Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keseluruhan tapak 38 Oxley Road dipelihara, bangunkan ruang awam untuk rakyat

David Neo: Pemerintah akan lindung privasi keluarga Lee Kuan Yew, pemeliharaan sekat pembeli privet
Nov 6, 2025 | 2:08 PM
Singapura, 38 Oxley Road, Lee Kuan Yew
Tapak rumah mendiang Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road. Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, berkata hasrat untuk mewartakan tapak tersebut sebagai Monumen Negara mengiktiraf kepentingan sejarah dan kepentingan negara. - Foto fail

Pemerintah berhasrat untuk memelihara keseluruhan tapak 38 Oxley Road, dan bukan bangunan atau struktur di dalamnya kerana pemerintah tidak diwajibkan untuk mengekalkannya dalam keadaan semasa, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Pemerintah juga tidak akan mempamerkan, merekodkan, mengubah suai atau menduplikasi bahagian dalam rumah Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, dalam apa jua keadaan sekali pun.

Langkah pemeliharaan ini di bawah Akta Pemeliharaan Monumen juga bertujuan menghalang mana-mana pihak swasta daripada membelinya pada masa hadapan.

“Tidak kira pilihan yang diambil, pemerintah akan menghormati hasrat Encik Lee dan Cik Kwa (Geok Choo) untuk melindungi privasi keluarga mereka, dengan menghapuskan semua kesan ruang kediaman peribadi mereka dari bahagian dalam rumah.

“Dalam apa jua keadaan, bahagian dalam rumah seperti yang diketahui oleh Encik Lee dan Cik Kwa tidak akan dipamerkan atau direkodkan atau diubah suai atau diduplikasi di tempat lain,” jelas Encik Neo.

Menjelaskan lebih lanjut semasa membentangkan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 6 November, Encik Neo berkata pemerintah juga merancang membangunkan 38 Oxley Road menjadi ruang awam seperti sebuah taman warisan supaya rakyat Singapura boleh mengaksesnya.

Pada 3 November, Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah mengumumkan bahawa pemerintah berhasrat mewartakan tapak tersebut sebagai Monumen Negara.

Ini selepas Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM) NHB menilai bahawa 38 Oxley Road mempunyai “kepentingan negara yang kukuh”.

Notis Niat telah dikeluarkan pada 3 November kepada pemilik dan penghuni 38 Oxley Road – Encik Lee Hsien Yang – yang menyatakan bahawa pemerintah berhasrat memelihara tapak tersebut di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.

Encik Neo berkata jika 38 Oxley Road dipelihara dan diperolehi, pemerintah berhasrat untuk memuktamadkan rancangannya untuk tapak tersebut “dalam penggal pemerintah ini”.

“Buat sementara ini, tiada akses awam ke 38 Oxley Road,” kata Encik Neo, sambil menyatakan bahawa pihak berkuasa juga tidak berpeluang memasuki tapak tersebut untuk menilai keadaan bangunan dan struktur.

Sebaik sahaja akses ke tapak itu diperolehi, Encik Neo berkata pemerintah akan menjalankan kajian terperinci tentang bangunan dan struktur di dalam tapak tersebut, dan mengambil kira faktor seperti keadaan sedia ada mereka dan menimbangkan potensi manfaat mengekalkannya berbanding kos.

Pemerintah juga akan menimbangkan semua pilihan, termasuk yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menteri di 38 Oxley Road pada 2018, yang termasuk perobohan sebahagian atau sepenuhnya bangunan dan struktur.

Dengan pengeluaran Notis Niat pada 3 November, Encik Lee Hsien Yang akan mempunyai 14 hari kalendar untuk mengemukakan bantahan kepada NHB, mengikut amalan sedia ada.

Encik Neo berkata semua bantahan yang dikemukakan dan cadangan yang dibuat “akan dipertimbangkan secara objektif dan adil” sebagai sebahagian daripada proses yang sewajarnya.

Sekiranya pemerintah memilih untuk meneruskan pemeliharaan, Perintah Pemeliharaan akan dibuat, tambahnya.

Pemerintah kemudiannya akan memulakan proses pemerolehan tapak tersebut, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk akhirnya menjadikannya mudah diakses oleh orang awam

“Pengambilalihan sedemikian akan dilakukan mengikut proses yang ditetapkan, dan pampasan akan dibuat mengikut Akta Pengambilan Semula Tanah.

“Jika dipelihara, pengambilalihan itu akan membolehkan pemerintah mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi tapak tersebut dan memeliharanya selaras dengan kepentingan sejarah dan kepentingan negaranya.

Susulan kenyataan itu, 12 Anggota Parlimen (AP) turut meminta penjelasan tentang hasrat pemerintah untuk mewartakan 38 Oxley Road.

Antara soalan yang dikemukakan termasuk sama ada sesuai untuk memperingati sejarah tapak tersebut menerusi Taman Tugu Pengasas yang bakal siap dibina pada 2028, selain memelihara tapak itu sendiri.

Pada 6 November juga, Parlimen meluluskan dua rang undang-undang – Rang Undang-Undang Kewangan (Cukai Pendapatan) dan Rang Undang-Undang Peraturan Import dan Eksport (Pindaan).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg