Pemerintah kekal komited memastikan penggunaan Internet secara bertanggungjawab bagi melindungi masyarakat daripada ancaman baru, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dalam satu kiriman Facebook beliau pada 13 Ogos.
Ini termasuk penggunaan undang-undang bagi memastikan hal tersebut, tambahnya.
Beliau membuat kenyataan itu di sesi dialog di Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) Tessensohn anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos bagi bincangkan isu-isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura.
Beliau merupakan antara ahli panel – termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim – yang memberikan perkongsian dalam sesi dialog tersebut.
Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merupakan pengendali sesi dialog, yang dihadiri sekitar 130 pemimpin masyarakat, rakan dan pemimpin belia Melayu/Islam.
Cik Rahayu berkata: “Ini (ancaman baru) sudah tentu isu yang kami akan terus pantau secara dekat di kala kita tempuhi era digital dalam konteks masa kini.
“Namun, saya juga tekankan ini adalah tanggungjawab bersama bagi mewujudkan kesedaran dan mendidik semua tentang penggunaan bertanggungjawab dan bahaya Internet kekal sebagai keutamaan kami.”
Penggunaan undang-undang yang beliau maksudkan merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Talian (Pelbagai Pindaan) misalnya.
Berkuatkuasa pada Februari 2023, akta tersebut membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada wadah media sosial supaya menghapuskan kandungan berbahaya, termasuk kiriman media sosial yang menggalak perbuatan bunuh diri, eksploitasi seksual kanak-kanak dan pengganasan.
Begitu juga Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), yang diperkenalkan pada 2019.
Selain itu, Cik Rahayu turut rasa terharu dengan maklum balas positif dan saranan yang diutarakan peserta dialog semasa menyantuni mereka selepas sesi itu untuk melakar hala tuju bersama, khususnya berkenaan wanita, belia dan kanak-kanak.
Dalam satu kiriman pada 12 Ogos, Dr Faishal berkata sesi dialog itu memberi peluang berharga untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai isu-isu mendesak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg