND berkata dengan peningkatan baru-baru ini, keluarga pembeli pertama boleh menerima sehingga $120,000.
“Hanya pembeli rumah kali pertama yang layak untuk flat jualan semula dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi $14,000 layak untuk CPF HG.
“Mereka mungkin menerima $80,000 jika membeli flat jualan semula dua bilik hingga empat bilik, atau $50,000 jika membeli flat jualan semula lima bilik atau lebih besar,” kata MND.
MND menambah, geran perumahan HDB memberikan sokongan langsung dan disasarkan kepada pembeli rumah kali pertama untuk membeli rumah mereka, dengan lebih banyak sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana.
Secara berasingan, MND juga telah menerbitkan kenyataan penuhnya di laman web pemerintah, Factually, di https://www.gov.sg/article/factually260824-b bagi menangkis kenyataan palsu yang dimuat naik oleh Encik Leong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg