Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembunuhan di Yishun: Sesi pengantaraan jiran bertikai tidak berlangsung, kata MinLaw, MND

Sep 27, 2025 | 5:07 PM
Koh Ah Hwee, Nguyen Phuong Tra
Pada 24 September, Koh Ah Hwee didakwa membunuh Cik Nguyen Phuong Tra di luar sebuah unit di tingkat enam Blok 323 Yishun Central. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS

Walaupun mangsa serangan pisau yang maut di Yishun telah memohon pengantaraan dengan jirannya pada Jun, namun sesi itu tidak berlangsung kerana penyerangnya tidak menjawab undangan, kata Kementerian Undang-undang (MinLaw) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan bersama pada 27 September.

Kenyataan itu menyatakan mangsa, Cik Nguyen Phuong Tra, telah memohon pengantaraan pada 12 Jun, tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana Koh Ah Hwee tidak memberi sebarang jawapan, menurut The Straits Times (ST).

Pada 24 September, Koh didakwa membunuh Cik Tra, 30 tahun, di luar sebuah unit di tingkat enam Blok 323 Yishun Central.

Lelaki berusia 66 tahun itu didakwa menikam Cik Tra, ibu dua anak, di dada dengan pisau.

Suaminya, 33 tahun, cedera parah ketika cuba menghalang Koh.

Mereka dikatakan sedang berusaha menyelesaikan perselisihan berhubung aduan bunyi ketika kejadian itu berlaku.

Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam, yang menyelia kawasan itu, berkata pertikaian tersebut telah dibawa ke peringkat Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat.

Kedua-dua kementerian berkata purata bilangan aduan bunyi yang diterima agensi pemerintah pada separuh pertama 2025 kekal pada kira-kira 2,500 sebulan.

Kenyataan itu menambah bahawa pendekatan pemerintah terhadap pertikaian sedemikian adalah bagi “memudahkan dialog dan komunikasi antara jiran sebaik mungkin”.

Sambil menegaskan pertikaian antara jiran harus ditangani secara baik, kementerian menasihatkan penduduk supaya berbincang dengan jiran mereka dan mendapatkan bantuan pemimpin akar umbi atau memohon pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) jika perlu.

Walaupun kadar kejayaan tinggi bagi kes yang diselesaikan melalui pengantaraan oleh CMC – kira-kira 80 peratus – kementerian berkata kurang sepertiga benar-benar berjaya, kerana salah satu pihak yang terlibat tidak mahu mengambil bahagian.

Dari Januari hingga Ogos, terdapat 1,106 kes didaftarkan di CMC, dengan purata kira-kira 138 kes sebulan.

Bagaimanapun, hanya 166 kes yang benar-benar melalui pengantaraan, dengan 129 daripadanya menghasilkan penyelesaian, kata MinLaw dan MND.

Di tengah-tengah kebimbangan itu, Unit Perhubungan Masyarakat (CRU) baru memulakan usaha perintisnya selama setahun di Tampines pada April, dengan pegawainya diberi pelbagai kuasa, termasuk mengeluarkan arahan untuk memaksa pihak terlibat hadir untuk pengantaraan di CMC.

CRU setakat ini menerima lima kes yang disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan polis, kata kenyataan itu.

Satu kes menyaksikan kedua-dua jiran diarahkan untuk menghadiri pengantaraan, manakala satu lagi kes, yang melibatkan penggunaan bunyi bising secara sengaja untuk mengganggu jiran, telah diselesaikan selepas campur tangan oleh pegawai daripada agensi berbeza.

Baki tiga kes melibatkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, dan CRU telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menyokong mereka dengan lebih baik, kata kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg