Pemegang pasport Singapura akan segera menikmati perjalanan jangka pendek tanpa visa ke Timor-Leste, berikutan perjanjian yang ditandatangani pada 27 Jun antara menteri luar kededua negara.
Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 27 Jun, menyatakan bahawa perjanjian pengecualian visa tersebut ditandatangani antara Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishan dengan rakan sejawatannya dari Timor-Leste, Encik Bendito dos Santos Freitas, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke Singapura dari 26 hingga 28 Jun.
Di bawah Perjanjian Pengecualian Visa Bersama untuk pemegang pasport diplomatik, rasmi, perkhidmatan, dan biasa, pemegang pasport Singapura akan dikecualikan daripada keperluan visa untuk tinggal sehingga 30 hari di Timor-Leste.
Pemegang pasport Timor-Leste akan terus menikmati peluang tinggal di Singapura tanpa visa sehingga 30 hari.
“Perjanjian ini akan menyumbang kepada proses memenuhi keperluan di bawah rancangan penyertaan Timor-Leste ke dalam Asean, dan mengukuhkan hubungan antara rakyat Singapura dengan Timor-Leste,” menurut kenyataan MFA.
Rancangan tersebut diterima pakai pada 10 Mei 2023.
Asean kini terdiri daripada 10 negara anggota. Timor-Leste menghadiri sidang kemuncak Asean pada 2023 sebagai pemerhati buat kali pertama, yang mana Perdana Menteri ketika itu, Encik Taur Matan Ruak, berjanji bahawa negara tersebut akan memenuhi langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan serantau itu.
Timor-Leste yang meurpakan negara demokratik termuda di Asia, mencapai kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002. Ia segera memulakan proses untuk menyertai Asean, tetapi secara rasmi memohon keanggotaan hanya pada 2011.
Encik Freitas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Encik Lawrence Wong pada 27 Jun, dengan kededuanya mengalu-alukan hubungan mesra dan lama di antara mereka.
Encik Wong juga menegaskan semula sokongan Singapura terhadap persiapan Timor-Leste untuk memenuhi rancangan bagi menyertai Asean. Ini termasuk pakej Sokongan Kesediaan Asean Singapura-Timor-Leste yang dilancarkan pada Disember 2022 dan Inisiatif untuk Integrasi Asean.
Dr Balakrishnan juga mengadakan jamuan tengah hari untuk Encik Freitas, yang mana mereka menegaskan semula hubungan baik antara kededua negara dan mengalu-alukan penubuhan kedutaan Singapura di ibu kota Timor-Leste, Dili, pada April 2024. Mereka bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang seperti pembangunan sumber manusia, perdagangan dan pelaburan, tenaga, dan pendidikan.
Encik Freitas diberi taklimat oleh Akademi Diplomatik MFA mengenai latihan diplomat pada petang 27 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg