Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemeliharaan 38 Oxley Road saling lengkapi Taman Tugu Pengasas, bukan peringati Lee Kuan Yew

David Neo: Fokus peringati peristiwa sejarah penting yang berlaku, bukan kehidupan penghuni rumah
Nov 6, 2025 | 5:40 PM
38 Oxley Road, Parlimen, David Neo, Kenyataan Menteri
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, membuat Kenyataan Menteri mengenai hasrat pemerintah untuk memelihara 38 Oxley Road sebagai Monumen Negara. - Foto MDDI

Pemeliharaan tapak 38 Oxley Road akan saling melengkapi Taman Tugu Pengasas, dan bukan bertujuan memperingati kehidupan mendiang Encik Lee Kuan Yew, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Ia akan menjadi tapak untuk pengunjung menikmati secara langsung peristiwa yang berlaku di sana dan juga menyediakan konteks sejarah dan latar belakang kepada beberapa nilai yang diperingati oleh Taman Tugu Pengasas.

“Tapak-tapak bersejarah dipelihara kerana ia memberi kita hubungan yang tulen dengan peristiwa-peristiwa penting dan orang-orang masa lalu.

“Ia memberi kita peluang untuk berdiri di landasan yang sama, dan berada di ruang yang sama, di mana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah negara berlaku,” kata Encik Neo, memetik bagaimana Singapura juga memelihara tapak-tapak bersejarah seperti City Hall, Padang dan Hospital KK.

Encik Neo berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang) selepas menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai hasrat pemerintah untuk memelihara 38 Oxley Road sebagai Monumen Negara.

Encik Liang telah bertanya sama ada Taman Tugu Pengasas mampu mencerminkan kepentingan peranan 38 Oxley Road bagi sejarah dan negara, tanpa perlu memelihara tapak sebenar.

Menjawab pertanyaan itu, Encik Neo berkata “rasa berada di tempat yang sama seperti mereka yang terdahulu” bukanlah sesuatu yang boleh dirakam di Taman Tugu Pengasas yang terletak dan dibina di tempat lain.

Taman Tugu Pengasas, yang dibina bagi memperingati tokoh perintis Singapura dan nilai-nilai mereka yang boleh dicontohi, dijadual dibuka pada 2028.

Ia sedang dibina di Bay East Garden di Gardens by The Bay.

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Eileen Chong, daripada Parti Pekerja (WP), juga bertanya tentang nilai atau pengalaman tambahan yang boleh diraih di taman warisan yang bakal dibina di tapak tersebut, yang tidak boleh dialami di Taman Tugu Pengasas.

Sebagai respons, Encik Neo berkata tidak banyak tapak berharga di mana terdapat pertemuan orang, peristiwa dan tempat.

Taman Tugu Pengasas dicipta semula di atas tanah yang ditebus guna, katanya, dan bukan ruang yang sama di mana perjuangan dahulu pernah berlaku.

“Tidak akan ada rasa keaslian yang sama. Dan itulah sebabnya, seperti yang saya jelaskan sebelum ini dalam penjelasan saya, tapak ini unik, (dan ia) wajar bagi kita untuk memeliharanya,” kata Encik Neo.

Encik Neo turut menjawab soalan Encik Liang mengenai kebimbangan orang ramai sekiranya hasrat mendiang Encik Lee telah diabaikan dalam keputusan untuk memelihara 38 Oxley Road.

Beliau berkata mendiang Encik Lee dan isterinya tidak berganjak agar privasi mereka harus dilindungi.

Namun, memandangkan terdapat kepentingan sejarah dan negara di tapak tersebut, pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan apa yang baik untuk rakyat Singapura sekarang dan pada masa hadapan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membenarkan rakyat Singapura pada masa hadapan peluang melawat tapak tersebut dan menghargai betapa seriusnya perbincangan yang berlaku di tapak tersebut – perbincangan yang membawa kepada kemerdekaan kita,” katanya.

Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) juga bertanya bagaimana pemerintah akan menyampaikan kepada orang ramai bahawa pemeliharaan 38 Oxley Road bukanlah satu percubaan untuk memperingati mana-mana individu.

Menjawab soalan tersebut, Encik Neo berkata tumpuan pemeliharaan adalah untuk memperingati peristiwa sejarah penting yang berlaku di tapak tersebut – yang membawa Singapura daripada penjajahan kepada pemerintahan sendiri dan kemudian kepada kemerdekaan – dan bukannya kehidupan orang-orang yang tinggal di sana.

Jika tapak tersebut dipelihara dan diambil alih, agensi pemerintah akan menjalankan penglibatan awam untuk membantu membentuk masa depan tapak tersebut dan memastikan potensi tapak tersebut untuk pendidikan awam dimaksimumkan.

Beberapa kumpulan pihak berkepentingan yang mungkin terlibat termasuk peminat warisan, pendidik serta kumpulan demografi yang disasarkan seperti golongan muda atau warga emas.

Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) pula bertanya sama ada penilaian bebas tapak tersebut akan dilakukan sebelum pengambilalihan.

Dalam jawapannya, Encik Neo berkata pengambilalihan akan dilakukan mengikut proses yang ditetapkan, dan sebarang pampasan akan dibuat mengikut Akta Pengambilan Semula Tanah.

Sebagai sebahagian daripada ini, pemilik akan diberi peluang untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk menentukan jumlah pampasan.

Seorang penilai swasta profesional juga akan dilantik untuk membantu agensi dalam menentukan nilai pasaran tanah, tambahnya.

“Jika mana-mana pemilik atau individu tidak berpuas hati dengan pampasan yang diberikan, notis rayuan boleh difailkan bersama Lembaga Rayuan Pengambilan Tanah.

“Semua ini akan diambil sebagai sebahagian daripada proses sewajarnya yang dinyatakan di bawah Akta Pengambilan Semula Tanah,” kata Encik Neo.

Encik Giam juga bertanya sama ada pemerintah akan komited untuk mengeluarkan laporan penilaian penuh dan telus mengenai kos pengambilalihan kepada orang ramai.

Dalam jawapannya, Encik Neo berkata beliau tidak begitu pasti dengan Akta Pengambilan Semula Tanah “kerana beliau bukan Menteri Pembangunan Negara” tetapi memberi jaminan kepada Encik Giam bahawa proses sewajarnya akan dipatuhi.

“Ia akan mematuhi keperluan di bawah Akta Pengambilan Semula Tanah dan penilaian bebas akan dilakukan. Jika Akta tersebut memerlukan pendedahan, pendedahan itu juga akan dilakukan,” kata Encik Neo.

“Ada rakyat Singapura yang berkata hasrat asal Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, untuk merobohkan rumah itu harus dihormati. Bukan sahaja kerana ia adalah hasrat peribadinya, tetapi juga nilai-nilai yang dipegangnya, iaitu tidak mempunyai monumen peribadi. Adakah pemerintah telah mengambil kira aspek ini dalam membuat keputusan? Dapatkah Taman Tugu Pengasas merangkum kepentingan sejarah dan negara nilai dan cita-cita pengasas kita tanpa perlu memelihara 38 Oxley Road?”
Anggota Parlimen (AP) Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang).

“Adakah pemerintah akan mempertimbangkan penglibatan awam yang berstruktur atau perundingan semasa membangunkan pelan bagi memastikan reka bentuk akhirnya memupuk perpaduan dan mengelakkan pembukaan semula semua pertikaian politik? Bolehkah menteri menghuraikan bagaimana pemerintah akan menyampaikan perkara ini kepada orang ramai, bagi mengelak salah tanggapan bahawa ini adalah percubaan untuk memperingati mana-mana individu dan bukannya perjalanan kemerdekaan bersama kita?”
Anggota Parlimen (AP) Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee).

“Adakah penilaian bebas ke atas tapak 38 Oxley Road akan dilakukan sebelum pengambilalihan, dan adakah pemerintah komited untuk mengeluarkan laporan penilaian penuh dan memberikan ketelusan kos pengambilalihan kepada belanjawan awam? Saya faham proses sewajarnya akan dipatuhi untuk pengambilalihan tersebut. Saya tidak pasti sama ada proses itu memerlukan kos pengambilalihan tanah 38 Oxley Road diumumkan kepada orang awam. Sekiranya tidak, adakah pemerintah komited untuk tetap mendedahkan kos tersebut, memandangkan kepentingan awam dalam perkara ini?”
Anggota Parlimen (AP) Encik Gerald Giam (GRC Aljunied).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg